Sabtu, 3 Oktober 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ekosistem kondusif perkasa agenda Bumiputera

Pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020 kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan petunjuk jelas bahawa di bawah pentadbiran beliau, agenda Bumiputera bukan sahaja akan diteruskan, malah diperkasakan.

Semua 13 resolusi yang dibentangkan dalam kongres itu akan disemak dan diteliti. Apa yang penting, keputusan beliau yang bersetuju untuk meletakkan hal ehwal Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selepas 55 tahun sejak kongres ini bermula pada 1965, dengan penggubalan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) sejak 1970, tidak dinafikan sudah banyak kejayaan dikecapi Bumiputera dan ekonomi kelompok ini secara umum.

Kita sudah lihat ramai golongan profesional dalam kalangan Bumiputera seperti doktor, pensyarah, peguam, akauntan dan ahli perniagaan.

Ketika di Oxford Universiti sebagai felo penyelidik pelawat beberapa tahun lalu, saya bangga melihat ramai rakyat Malaysia mengikuti kursus teknikal di sana, di samping pensyarah, saintis dan penyelidik kita yang bekerja di situ.

Kebanyakan mereka adalah Bumiputera, bersaing atas kemampuan mereka di universiti terkemuka di dunia ini berdasarkan merit. Malah, ada antara mereka mempunyai prestasi lebih baik daripada rakan yang berasal dari serata negara seluruh dunia.

Begitu juga kemasukan pelajar universiti tempatan dan graduan yang keluar universiti, rata-rata juga daripada golongan Bumiputera.

Namun, jika dilihat daripada pelbagai dimensi aspek pembangunan, tidak boleh dinafikan ekonomi Bumiputera secara relatifnya, masih lagi jauh ketinggalan.

Mungkin sebab inilah mengapa hal ehwal Bumiputera kali ini diletakkan di bawah JPM itu sendiri.

Jika dilihat dari aspek kemiskinan, jelas Bumiputera masih lagi mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi berbanding kelompok lain, iaitu sebanyak 7.2 peratus pada 2019, manakala kaum Cina pada tahap 1.4 peratus dan India pada 4.8 peratus masing-masing.

Dari segi ketidakseimbangan pendapatan dan harta juga, kita dapat melihat trend kesenjangan yang agak ketara antara kaum. Bagi Bumiputera, jurang sesama Bumiputera juga mengalami trend membimbangkan.

Dengan erti kata lain, kedua-dua bentuk ketidakseimbangan, iaitu yang berbentuk menegak dan mendatar perlu diambil perhatian.

Dari segi pengangguran, Bumiputera mencatatkan kadar yang agak tinggi iaitu 3.7 peratus pada 2019, berbanding di peringkat nasional, iaitu pada 3.3 peratus.

Jika diteliti pengangguran golongan muda, yang mana tahapnya adalah tiga kali ganda daripada kadar purata nasional, golongan Bumiputera juga antara teramai.

Dalam konteks DEB, sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera pada kadar 30 peratus ketika 1990 jelas jauh tersasar. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pada 2015 direkodkan hanya pada 16.2 peratus.

Yang menariknya, dalam aspek pemilikan ekuiti korporat ini, ada peningkatan dalam pegangan asing, iaitu pada 45.3 peratus pada 2015.

Isu ini perlu diberi perhatian dalam konteks untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera pada masa hadapan.

Ketika ini, kita dan juga seluruh dunia menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang memberikan impak begitu signifikan kepada ekonomi global dan tematan.

Di Malaysia, antara industri terkesan adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang mana majoriti pemain industrinya juga adalah Bumiputera.

Begitu juga PKS mikro dan juga mereka yang terbabit dalam sektor tidak formal. Ramai yang dibuang kerja, tidak kurang juga upah mereka dipotong.

Walaupun kerajaan bertindak pantas memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang mencecah lebih RM300 bilion, namun langkah, program, serta dasar dalam bentuk jangka sederhana dan panjang diperlukan.

Bumiputera selaku kelompok teramai memerlukan suntikan sedemikian supaya mereka lebih berdaya tahan serta berdaya saing di masa hadapan, terutama untuk mendepani cabaran ekonomi pasca COVID-19 ini.

Jadi, apakah solusi yang lebih holistik dan mapan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera pada masa hadapan?

Pertama, penstrukturan semula agensi kerajaan berkaitan Bumiputera perlu dilaksanakan, seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM), dan juga Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Satu ekosistem kondusif untuk menjadikan golongan Bumiputera sebagai usahawan dan pelabur yang berjaya di peringkat antarabangsa perlu dimulakan dari sekarang.

Mereka perlu berdaya saing dan kompetitif, terutama pada era pandemik COVID-19 ini, yang mana ada antara mereka memerlukan bantuan kerana terpaksa mengubah model perniagaan ataupun terpaksa melakukan penstrukutran kos kepada perniagaan masing-masing, selain persediaan dari segi penguasaan teknologi digital.

Apa yang lebih penting pada ketika ini juga adalah penumpuan kepada golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru selesai jelas membuktikan soal pembangunan masih lagi menjadi isu utama kepada rakyat Sabah.

Agenda memartabatkan ekonomi Bumiputera ini perlulah dilihat sebagai isu nasional, sejajar dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), untuk memperkukuhkan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X