Khamis, 22 Februari 2018 | 6:32am

Perlembagaan jamin hak semua bangsa

Umumnya, konsep negara bangsa mempunyai definisi yang luas kerana ia merujuk kepada kedaulatan negara dengan rakyat hidup harmoni walaupun berbeza bangsa, agama, bahasa dan budaya.

Kamus Dewan mendefinisikan negara bangsa sebagai negara berdaulat didiami oleh satu bangsa. Hal ini bermakna ciri negara bangsa itu merangkumi aspek 'semangat kenegaraan' dan 'rasa kekitaan' dalam kalangan penduduk negara berkenaan.

Kerangka yang sering dirujuk bagi mendefinisikan negara bangsa ialah Perjanjian Versailles ketika tamat Perang Dunia Pertama di antara pihak bersekutu dengan Jerman pada 28 Jun 1919. Mengikut takrifan itu, negara perlu diasaskan atas 'bangsa' yang disusun dalam satu organisasi, iaitu negara.

Kewujudan Empayar Funan, Champa, Sriwijaya dan Majapahit membuktikan bangsa Melayu sudah mempunyai organisasi politik berteraskan negara bangsa sejak awal.

Dalam konteks Malaysia, sejarahnya bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-15. Identiti negara bangsa begitu jelas apabila Sultan Melayu memerintah empayar berkenaan.

Sekalipun Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, ia tidak melenyapkan negara bangsa Melayu yang terbina. Negara bangsa Melayu berterusan melalui Kerajaan Melayu lain seperti Johor-Riau, Pahang dan Perak.

Sekitar 1879 wujud suara di Parlimen Honolulu, Hawaii untuk membentuk Dunia Melayu-Polinesia, diikuti cadangan warga Filipina, Apolinaro Mabini di Manila mengenai penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1898.

Seterusnya, gagasan 'Indonesia Raya' atau 'Melayu Raya' oleh Muhamad Yamin pada 1932, manakala di Tanah Melayu, Ibrahim Yaacob mengemukakan idea sama, tetapi terhad di Tanah Melayu dan Indonesia.

Bangsa Malaya

Sekadar mengambil contoh dari aspek politik, usaha membentuk bangsa Malaysia pada asalnya melalui gabungan PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat dan All Malayan Council for Joint Action) pada 1946.

Berteraskan perjuangan 'Melayu Raya', Perlembagaan Rakyat yang dibentuk menampilkan konsep 'bangsa Malaya' merangkumi semua kaum yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya, dan akan taat setia kepadanya.

Namun, usaha ini tidak kesampaian lantaran longgarnya kesepakatan.

Kemuncak negara bangsa ialah ketika bangkit bangsa Melayu di Tanah Melayu menentang Malayan Union pada 1946 dan dua tahun kemudian terbentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Berbekalkan identiti bangsa, orang Melayu melalui Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mengorak langkah ke arah berkerajaan sendiri, bukan lagi bernaung di bawah penjajah British.

Semangat untuk membina negara berteraskan bangsa Melayu akhirnya makbul pada 31 Ogos 1957, seterusnya pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Kewujudan Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) mencerminkan penerimaan konsep negara bangsa Malaysia yang bersifat terbuka. Orang Melayu dan kaum Cina serta India sepakat berjuang sebumbung di bawah satu gagasan politik.

Hal sama juga berlaku ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) apabila orang Melayu memegang ekuiti 30 peratus saja walaupun nisbah bangsa ini jauh lebih banyak pada masa itu.

Sifat terbuka ini juga ketara semasa pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang turut menerima unsur kebudayaan lain yang sesuai sebagai satu prinsipnya.

Kejayaan membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia ialah kemuncak pembentukan sebuah negara bangsa. Tanah Melayu dan Malaysia adalah nama yang bersandar kepada satu bangsa, iaitu Melayu.

Nama ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 1(1), iaitu 'Persekutuan dinamakan Malaysia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris'.

Identiti Melayu

Identiti Melayu pula diikat dengan agama melalui Perkara 3(1) yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan.

Hal ini dikukuhkan lagi melalui Perkara 160(2), iaitu "Orang Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu."

Tidak terkecuali, hal ini turut merangkumi Perkara 161A (6) berkaitan 'anak negeri' Sarawak dan Sabah kerana mereka juga sebahagian daripada rumpun Melayu.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala Perkara 89 menyentuh hal Tanah Simpanan Melayu.

Selain itu, jika diteliti satu demi satu identiti ini juga dimaktubkan melalui Perkara 32(1), iaitu Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, Perkara 37 berkaitan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Perkara 38 berkaitan Majlis Raja-Raja.

Yang pasti, Raja ini berbangsa Melayu dan bersesuaian dengan fitrah alam Melayu.

Begitu jelas identiti berteraskan bangsa Melayu disuratkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi undang-undang tertinggi negara.

Kepentingan kaum lain

Adakah negara bangsa ini meminggirkan kaum lain yang menjadi sebahagian rakyat Malaysia? Jawapan persoalan ini perlu berbalik kepada konsep alam budaya bangsa disebabkan masing-masing bangsa mempunyai alam budaya tersendiri.

Jika bangsa Melayu, alam budayanya di wilayah alam Melayu, sudah tentu bangsa India, Cina, Arab dan lain-lain mempunyai alam budaya masing-masing yang lazimnya, merujuk kepada tempat asal nenek moyang mereka.

Walaupun alam budaya Melayu dipecahkan oleh penjajah Barat hingga wujudnya perbezaan nama seperti Malaysia, Indonesia Filipina dan Brunei, bangsa terasnya tetap bangsa Melayu.

Sekalipun Perlembagaan Persekutuan tidak mencatat bangsa itu dengan 'kata nama khas', bukan bererti mereka diabaikan.

Perkara 153 jelas tertera klausa 'kepentingan sah kaum lain' yang merujuk kepada kaum Cina dan India atau bangsa lain yang diterima sebagai warga negara Malaysia.

Inilah yang menjadi kunci kepada mereka untuk menikmati segala keistimewaan seperti hak berpolitik, mengurus ekonomi, pendidikan dan kemudahan sosial lain dengan pribumi Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik, UniKL RCMP Ipoh

Berita Harian X