Isnin, 24 September 2018 | 11:00am
PEMILIHAN PKR yang bermula kelmarin menggunakan sistem e-undi yang kali pertama dilaksana. - Shahnaz Fazlie Shahrizal
PEMILIHAN PKR yang bermula kelmarin menggunakan sistem e-undi yang kali pertama dilaksana. - Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pemilihan PKR: e-undi boleh dimanipulasi

PEMILIHAN PKR yang bermula kelmarin berjalan dalam keadaan kurang lancar akibat kekecohan di Kedah dan Pulau Pinang berpunca daripada kelemahan sistem e-undi yang kali pertama dilaksana.

Empat negeri menangguhkan pemilihan iaitu Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah. Pemilihan akan diputuskan semula selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Kekecohan dan penangguhan pemilihan berkenaan pasti memberi pengajaran kepada pucuk kepemimpinan parti supaya memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan untuk masa depan parti tulang belakang Pakatan Harapan (PH) itu.

Di Kedah dan negeri lain, khususnya di pinggir bandar dan luar bandar, prasarana dan capaian internet di beberapa kawasan masih rendah mengakibatkan pengundian kurang lancar hingga menimbulkan kekecohan.

Sistem e-undi juga mempunyai risiko dari aspek keselamatan siber, boleh digodam pihak tertentu, ketidaktepatan, integriti, serta boleh diakses dan diaudit pihak lain.

Isu e-undi boleh digodam dan kurang cekap menjadi masalah sejagat yang sebelum ini berlaku di negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Finland yang menggunakan sistem itu pada pilihan raya.

Di negara maju seperti Belanda juga sudah ada gerakan mahu memansuhkan sistem e-undi kerana terdedah dengan isu boleh digodam dan kurang cekap serta mudah dimanipulasi.

Guna sistem manual

Tidak hairanlah Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty mencadangkan supaya parti itu menggunakan semula sistem manual dalam pengundian parti, menggantikan sistem e-undi.

Ini untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar dan memberi keadilan kepada semua anggota parti, terutama yang ber- umur atau golongan tua.

Bukan mudah bagi golongan old school (orang lama) menggunakan internet kerana mereka sudah biasa dengan kaedah lama sejak parti itu ditubuhkan 20 tahun lalu.

Sukar bagi golongan ini menggunakan sistem dalam talian yang sudah tentu melambatkan proses pengundian sehingga berlaku kekecohan kerana ada ahli yang tidak sabar menunggu untuk mengundi.

Bayangkan, ahli PKR diminta memilih 20 orang Majlis Pimpinan Pusat, empat calon Naib Presiden, Timbalan Presiden, 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) peringkat cabang yang pastinya mengelirukan mereka dan melambatkan proses memilih calon terbaik. Ini tidak termasuk pemilihan jawatan lain, dan kepemimpinan peringkat cabang.

Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping, berkata ahli PKR sudah dua dekad menggunakan sistem manual dan secara tiba-tiba ia diubah kepada e-undi.

Ini pasti menimbulkan kekeliruan kepada pengundi khususnya generasi tua. Bagi generasi muda, walaupun rata-ratanya boleh menggunakan teknologi terkini, akses internet yang rendah juga menghalang mereka mengundi.

Pengaruh meningkat

Beliau berkata, isu kelemahan e-undi bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di negara maju seperti AS yang terkenal dengan kecanggihan teknologinya.

“Mengapa tiba-tiba menggunakan e-undi sedangkan ahli PKR bukan sedikit. Saya difahamkan lebih 900,000 orang yang sudah tentu menyukarkan pengundian.

“Kaedah manual ialah sistem yang diwarisi sejak PKR ditubuhkan 20 tahun lalu dan ada baiknya kaedah itu dikekalkan kerana belum lagi lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya.

Pengaruh parti yang semakin meningkat, apatah lagi logo PKR digunakan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga memberi kejayaan besar menumbangkan Barisan Nasional (BN) pasti menarik lebih ramai rakyat negara ini menyertai PKR.

Ini dengan sendiri berlaku perebutan kuasa dan persaingan merebut jawatan, sama seperti berlaku kepada UMNO sebelum ini.

Justeru, wajar Lembaga Disiplin PKR menyiasat kemungkinan cubaan sabotaj didalangi individu tertentu untuk mencetuskan pergaduhan pada pemilihan parti itu pada peringkat cabang dan pusat.

Tidak hairanlah Pengarah Komunikasi Strategik parti itu, Fahmi Fadzil, tidak menolak kemungkinan berlaku pergeseran di antara ahli PKR sehingga menyebabkan proses pengundian terpaksa ditangguhkan, mempunyai motif tertentu.

Apapun, secanggih mana sistem digunakan lebih baik menggunakan kaedah manual kerana ia sudah lama diwarisi PKR dan jikapun mahu menggunakan e-undi, pastikan tidak menyusahkan ahli yang tidak mahir menggunakannya.

Berita Harian X