Isnin, 24 Jun 2019 | 11:30am
Sebahagian karya mantan Sasterawan Negara, Usman Awang sarat dengan semangat perjuangan dan perpaduan yang seharusnya difahami oleh generasi masa kini.
Sebahagian karya mantan Sasterawan Negara, Usman Awang sarat dengan semangat perjuangan dan perpaduan yang seharusnya difahami oleh generasi masa kini.

Martabat bahasa, sastera, budaya kukuh jati diri

Sekitar 1970-an dan 1980-an, persatuan Bahasa Melayu dan Kelab Sastera menjadi tumpuan aktivis pelajar untuk berkarya dalam memanfaatkan kebebasan dan menjuarai masalah rakyat. Mereka memanfaatkan setiap ruang yang ada untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan membawa wacana pemikiran besar mengenai pembangunan rakyat ke dalam kampus.

Malah, ada dalam kalangan sasterawan besar negara pun memulakan kerja kreatif mereka semasa berada dalam kampus. Mereka menjadi suara bukan sahaja yang bersifat sangat peribadi tetapi juga dalam hal-hal perjuangan untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya.

Hal ini penting jika kita serius untuk memastikan bahasa, sastera dan budaya kita berada pada tahap yang tinggi dan dihormati, sekali gus mendorong mahasiswa berfikir secara bebas mengenai masyarakat.

Pada masa sama dapat menseimbangkan di antara kekuatan Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan sebagainya yang dianggap sebagai ‘teknologi tinggi’ (high-tech) dengan kekuatan jiwa dan rohani (high-touch) dalam konteks kemanusiaan, kelestarian dan keharmonian sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang.

Usaha Kementerian Pendidikan dalam hal ini wajar dipuji dan dimanfaatkan sebaik mungkin di semua universiti. Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan yang semua Sasterawan Negara ditempatkan untuk berkhidmat di universiti awam.

Ini adalah peluang mahasiswa dan universiti sendiri untuk menghasilkan maha karya dan membudayakan universiti dengan bahasa, sastera dan budaya.

Bagi universiti yang berfokus kepada Sains dan Kejuruteraan, manfaatkan tokoh besar ini dengan pemikiran mereka untuk memastikan falsafah Sains dan Kejuruteraan itu dapat dirasai jiwanya melalui sentuhan halus seni dan sastera.

Bagaimana karya besar Sasterawan Negara dapat pula dinikmati, disaji dan diperhalusi oleh warga universiti untuk menghargai dan merasainya.

Seperti mana kita begitu menyanjung karya besar dari luar termasuk dari Barat, kenapa tidak karya Sasterawan Negara kita kini dijadikan petikan untuk mural, poster untuk bilik mesyuarat dan diletakkan di pelbagai sudut kampus untuk dihayati.

Jadi bahan rujukan

Karya mereka juga dijadikan bacaan, dipamer dan dimanfaatkan sebaik mungkin terutama pemikiran besar yang dapat mengajak mahasiswa dan warga kampus berfikir dan melihat kehalusan bahasa tulisan mereka. Malah karya terjemahan mereka pun boleh digunakan untuk menunjukkan kehebatan pemikiran dan pengamatan mereka terhadap alam dan kehidupan di sekitar mereka.

Bagi Sasterawan Negara yang sudah pergi meninggalkan kita, seperti S N Kamaludin Muhammad (Keris Mas), S N Profesor Emeritus Shahnon Ahmad, S N Datuk Usman Awang, S N Muhammad Dahlan Abdul Biang Andi (Arena Wati) dan S N Datuk Abdullah Hussain, pemikiran dan pemerhatian melalui karya mereka perlu diangkat dan dijadikan bahan rujukan untuk anak muda kita lebih memahami mengenai masyarakat dan budayanya.

Karya Usman Awang misalnya sarat dengan semangat perjuangan dan perpaduan yang seharusnya difahami oleh generasi masa kini. Bukan sahaja karya Sasterawan Negara, malah juga pelbagai perbincangan mengenai karya sastera perlu diangkat dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Malaysia.

S N Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh misalnya, sering mengungkapkan pentingnya anak muda hari ini mengenali adiwira mereka seperti Hang Tuah.

Negara bangsa

Karya beliau banyak mengupas kehidupan masyarakat yang berjiwa Melayu global yang utuh jati diri dan pada masa sama memperingatkan sejarah Melayu yang sewajarnya menjadi bacaan wajib dalam memahami asas karyawan kita.

Tidak peduli Hang Tuah itu benar-benar wujud atau tidak, kebolehan dan kemampuan beliau sebagai adiwira yang hebat dari segi ilmu strategiknya, penguasaan pelbagai bahasa, ketokohan sebagai ahli diplomatik, pemimpin dan seorang yang setia, penting untuk difahami dalam membolehkannya kekal relevan dan menjadikan ‘Melayu yang tidak akan hilang di dunia’.

Memartabatkan bahasa, sastera dan budaya seiring dengan sains dan teknologi penting demi mewujudkan negara bangsa yang mempunyai jati diri dan seimbang di antara kepentingan teknologi dengan jiwa kemanusiaan, kelestarian dan kasih sayang.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X