Ahad, 16 Disember 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Ramai pemimpin keluar kem Zahid Hamidi

SELEPAS kalah mengejut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, UMNO terus dirundung malang. Ia bermula dengan dakwaan mahkamah terhadap bekas Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

Malang menimpa lagi apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menghadapi 46 tuduhan pecah amanah dan rasuah selepas memenangi jawatan Presiden, diikuti dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dan beberapa lagi pemimpin tertinggi UMNO tidak lama lagi.

Terkini, UMNO sudah sampai ke tahap retak menanti belah. Tiada lagi kesepaduan dalam kalangan kepemimpinan parti. Sudah tiada keharmonian, masing-masing saling menuduh. Ia berikutan keputusan radikal yang mengejutkan oleh Ahli Parlimen dan pemimpin kanan pada peringkat bahagian keluar daripada parti.

Lebih teruk, mereka bukan sahaja keluar parti, sebaliknya turut mengugut lebih ramai akan mengikut jejak langkah jika Ahmad Zahid tidak melepaskan jawatan yang menurut mereka gagal dalam menentukan hala tuju UMNO untuk menghadapi PRU-15 akan datang.

Selain itu, kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid mencalar imej UMNO yang menjejaskan sokongan daripada rakyat, khususnya orang Melayu.

AHMAD Zahid
AHMAD Zahid

Ahmad Zahid kini di persimpangan, sama ada akur dengan desakan atau terus bertahan. Pemimpin lain juga dalam dilema. Yang mana satu pilihan mereka, Ahmad Zahid atau UMNO?

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir meminta Ahmad Zahid jangan berdegil seperti Najib.

Bagi beliau, kedegilan Najib tidak meletak jawatan menjadi punca tumbangnya Barisan Nasional (BN) pada PRU-14. Dia bimbang pisang berbuah dua kali kerana jika terus berdegil, maka musnahlah UMNO selamanya. Namun, sebenarnya UMNO memang sudah di ambang kemusnahan.

Walaupun enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar kelmarin tidak menyatakan, sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH), hubungan mereka dengan kem Ahmad Zahid sudah semakin buruk dan sukar untuk bercantum semula.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam pertemuan eksklusif dengan beliau kelmarin hanya tersenyum ketika ditanya, sama ada kumpulan yang keluar parti akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dalam dilema. Difahamkan beliau tahu mengenai tindakan enam Ahli Parlimen itu. Beliau juga dipelawa supaya menyertai ‘kumpulan penentang’ Ahmad Zahid, tetapi membuat keputusan mahu bergerak dari dalam.

Datuk Seri Hishammuddn Hussein juga dikatakan bukan berada dalam kem Ahmad Zahid. Beliau dikatakan antara 39 Ahli Parlimen yang menandatangani surat akuan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga secara tegas semalam, meminta Ahmad Zahid berundur demi menyelamatkan parti.

Justeru, apa pilihan Ahmad Zahid? Melepaskan jawatannya secara terhormat atau ‘dihumban keluar’ oleh ahli UMNO sendiri menerusi Perhimpunan Agung Khas UMNO. Namun, sudah terang lagi bersuluh. Walau apa sekali pun, seperti kata Mohd Zaidy dan Khairy, beliau perlu berundur dan bagi laluan kepada pemimpin lain jika tidak mahu UMNO musnah.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita Harian

Berita Harian X