Khamis, 14 Disember 2017 | 6:50am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pengajian media massa perlu diubah

ASPEK kewartawanan kini berhadapan pelbagai cabaran. Cabaran paling mendesak adalah runtunan serta gelombang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang bukan hanya dirasai di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Dunia sedang menyaksikan fenomena yang tidak pernah terjangka khususnya menerusi capaian maklumat dipacu menerusi lebuh raya maklumat.

Kini terminologi media sosial semakin terkesan dan kewujudannya adalah menerusi pelbagai platform seperti blog, mikroblog, app serta jaringan sosial yang mampu menghubungkan manusia di seluruh dunia.

Fenomena pengaksesan jaringan sosial menerusi telefon pintar dan tablet telah bertindak sebagai pemangkin kepada kepantasan capaian maklumat. Satu kesan yang amat signifikan ialah menerusi jaringan sosial bukan sahaja membolehkan mereka berkomunikasi tetapi juga perkongsian maklumat dalam pelbagai bentuk seperti gambar, video, pengiklanan dan berita.

Situasi yang berlangsung memperlihatkan revolusi yang memberikan kesan ke atas kewartawanan di Malaysia. Dalam konteks ini ada sarjana memperkatakan keperluan perubahan dalam bidang pengajian kewartawanan sekiranya ingin kekal relevan dengan perubahan semasa.

Keperluan perubahan institusi media massa

Ian Hargreavas menerusi penulisannya Journalism: A Very Short Introduction menjelaskan akan keperluan perubahan institusi media massa sejak 2010, iaitu sama ada ia membabitkan akhbar, majalah mahupun televisyen, perubahan adalah perlu.

Kadar kepantasan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial dan kadar kepenggunaannya dalam kalangan manusia pada hari ini adalah cukup meluas.

Dalam konteks negara Malaysia, kebelakangan ini terlalu banyak sumber berita yang disebarkan menerusi media sosial meliputi berbagai platform sehingga mendatangkan kegusaran akan kesahihan akan faktanya.

Ditambahkan pula dengan sikap cepat mempercayai tanpa membuat rujukan silang dengan lain-lain media mengkucar-kacirkan persepsi masyarakat khususnya yang berkaitan dasar negara.

Kehadiran sumber berita menerusi media sosial wajar diraikan, namun ia tidak membataskan masyarakat dalam membuat rujukan silang kerana ini akan memberikan kelebihan kepada mereka khususnya dalam memperoleh kesahihan sesuatu berita dan sumbernya.

Mengikut data Institut Kewartawanan Reuters menerusi Laporan Pemberitaan Digital 2016 berdasarkan kajian di 26 buah negara membabitkan 50,000 responden, 51 peratus menggunakan media sosial sebagai sumber berita dan 12 peratus sebagai sumber utama.

Fenomena yang membabitkan platform media sosial sebagai sumber berita umpamanya Facebook (FB) perlu diperakui dan dikaji dengan mendalam. Di Malaysia, jumlah pengguna FB pada tahun semasa 2017 adalah 11.9 juta dan ia menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Media sosial ambil alih media tradisional

Daripada jumlah berkenaan, platfom FB adalah menjadi pilihan sumber berita sebanyak 58 peratus berbanding dengan aplikasi WhatsApp yang turut menjadi sumber berita, iaitu 51 peratus dan YouTube, 26 peratus.

Situasi yang wujud ketika ini adalah jelas menunjukkan akan peranan yang dimainkan oleh media tradisional sebagai penyebar maklumat dan pemberitaan telah diambil alih secara konsisten oleh media sosial.

Penentuan penggunaan bahan-bahan kewartawanan khususnya yang berkaitan dengan pemberitaan bukan lagi hak eksklusif institusi media tradisional.

Jika wujudnya keperluan untuk berubah maka peringkat yang paling mendesak ialah membabitkan bidang pengajian pada peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) sebenarnya.

Kita perlu menerima hakikat perubahan sedang melanda dan tidak ada noktah terhadap arus perubahan berkenaan.

Penulis ialah Pengarah Institusi Pengajian Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA

Berita Harian X