Isnin, 2 Julai 2018 | 7:15am
SESI pengundian pemilihan kepemimpinan bahagian dan pusat ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di Dewan Yong Sheng, Bakri, kelmarin. - Foto Adi Safri
SESI pengundian pemilihan kepemimpinan bahagian dan pusat ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di Dewan Yong Sheng, Bakri, kelmarin. - Foto Adi Safri

Ke mana hala tuju UMNO selepas pemilihan 2018?

KEPUTUSAN Pemilihan UMNO 2018 kelmarin menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memenangi jawatan Presiden UMNO kelapan, mengetepikan dua pencabarnya, iaitu bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua lagi pencabar kerusi presiden, iaitu Razak Mohamed Iqbal Maricair dari UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin dari UMNO Bahagian Iskandar Puteri boleh diibaratkan sekadar memeriahkan pemilihan.

Persaingan sengit untuk jawatan utama dalam UMNO menunjukkan bahawa parti ini sedang menuju ke arah pemulihan setelah kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menang jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan mengalahkan lawan beliau, Tan Sri Annuar Musa.

Untuk jawatan Naib Presiden UMNO pula, di tempat pertama ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diikuti Datuk Seri Mahdzir Khalid dan tempat ketiga, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagi 25 kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, 146,000 perwakilan di seluruh negara memilih antara lain, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Tidak kurang juga muka baharu yang menang termasuk bekas pemimpin Pemuda UMNO seperti Tun Faisal Ismail Aziz, Datuk Lokman Noor Adam dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah, selain terselit seorang wakil Puteri, Khaidirah atau Dira Abu Zahar.

Gabungan muka lama, baharu

Gabungan muka lama dan baharu dalam saf kepemimpinan MT dilihat mampu untuk memberikan nafas baharu terhadap perjuangan UMNO selepas ini dalam memastikan parti mampu menjadi pesaing kepada Pakatan Harapan untuk meraih sokongan rakyat.

Presiden baharu UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dilihat sesuai untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen, bermula dengan sesi penggal pertama Dewan Rakyat pada 16 Julai ini.

Selepas memenangi jawatan Presiden UMNO untuk sesi 2018-2021, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Ku Li dan Khairy adalah pemimpin yang diiktiraf sumbangan mereka dan tetap diperlukan di dalam meniupkan semula roh baharu UMNO.

Menarik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri bahawa roh baharu diperlukan di dalam parti yang telah memerintah negara sejak merdeka pada 1957 sebelum kalah buat pertama kali pada pilihan raya, baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO juga tinggal hanya tiga parti, iaitu UMNO, MCA dan MIC daripada jumlah asal 13 parti komponen ketika menghadapi PRU-14.

UMNO mesti memikirkan strategi politik yang baharu termasuklah mengadakan kerjasama politik dengan PAS dalam memastikan parti itu terus relevan.

Jika diperhalusi manifesto Presiden UMNO yang baharu, ia termasuklah mempertahankan kepentingan Melayu, merakyatkan UMNO, mewujudkan Majlis Penasihat UMNO serta menetapkan tempoh presiden parti tidak lebih dua penggal berturut-turut.

Yang turut tersenarai ialah mewujudkan pangkalan data UMNO dan mewujudkan Akademi Perkaderan parti.

Ahmad Zahid berikrar bahawa jika diberikan mandat oleh ahli UMNO sebagai presiden, beliau ingin memulihkan UMNO dan sebenarnya sudah menunaikan janji pertama beliau walaupun ketika memangku jawatan itu.

Keadaan itu apabila UMNO telah memenuhi tuntutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mesyuarat cawangan dan bahagian serta pemilihan parti (sayap dan MT) perlu diadakan tidak lewat daripada 30 Jun.

Presiden mesti tegas

Ahmad Zahid mestilah tegas dalam melaksanakan tugas sebagai presiden kepada parti yang masih mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 51 (selepas tiga Ahli Parlimen BN umum keluar UMNO, termasuklah yang terbaru, Datuk Mas Ermieyati Samsudin).

Adakah akan ada lagi Ahli Parlimen UMNO/BN keluar parti selepas ini? Sebagai nakhoda baharu sebuah kapal yang sedang melalui lautan bergelora, Ahmad Zahid mestilah tegas dan memastikan wakil rakyat UMNO tetap setia kepada perjuangan parti.

Biarlah mereka yang tidak setia kepada perjuangan parti keluar, meninggalkan UMNO dengan hanya ahli yang setia.

Bagi Khairy dan Ku Li pula, mereka mestilah dimasukkan dalam saf kepemimpinan baharu UMNO dan pemulihan parti boleh dilaksanakan segera. UMNO tidak boleh ada pemimpin yang merajuk dan mereka yang kalah tidak sewajarnya diketepikan.

Peranan Mohamad selaku timbalan presiden juga penting dalam memastikan UMNO tetap relevan. Selaku timbalan, beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan ini memerlukan komitmen yang amat tinggi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kelmarin mencadangkan agar UMNO Pusat berpindah dari premis parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan mencari satu tempat baharu yang lebih ekonomikal.

Ia sebenarnya cadangan yang bernas kerana kini UMNO mestilah berfungsi sebagai parti pembangkang di mana sumber ekonomi adalah terhad, tidak seperti ketika menjadi kerajaan sebelum ini.

Beliau juga telah menekankan bahawa parti perlu memperkenalkan tadbir urus yang baik, jelas dan telus supaya semua ahli tahu cara UMNO diuruskan.

Dalam erti kata lain, beliau mahu parti dirombak semula agar dapat menyesuaikan dalam keadaan di mana ia kini berfungsi sebagai pembangkang.

Begitu juga dengan peranan tiga Naib Presiden UMNO yang dilihat cukup besar dalam memastikan perjalanan parti sentiasa pada landasannya di masa hadapan.

Wakil setiap zon

Secara kebetulan pula, ahli UMNO di peringkat akar umbi telah memilih naib presiden dari Kedah yang mewakili zon utara, Pahang yang mewakili zon Pantai Timur dan dari Johor yang mewakili Zon Selatan untuk berada dalam tampuk kepemimpinan baharu.

Cuma, Ahmad Zahid perlu melihat untuk melantik seorang wakil dari Sabah bagi mewakili suara ahli UMNO dan rakyat dari Malaysia Timur.

Kepemimpinan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan yang dipilih pada 23 Jun lalu juga memainkan peranan cukup berat membantu presiden mengemudi parti.

Di antara tugas yang perlu dilunaskan adalah memastikan ahli Pemuda, Wanita dan Puteri tidak berpecah selepas pemilihan dan merancang gerak kerja parti untuk jangka pendek dan panjang.

Rakyat melihat perkembangan UMNO secara dekat dan akan menilai sama ada parti ini sudah bangkit daripada kekalahan dan bersedia menjadi pembangkang yang baik.

Program yang hendak dilaksanakan mestilah yang dapat menarik perhatian rakyat dan bukan program 'syok sendiri' yang hanya membabitkan ahli parti sahaja.

UMNO perlu memberikan penekanan terhadap inklusiviti semua peringkat masyarakat dan bukan bersifat eksklusif.

Dalam keadaan akaun parti dibekukan untuk siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cadangan Asyraf Wajdi untuk menubuhkan sebuah tabung khas bagi mengisi dana untuk meneruskan kelangsungan parti sewajarnya amat dialu-alukan.

Jika UMNO sudah sedar dan melakukan perubahan secara total, tidak mustahil parti ini boleh kembali memberi keyakinan kepada rakyat dan mungkin berjaya melakar kejayaan pada PRU-15 nanti.

Bagi mencapai sasaran berkenaan, UMNO kena berubah jika ia benar-benar ingin berubah.

Mungkin UMNO dapat mengikut kejayaan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang bangkit kembali untuk membentuk kerajaan di Jepun pada 2013, hanya empat tahun selepas kalah pada pilihan raya 2009.

Berita Harian X