Rabu, 7 Jun 2017 | 6:24am

Saidina Jaafar tak buka puasa ketika gugur syahid

SAIDINA Jaafar bin Abi Talib bersama isterinya, tinggal di bawah perlindungan Raja Najjasyi selama hampir sepuluh tahun. Hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram.

Beliau dan isteri akhirnya dapat merasakan kelazatan beribadah selepas tidak mengecapinya ketika di Mekah kerana gangguan oleh kaum kafir Quraisy.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany meneruskan kisah mengenai Saidina Jaafar bin Abi Talib.

Pada tahun ke-7 Hijrah, Jaafar bersama kumpulan kaum Muslimin meninggalkan Habsyah lalu berhijrah ke kota Madinah.

Ketika mereka tiba di kota Madinah, saat itu Baginda Rasulullah SAW baru pulang dari Peperangan Khaibar sesudah berjaya menguasai Khaibar dan keseluruhannya.

Kegembiraan mengenai ketibaan Saidina Jaafar di kota Madinah itu bukan sahaja dirasai oleh Baginda SAW, bahkan seluruh kaum Muslimin turut merasai kegembiraan tersebut.

Saidina Jaafar adalah orang yang sangat prihatin kepada orang miskin sehinggakan beliau diberi gelaran dengan panggilan 'Abu al-Masakin' iaitu bapa kepada orang miskin.

Abu Hurairah mengatakan bahawa: "Orang yang sangat baik kepada kami ialah Jaafar bin Abi Talib. Beliau pernah mengajak kami ke rumahnya dan memberikan makan minum kepada kami sehingga habis makanan yang dihidangkan dan beliau sanggup mengeluarkan bekas kecil yang berisi manisan di situ dan kami menikmatinya bersama-sama."

Kegembiraan itu tidak berlanjutan lama. Selepas setahun lebih Saidina Jaafar berada di Madinah dan pada Jamadilawal tahun ke-8 Hijrah, Baginda SAW menggerakkan satu angkatan untuk menentang kerajaan Rom di negara Syam.

Baginda SAW mempersiapkan satu angkatan yang disertai oleh Saidina Jaafar. Kejadian itu berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan Harith bin Umair sebagai utusan untuk menyampaikan surat kepada Kaisar, Maharaja Rom.

Tetapi ketika Harith tiba di Mu'tah, Jordan, beliau disekat oleh ketua kabilah di sana yang akhirnya beliau dibunuh. Ia adalah satu tamparan hebat buat Baginda SAW dalam urusan dakwah kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang utusan dibunuh.

Bahkan di dalam undang-undang pada ketika itu juga, seluruh bangsa mengetahui bahawa utusan tidak boleh dibunuh.

Apabila Harith bin Umair dibunuh, Baginda menggerakkan sejumlah 3,000 angkatan perajurit perang dan melantik tiga ketua untuk memimpin angkatan itu.

Saidina Jaafar dipilih bawa panji

Panji peperangan itu diberikan kepada Zaid bin Harithah dan

Baginda berpesan: "Sekiranya Zaid gugur syahid, maka yang akan mengetuai kumpulan tersebut ialah Jaafar bin Abi Talib.

Sekiranya Jaafar juga terbunuh, maka ketika itu yang akan menjadi ketua kepada seluruh angkatan kaum Muslimin ialah Abdullah bin Rawahah. Sekiranya Abdullah juga gugur, maka ketika itu hendaklah kaum Muslimin melantik seorang amir dalam kalangan mereka yang mereka rasakan mampu untuk memimpin mereka."

Tatkala angkatan Muslimin ini tiba di Mu'tah, mereka dapati orang Rom membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi mereka. Ketika itu, berkumpul 100,000 angkatan tentera Rom dan mereka bergabung pula dengan 100,000 pasukan Arab yang beragama Nasrani.

Melihatkan itu, sahabat kemudian berbincang sama ada perlukah mereka menghantar utusan kepada Baginda Nabi SAW mengenai jumlah angkatan musuh.

Kemudian Abdullah bin Rawahah lantas berkata: "Tidakkah kita ini berperang untuk agama ini. Kita bukan berperang kerana jumlah kita yang ramai. Kita juga tidak berperang kerana cukup kelengkapan. Sebaliknya kita berperang untuk agama ini dan kita dijanjikan Allah dengan dua kemenangan, sama ada kemenangan di dalam medan peperangan atau kemenangan dengan mati syahid."

Api peperangan mula marak menyala. Zaid bin Harithah mula meluru ke arah angkatan musuh dengan gagah berani sambil mengikat erat panji peperangan yang ada pada dirinya. Angkatan musuh memerhatikan ke arah orang yang membawa panji peperangan tersebut.

Mereka menyerang Zaid bertalu-talu dan akhirnya Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah jatuh dan gugur ke bumi.

Tatkala Saidina Jaafar melihat Zaid dan panji peperangan jatuh, Jaafar terjun daripada haiwan tunggangannya dan terus meluru ke arah Zaid dan mengambil panji peperangan tersebut lalu ditegakkan semula.

Tangan ditetak hingga putus

Kemudian, beliau pula mula mempertahankan panji peperangan tersebut daripada angkatan musuh. Namun dalam masa yang singkat saat beliau bergelut dengan musuh, beliau juga dikepung angkatan musuh dan pada saat itulah angkatan musuh menetak tangan kanannya sehingga putus.

Sebelum panji tersebut jatuh ke bumi, beliau mengambil panji itu dengan tangan kirinya. Mereka kemudian menetak tangan kirinya lalu putus maka diapit dengan kedua lengannya.

Saidina Jaafar ditikam hingga mati

Kemudian mereka menetak bahunya sehingga tercabut dan pada ketika itu, mereka menyerbu dan menikam beliau dengan banyak yang akhirnya beliau jatuh tersungkur.

Panji peperangan itu sebelum jatuh ke bumi disambar pula oleh Saidina Abdullah bin Rawahah. Beliau juga tidak mampu bertahan lama kerana diserang oleh angkatan musuh dan saat beliau rebah, maka panji itu diserahkan oleh Saidina Khalid bin Al-Walid.

Khalid sangat pintar dalam strategi peperangan mula mengawal peperangan tersebut dengan baik. Akhirnya dengan strategi perang yang disusun oleh Khalid bin Al-Walid, maka beliau berjaya menyelamatkan tentera Muslimin daripada terkorban semuanya. Hanya 12 orang sahaja yang gugur syahid di medan Mu'tah ini.

Saidina Jaafar, saat gugur di medan peperangan beliau sedang berpuasa. Saat dibawa air kepadanya agar beliau dapat minum selepas luka teruk dan cedera parah, beliau tetap tidak mahu membatalkan puasanya.

Beliau kemudian berkata: "Aku sedia untuk menunggu minuman-minuman syurga." Berita kematian ketiga-tiga pemegang panji itu sampai kepada Rasulullah SAW. Berjurai air mata Baginda mendengarkan berita tersebut. Selepas itu, Baginda mendongak ke langit sambil tersenyum dan mengungkapkan: "Ketiga-tiga mereka telahpun dibawa ke syurga."

Berita Harian X