Rabu, 27 Jun 2018 | 7:36am

Tidak mungkin wujud bangsa Malaysia tanpa bahasa Melayu

ISU memartabatkan bahasa Melayu kembali bergoncang susulan tindakan seorang menteri yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin.

Perbuatan itu mengundang kecaman ramai pencinta bahasa meskipun kenyataan rasmi dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris turut juga dikeluarkan.

Ramai mempersoalkan apa rasionalnya kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin masih perlu dikeluarkan juga.

Untuk menjadi adil, jawapan terhadap isu ini sudah dijawab oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya yang mempertahankan mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa, yang menurut beliau, menekankan kepelbagaian bahasa di negara kita.

Bagi penulis, perkembangan itu amat memeranjatkan kita semua dan 'menghina' perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sejak dari dahulu.

Keputusan itu bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Apatah lagi meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa lain, yang bagi penulis ini adalah satu tindakan penghinaan.

Guan Eng seolah-olah lupa dengan pendirian beliau sebelum ini yang menyatakan sebagai I am not Chinese, I am Malaysian yang dinyatakan semasa di awal pelantikan beliau sebagai menteri.

Tindakan yang tidak boleh diterima

Untuk pengetahuan pembaca, di negara yang mempunyai pelbagai bangsa seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi kerajaan akan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara itu sahaja.

Bagi penulis, pegawai tinggi kerajaan yang bertindak atas kapasiti kerajaan dan menjalankan tugas kerajaan, dengan sedar dan sengaja memilih untuk tidak mematuhi dan menghormati amalan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, ia sudah pastilah satu tindakan yang tidak boleh diterima

Ketahuilah 'Bahasa Jiwa Bangsa' yang bermaksud bahawa bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Penggunaan dan penguasaan bahasa itu menunjukkan akan jati diri sesuatu bangsa.

Bahasa juga melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami antara satu sama lain. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan secara tidak langsung betapa kuatnya sesuatu bangsa itu.

Raja-raja Melayu sejak Mesyuarat Durbar pada 1903, telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa.

"Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu."

Titah wasiat Raja-raja Melayu serta tuntutan rakyat diberikan jaminan oleh pimpinan politik negara sebelum ini.

Ikrar pertahan kedaulatan bahasa Melayu

Ketika berucap dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah memberikan komitmen berikut:

"... Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini membuat pengakuan bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk mempertahankan bahasa kebangsaan yang tunggal bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan."

Perdana Menteri kedua kita, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa berucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, juga memberi jaminan bahawa bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini.

Bagi penulis, apa yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah artikel 161 dan artikel 152 yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus bahasa rasmi dalam urusan kerajaan.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan 1957 di bawah Perkara 152 telah menjamin kedaulatan dan autoritatif bahasa kebangsaan, kewujudan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) bertujuan memastikan bahasa kebangsaan diaplikasi dan diimplementasi secara holistik dalam struktur kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, lebih-lebih lagi penjawat awam yang juga barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Bahasa bukan hiasan

Dalam keindahan infrastruktur dan kemudahan dunia pertama, biar negara ini dihuni oleh masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa kebangsaan sebagai bahasa jambatan penyatuan pelbagai kumpulan dalam stratifikasi masyarakat di samping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi serta bahasa ilmu.

Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar dijadikan sekadar hiasan.

Tidak ada maknanya juga jika hanya termaktub satu perenggan dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya bahasa Melayu itu wajib disuntik dengan nilai, diberi nyawa dan diberi tempat yang selayaknya.

Ingatlah, maruah sesuatu bangsa itu terletak pada bahasanya. Seseorang yang menamakan dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung tinggi penghormatannya sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi dipijak.

Oleh itu setiap daripada kita mesti menguasai bahasa kebangsaan kerana bahasa itu membawa bersama sifat kepunyaan dalam diri setiap warganya.

Pada masa sama, ia juga memastikan maruah bangsa yang terdapat dalam Perlembagaan sentiasa terpelihara.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Jangan hanya kerana segelintir permintaan, maka kita korbankan bahasa. Tanpa bahasa Melayu, mana mungkin wujud bangsa Malaysia. Tanpa bangsa Malaysia, siapalah kita?

Penulis adalah Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X