Isnin, 15 Julai 2019 | 11:10am
TANGGUNGJAWAB memelihara haiwan adalah besar, termasuk memastikan makan dan minum dijaga rapi serta mengambil berat soal kesihatan. Foto hiasan.
TANGGUNGJAWAB memelihara haiwan adalah besar, termasuk memastikan makan dan minum dijaga rapi serta mengambil berat soal kesihatan. Foto hiasan.

Tiada tempat untuk pembuli haiwan

SIAPA tidak tersentuh atau menitiskan air mata melihat haiwan diperlakukan penuh kejam. Di mata si pelaku pula, tidak sedikit pun kesakitan ditanggung haiwan itu mengguris naluri kemanusiaan.

Besar sangatkah dosa kucing melarikan ikan di dapur rumah, sehingga dihukum potong kaki. Itu hanya sebahagian, malah ada yang sanggup meracun sehingga mati, menendang atau memijak penuh kejam haiwan seperti kucing atau anjing hanya kerana kesalahan kecil dilakukan.

Memang wajar perbuatan mendera, menganiaya, menzalimi dan membunuh haiwan tanpa sebab yang sah ditakrif sebagai jenayah kemanusiaan. Dengan kes sebegini yang semakin menjadi-jadi, tidak hairanlah timbul desakan agar pelaku jenayah ini dikenakan hukuman lebih berat setimpal dosa dilakukan.

Bagi kumpulan pencinta haiwan, selayaknya ‘penjenayah’ ini didakwa mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mengenakan hukuman lebih berat, berbanding Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 menetapkan individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman tiga tahun penjara, denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau kedua-duanya sekali. Seksyen 428 Kanun Keseksaan pula menetapkan hukuman penalti sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, dengan jumlah denda mengikut budi bicara hakim.

Saya percaya tiada lagi alasan untuk pihak berkuasa tidak mengguna pakai peruntukan dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 ini, jika serius mahu menjaga kebajikan haiwan di negara ini.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 dikuatkuasakan pada Julai 2017, sebagai manifestasi kerajaan yang sensitif kepada kes kezaliman haiwan. Ia memperakukan bahawa haiwan peliharaan dan ternakan juga mempunyai hak di dunia ini termasuk bebas daripada dianiaya termasuk lapar dan dahaga. Justeru, penting untuk rakyat peka dengan kewujudan akta berkenaan.

Pihak berkaitan yang menjaga kebajikan haiwan juga boleh terus melakukan siasatan jika menerima aduan. Seksyen 40 akta sama menetapkan waran tidak diperlukan untuk melakukan pemeriksaan bukti penganiayaan haiwan di premis perniagaan atau rumah berdasarkan laporan aduan diterima.

Bagi penggemar haiwan peliharaan, mereka tertakluk kepada lima keperluan utama iaitu persekitaran dan diet makanan sesuai, membolehkan mempamer corak kelakuan semula jadi, ditempatkan bersama atau berasingan dan dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan atau penyakit.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita tidak mahu lagi melihat atau mendengar kes haiwan jalanan dizalimi.

Adakah kita masih mahu mempunyai sikap seperti masyarakat yang tidak bertamadun dan menjadi bualan serta kecaman warganet antarabangsa, hanya kerana bersikap tidak acuh terhadap haiwan jalanan.

Justeru, pendidikan berterusan serta kempen kesedaran mengenai perlindungan kebajikan haiwan perlu dipertingkatkan oleh pihak berkaitan, kerana Malaysia bukan tempat tinggal untuk pendera haiwan.

Akta sedia ada juga mendidik rakyat mempunyai sikap kebertanggungjawaban dengan memastikan haiwan peliharaan atau terbiar mempunyai hak untuk hidup serta dilindungi daripada sebarang angkara penderaan.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 sudah memperuntukkan jika individu gagal menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan haiwannya, maka haiwan itu akan diambil dan pemiliknya tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan lain untuk tujuan jagaan selama setahun.

Pemegang lesen pula digantung selama lima tahun dan tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan juga selama setahun.

Saranan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini wajar dilihat dari sudut positif jika hanya mahu memelihara haiwan kerana hobi, tetapi gagal mengurus dengan berkesan sehingga menyusahkan jiran masing-masing.

Tanggungjawab memelihara kucing, anjing, arnab atau haiwan ternakan lain, termasuk lembu, kambing adalah besar kerana bukan sahaja memastikan makan dan minum dijaga rapi, tetapi mesti juga mengambil berat soal kesihatannya, ruang persekitaran habitat semula jadi dan perasaannya.

Tiada guna membela haiwan peliharaan, tetapi membiarkannya bebas keluar ke laman rumah jiran atau menceroboh ladang serta kebun orang lain yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah. Di sinilah mereka yang tidak puas hati apabila harta benda mereka terjejas, mungkin mengambil tindakan luar jangka, termasuk menyakiti sehingga peringkat membunuh haiwan berkenaan.

Penulis adalah Penyunting Eksekutif Berita Harian

Berita Harian X