Sabtu, 14 Disember 2019 | 11:00am
Cabaran kejayaan pengusaha TASKA /TADIKA adalah bergantung kepada sikap pengusaha seperti ramah, mengikut SOP dan perlu bijak menangani kanak-kanak. - Foto hiasan
Cabaran kejayaan pengusaha TASKA /TADIKA adalah bergantung kepada sikap pengusaha seperti ramah, mengikut SOP dan perlu bijak menangani kanak-kanak. - Foto hiasan

Kelayakan, cabaran pengusaha TASKA, TADIKA

PENUBUHAN dan pembukaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di negara ini tertakluk kepada prosedur ditetapkan kerajaan. Semua pihak yang ingin membuka TASKA/TADIKA atau yang berminat menjadi pengurus TASKA/TADIKA dikehendaki menghadiri Kursus Asas Awal Kanak-Kanak (KAAK).

Ada juga Akta Kanak-Kanak 2001 dan pindaan 2011 (dinamakan Akta 611) yang ditubuhkan selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditandatangani Malaysia pada 1995.

Akta 611 menyatakan hak kanak-kanak menerima pendidikan berkualiti, selain hak untuk menerima perlindungan daripada ibu bapa, penjaga atau negara daripada kemiskinan, penyalahgunaan, pengabaian dan eksploitasi serta hak untuk berbicara.

Hasil kajian kualitatif melalui wawancara bersemuka dilakukan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan wujud pelbagai isu dan cabaran dialami pengusaha.

Pengusaha mengalami cabaran dan kesukaran membuka dan memulakan TASKA/TADIKA kerana melalui empat agensi berbeza, prosedur rumit, kelulusan lambat dan ada kes dera serta kematian di TASKA berasaskan rumah, TASKA tidak berdaftar tidak membayar yuran sehingga memberikan tanggapan yang tidak baik kepada TASKA/TADIKA lain walaupun ia berdaftar.

Pengusaha juga mencadangkan satu pusat yang mudah untuk pendaftaran dan memperbaharui lesen. Bilangan kanak-kanak yang boleh diambil oleh pengusaha TASKA/TADIKA juga adalah terhad dan pengusaha perlu mengikut trend pemilihan jenis TASKA/TADIKA terkini.

Pengusaha mencadangkan perlunya dasar pendidikan yang sama di semua sekolah tanpa mengira jenis TASKA/TADIKA dan Malaysia perlu mempunyai acuan sendiri dalam dasar pendidikan ini.

Kajian mendapati, pengusaha menghadapi cabaran dari segi kos perniagaan tinggi, kos elektrik dan air mahal, yuran operasi sekolah kerajaan dan swasta yang berbeza, pengusaha memerlukan subsidi atau geran mahupun sokongan dari kerajaan serta memerlukan kos untuk melengkapkan TASKA.

Selain itu, ada pihak yang tidak memandang usaha guru dan pengusaha TASKA dalam meningkatkan kualiti kanak-kanak, yuran dikenakan adalah rendah memandangkan ibu bapa yang bergaji rendah, pengusaha tidak mampu menjalankan perkhidmatan menjaga bayi, pengusaha memerlukan insentif supaya boleh dimanfaatkan, bilangan kanak-kanak diambil oleh pengusaha tidak ramai dan pengusaha perlu menanggung kos kursus.

Pengusaha juga kekurangan dana dan mencadangkan supaya pihak kerajaan memberi bantuan dana kerana pengusaha tidak boleh mengenakan yuran tinggi.

Cabaran lain dihadapi pengusaha adalah dari segi kelayakan guru yang tinggi, tetapi tidak mampu menjalankan kerja pengasuhan, pengusaha sukar mendapat guru yang baik, kelayakan guru bergantung kepada pengalaman pengajian dan staf akan berpindah ke tempat kerja lain apabila mempunyai kelayakan.

Mereka menghadapi cabaran dari segi pemberian gaji kepada staf, iaitu gaji tidak dapat dibayar mengikut kelayakan dan kenaikan gaji yang diberikan oleh pengusaha adalah kecil serta tidak sepadan dengan tanggungjawab.

Gaji guru pula berbeza antara TASKA/TADIKA kerajaan dan swasta, gaji minimum RM1,000 yang ditetapkan oleh kerajaan adalah membebankan pengusaha, malah sepatutnya kelayakan dan prestasi perlu dijadikan asas untuk gaji minimum.

Cabaran dihadapi dalam menyediakan laluan kerjaya yang bersesuaian dengan pengalaman guru dan kebanyakan guru tidak dapat meningkatkan kerjaya mereka. Justeru, pengusaha bimbang pekerja akan meninggalkan pekerjaan mereka selepas pengusaha mengeluarkan kos untuk membiaya kursus yang perlu dihadiri oleh guru.

Pengusaha seharusnya memberi peluang untuk staf mereka mendapat peluang meningkatkan pengetahuan dan latihan serta diberikan penghargaan seperti kenaikan gaji, percutian, duit raya dan lain-lain.

Natijahnya, cabaran kejayaan pengusaha TASKA /TADIKA adalah bergantung kepada sikap pengusaha seperti ramah, mengikut SOP dan perlu bijak menangani kanak-kanak berkeperluan khas. Mendepani sikap ibu bapa yang tidak menghormati guru dan marah tanpa usul periksa juga antara cabaran dihadapi pengusaha.

Kita perlu menerima hakikat bahawa membuka TASKA/TADIKA memerlukan pengusaha mempunyai kelayakan dan sanggup menghadapi cabaran seperti kesukaran pengusaha untuk membuka dan memulakan TASKA/TADIKA, kos perniagaan tinggi, pemantauan, kelayakan akademik dan kemampuan pengasuh atau pendidik, gaji staf, kerjaya dan pembangunan profesionalisme guru serta sikap pengusaha menentukan kejayaan mereka.

Penulis adalah Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X