Selasa, 2 Mei 2017 | 6:00am

Potensi pekerjaan, karier masa depan

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Semalam kita menyambut Hari Pekerja di seluruh negara. Sambutan ini memberi makna yang besar kerana hampir separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah pekerja. Menurut statistik Jabatan Perangkaan, ada 14.7 juta pekerja di negara ini sehingga Oktober 2016.

Pekerja adalah nadi pembangunan, kemajuan dan transformasi negara. Untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) misalnya, dijangka 3.3 juta peluang pekerjaan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Kita percaya tenaga kerja ini bukan sekadar penting sebagai pemacu kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi dengan pekerjaan yang tersedia, ia memberi manfaat sosial apabila dapat menyara kehidupan tenaga pekerja.

Sambutan Hari Pekerja kali ini wajar menjadi medan kepada kita untuk memperhalusi isu strategik mengenai pekerja dan pekerjaan khususnya di negara ini pada masa depan.

Keadaan semakin kritikal dengan kemunculan Revolusi Industri Keempat atau Era Digital, yang menyaksikan kemajuan dan penggunaan teknologi secara radikal. Perkembangan mutakhir ini membawa kita kepada dua persoalan besar yang wajar direnungi bersama.

Pertama, apakah masa depan pekerjaan? Kedua, apakah bentuk pekerjaan masa depan? Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, pekerjaan menjadi isu pokok.

Peluang pekerjaan perlu sentiasa diwujudkan agar rakyat mempunyai sumber pendapatan. Tidak dinafikan, kemajuan dan penggunaan teknologi dalam Era Digital telah memberi implikasi kepada masa depan pekerjaan.

Teknologi ambil alih peranan

Teknologi sudah mengambil alih peranan manusia sedikit demi sedikit, sekali gus mengurang dan melupuskan peluang pekerjaan. Penggunaan mesin secara automatik menyebabkan tidak ada lagi keperluan fizikal dalam melakukan pekerjaan.

Di Amerika Syarikat, impak inovasi dan penggunaan teknologi menyebabkan jumlah pekerjaan dalam sektor pertanian menurun secara mendadak. Jika pada abad ke-19, 90 peratus tenaga kerja di negara itu bekerja di sektor pertanian, namun kini mengecil pada tahap dua peratus sahaja.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab dalam buku, The Fourth Industrial Revolution mengakui bahawa profesion seperti peguam, doktor, akauntan, wartawan dan penganalisis kewangan juga berpotensi mengalami pengurangan tempat apabila sebahagian tugas boleh dilakukan secara digital dan penggunaan teknologi automatik pada masa depan.

Revolusi Digital yang menyaksikan penggunaan teknologi secara radikal juga bawa persoalan mengenai pekerjaan masa depan. Apakah bentuk dan wajah baharu pekerjaan akan datang? Apakah bentuk kemahiran sesuai dengan pekerjaan akan datang?

Aplikasi penggunaan kecerdasan buatan, robotik

Kita menjangka akan wujud pelbagai pekerjaan baharu dalam ekonomi digital yang banyak mengaplikasi penggunaan kecerdasan buatan dan robotik. Forum Ekonomi Dunia menjangka 65 peratus kanak-kanak yang memasuki sekolah pada hari ini akan bekerja dalam bentuk dan fungsi pekerjaan baharu yang belum pernah wujud.

Selain itu, ekosistem pekerjaan juga berubah apabila tidak lagi perlu infrastruktur fizikal statik seperti pejabat, sebaliknya bergerak bebas secara maya. Kita dapat lihat perniagaan atas talian misalnya dapat sambutan luar biasa kerana ia jimat kos dan boleh diakses dengan cepat dan mudah.

Laporan Forum Ekonomi Dunia bertajuk The Future of Jobs: Employment, Skill and Workforce Strategy for the Fourth Industrial Revolution yang dikeluarkan pada Januari 2016 mendedahkan keupayaan kognitif menjadi antara ciri penting yang perlu dimiliki oleh tenaga kerja akan datang.

Ini juga bermakna, pekerjaan yang memerlukan keupayaan kognitif menjadi tumpuan berbanding pekerjaan menggunakan keupayaan fizikal.

Keupayaan kognitif adalah kemampuan berkaitan dengan tahap berfikir, kreativiti dan kemampuan penyelesaian masalah secara kompleks.

Tidak dinafikan, dua persoalan utama yang dibangkitkan dalam tulisan ini wajar ditangani dengan bijak ketika kita merencana transformasi negara melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Persoalan ini sangat kritikal kerana meskipun penggunaan teknologi mampu meningkatkan pengeluaran dan produktiviti, tetapi pada masa sama, ia mengecilkan peluang pekerjaan yang boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Mahu atau tidak, peluang pekerjaan baharu perlu sentiasa diwujudkan dari semasa ke semasa. Tugas ini tidak semestinya hanya didukung kerajaan, sebaliknya ia boleh disokong dengan aktiviti keusahawanan.

Apabila kita menjana keusahawanan, ia bererti peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Ini sangat baik dalam menyokong ekonomi berciri bebas tanpa pergantungan penuh kepada kerajaan.

Memandangkan bentuk pekerjaan masa depan memerlukan kemahiran baharu yang bergantung kepada keupayaan fizikal secara minimum, bakat yang ingin dijana khususnya pada peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu ambil kira keupayaan baharu seperti keupayaan kognitif yang tinggi.

Pada masa sama, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) perlu diarusperdanakan lagi sebagai bentuk pendidikan yang sentiasa mempertingkat tahap ilmu dan kemahiran berterusan rakyat.

Dalam kata lain, pengupayaan bakat dan potensi rakyat Malaysia khususnya tenaga kerja mahir mesti digiatkan. Hakikatnya, Revolusi Industri Keempat membuka dimensi baharu dalam wacana pekerjaan secara global.

Apa yang penting, kita perlu bertindak proaktif dengan memimpin teknologi yang digunakan untuk memperkasa manusia bukan menggantikannya.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu di Majlis Profesor Negara (MPN)

Berita Harian X