Rabu, 1 Januari 2020 | 11:00am
PENGUNJUNG menyaksikan pertunjukkan Drone selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias
PENGUNJUNG menyaksikan pertunjukkan Drone selepas merasmikan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Baru pada program Ambang 2020 @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias

2020 lebih bermotivasi, produktif

MELANGKAH ke tahun baharu 2020, pelbagai andaian memungkinkan kita untuk terus mengorak langkah dan mengutamakan budaya produktiviti dalam setiap gerak kerja dan amalan.

Mungkin sesetengah pihak menganggap ada lagi ruang dan peluang yang luas dalam pelbagai sektor. Ada juga melihat seolah-olah wujud ketidakpastian membimbangkan, akibat turun naik ekonomi seluruh dunia.

Tahun baharu yang kita sambut seharusnya tidak menakutkan. Kita perlu menanam azam dan hasrat untuk lebih bermotivasi dan produktif, kerana setiap individu menyumbang kepada pembangunan negara.

Jika kita istiqamah dan secara cekal melakukan kerja yang mengutamakan pencapaian dan hasil berkualiti, sudah cukup memuaskan hati sendiri dan memenuhi sasaran dalam organisasi. Walaupun sumbangan kecil, sebenarnya ia cukup bermakna dalam menentukan produktiviti secara kolektif.

Dalam usaha mencapai status negara maju, Malaysia memerlukan peningkatan besar dalam produktiviti negara. Peningkatan produktiviti sesebuah organisasi boleh dicapai melalui pengambilan pekerja berkemahiran tinggi dan rajin.

Walaupun kita memiliki tenaga kerja bermotivasi dan mahir, organisasi di Malaysia juga seharusnya bersedia untuk melabur modal dalam membantu pekerja sedia ada bagi meningkatkan kemahiran kerja mereka melalui latihan lebih meluas.

Dengan melabur dalam pembangunan modal insan dalam organisasi, akan meraih manfaat besar kepada institusi dalam jangka masa panjang.

Menurut penyelidikan Harvard University, syarikat atau organisasi harus mempertimbang untuk membolehkan pekerja bekerja dari luar pejabat menggunakan pendekatan online dan digital. Berdasarkan kajian itu, membolehkan pekerja bekerja dari mana sahaja bagi meningkatkan produktiviti 4.4 peratus, mewakili sehingga AS$1.3 bilion nilai tambah kepada ekonomi Amerika Syarikat.

Satu lagi kajian pada 2015 yang berpangkalan di agensi pelancongan China, mendapati ketika pekerja pusat panggilan beralih ke rumah, produktiviti mereka meningkat 13 peratus.

Peningkatan produktiviti nampaknya disebabkan pengurangan masa rehat dan cuti sakit digabungkan dengan persekitaran kerja lebih selesa.

Dalam hal sama, kerajaan Malaysia melalui Belanjawan 2020 mengukuhkan ekonomi negara, daya saing awam dan produktiviti keseluruhan. Belanjawan 2020 memberi tumpuan, terutama pada pelaksanaan langkah dirancang untuk mengoptimumkan pertumbuhan ekonomi.

Antara ciri penting belanjawan negara adalah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan memastikan semua lapisan masyarakat dapat menjadi pemain aktif dalam ekonomi melalui penciptaan lapangan kerja, perubahan struktur tanpa menjejaskan keadaan fiskal negara.

Pada 2020, kerajaan komited memulihkan keadaan fiskal jangka sederhana walaupun kerajaan mewarisi beban hutang dan liabiliti lebih RM1.1 trilion dalam penempatan semula kerajaan sebelum ini. Sudah tentu ia secara beransur-ansur melaksanakan penyatuan fiskal.

Campur tangan kerajaan melalui perkhidmatan dan pengurusan spesifik adalah penting untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Dengan mengutamakan penumpuan di sektor strategik, menghidupkan kembali industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan mampu melonjakkan pendapatan dan ekonomi negara.

Ini dapat dilihat melalui belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM297 bilion dengan RM241 bilion untuk membiayai perbelanjaan operasi, manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2020, meningkat RM19.5 bilion berbanding 2019 sebanyak RM277.5 bilion.

Tanpa mengira peruntukan sekali untuk GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan ) dan cukai pendapatan tertunda, pendapatan kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada 2020, peningkatan RM11.2 bilion berbanding 2019 tanpa mengira dividen istimewa PETRONAS sebanyak RM30 bilion.

Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat 4.7 peratus tahun ini dan meningkat 4.8 peratus tahun depan. Melalui usaha terancang ini diharap kadar inflasi kekal di bawah dua peratus pada 2020.

Belanjawan 2020 akan memberi tumpuan kepada empat bidang penting dalam pertumbuhan ekonomi baharu dan era digital; pelaburan rakyat untuk meningkatkan keupayaan modal insan; mewujudkan masyarakat yang bersatu, inklusif dan adil; serta memulihkan institusi dan kewangan awam.

Antara usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi negara adalah menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi destinasi pelaburan, peningkatan daya saing. Ini termasuk memudahkan operasi perniagaan dan mempercepatkan ekonomi digital.

Mempercepatkan ekonomi digital mengambil kira pembinaan infrastruktur digital, membina aplikasi digital dan melahirkan komuniti digital, yang antara lain akan melihat peningkatan penggunaan e-dompet oleh komuniti dan pedagang.

Kerajaan juga akan meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui pelbagai inisiatif, sehingga mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah. Perhatian khusus diberikan kepada graduan menganggur yang menjadi isu masa kini.

Kerajaan juga komited memperbaiki kehidupan rakyat dan dalam belanjawan ini mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan di bandar utama tahun depan, berbanding RM1,100 sekarang.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Univerisiti Teknologi MARA

Berita Harian X