Selasa, 31 Januari 2017 | 6:05am

Pembelajaran melangkaui luar dewan kuliah

FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

SAYA berada dalam kumpulan pelajar terakhir sistem pengajian secara penggal di universiti awam. Ketika itu, tempoh pengajian adalah empat tahun.

Tempoh tersebut memberi masa yang mencukupi kepada mahasiswa bagi mendapatkan pengalaman pembelajaran dan menyelami dunia kampus sebelum keluar ke dunia sebenar.

Selepas itu, sistem pengajian secara semester telah dilaksanakan. Sistem semester adalah lebih pendek berbanding semester penggal. Tempoh pengajian sistem semester hanya 14 minggu. Bukan itu sahaja, sistem semester turut memperkenalkan tempoh pengajian tiga tahun, berbanding empat tahun dalam sistem penggal. Bagaimanapun, terdapat bidang kritikal yang masih mengekalkan tempoh pengajian selama empat tahun seperti Perubatan, Kejuruteraan dan Pendidikan.

Sistem semester dan tempoh pengajian tiga tahun diperkenalkan sekitar 1996 atau 1997. Ia bertujuan penghasilan graduan dengan kadar lebih cepat, selari dengan tuntutan ekonomi dan peluang pekerjaan ketika itu. Faktor seperti pasaran kerja yang masih terbuka luas telah mendorong penghasilan graduan untuk mengisi jumlah pekerjaan yang ditawarkan dengan segera.

Ketika diperkenalkan sistem semester, timbul beberapa persoalan dalam kalangan masyarakat antaranya, mampukah tempoh pengajian tiga tahun yang menggantikan sistem penggal pengajian empat tahun, menghasilkan graduan yang lebih berkualiti? Cukupkah masa mahasiswa untuk belajar dan lebih penting, mendapat pengalaman pembelajaran yang sewajarnya sebelum bergelar graduan yang matang?

Lapan universiti jadi perintis

Sehubungan itu, cadangan pelaksanaan program Gap Year seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam Amanat 2017 Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini sangat tepat pada masanya. Program yang akan dimulakan oleh lapan buah universiti awam pada September akan datang, dijangka memberi peluang kepada para mahasiswa untuk menimba pengalaman dalam melaksanakan kerja sukarelawan di agensi awam.

Penulis mengalu-alukan cadangan program ini atas beberapa faktor. Pertama, kita perlu menerima hakikat bahawa pembelajaran formal dalam dewan kuliah semata-mata tidak mencukupi tanpa pengalaman oleh mahasiswa. Kecemerlangan akademik perlu disokong dengan pengalaman pembelajaran yang diraih di luar bilik kuliah melalui aktiviti kemahasiswaan, kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Kedua, program Gap Year ini melatih mahasiswa untuk tidak perlu terburu-buru menyelesaikan pengajian masing-masing. Program ini akan dapat mengubah peranggu minda (mindset) mahasiswa bahawa mereka tidak semestinya perlu menyelesaikan pengajian dalam tempoh tiga tahun. Sebaliknya, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memperlengkap diri sebagai graduan yang matang dan berpengalaman. Ketiga, ia menyokong konsep Pendidikan Fleksibel yang dipromosikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun lalu.

Mengubah peranggu minda

Pelaksanaan program Gap Year memerlukan beberapa faktor. Pertama, ia sangat bergantung kepada peranggu minda yang tepat dalam kalangan mahasiswa. Hal ini amat kritikal kerana rata-rata mahasiswa mahu menyelesaikan pengajian masing-masing dengan cepat. Mereka perlu mendapatkan pekerjaan dan ganjaran seawal mungkin, lebih-lebih lagi tidak mahu terikat dengan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang lebih besar.

Kedua, tenaga pensyarah atau ahli akademik yang sentiasa 'dekat' bersama mahasiswa perlu menerapkan kepercayaan kepada mahasiswa mengenai konsep kecemerlangan holistik dan kepentingan pengalaman dalam pembelajaran mereka. Pembelajaran mereka tidak lengkap tanpa pengalaman bermakna sebelum bergraduasi.

Mereka juga perlu terus menanam kepercayaan bahawa kecemerlangan akademik bukanlah ukuran mutlak, terutama dalam berhadapan dengan dunia yang semakin kompetitif ini. Meskipun pencapaian akademik sangat penting, konsep kecemerlangan secara holistik perlu dipupuk dalam kefahaman dan kepercayaan diri mahasiswa.

Ketiga, pihak universiti perlu mengambil pendekatan yang anjal dalam menjayakan program Gap Year ini. Ia termasuk memudahcara penempatan pelajar untuk terbabit dalam apa jua aktiviti yang boleh membina pengalaman mereka. Namun, adalah lebih baik jika mahasiswa sendiri bersikap proaktif untuk menentukan jenis aktiviti yang boleh disertai, kerana inilah sebenarnya asas pelaksanaan program untuk memupuk mahasiswa yang mandiri dan mempunyai tahap pembangunan kendiri yang tinggi.

Keempat, pelaksanaan program Gap Year ini turut menuntut pengertian dan kerjasama pelbagai pihak. Program ini perlu mendapat kerjasama dan sokongan pihak PTPTN misalnya, kerana penglibatan mahasiswa dalam program ini akan menjadikan tempoh pengajian mereka berubah daripada tiga kepada empat tahun.

Pelaksanaan program Gap Year seperti yang dibincangkan dalam tulisan ini, membuatkan penulis percaya bahawa sudah tiba masanya kita memikirkan secara serius tentang keperluan dan kemungkinan untuk kembali kepada sistem penggal dan tempoh pengajian empat tahun. Apabila mahasiswa terbabit dalam progam Gap Year nanti, mereka sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun tempoh pengajian.

Tidak dinafikan, usaha universiti menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi perlu disokong dengan pemupukan nilai keinsanan. Nilai ini hanya boleh dipasakkan melalui pengalaman pembelajaran yang diperoleh di luar bilik kuliah sebagai persediaan menghadapi kehidupan sebenar. Saya percaya, mahasiswa yang kaya ilmu dan pengalaman, akan bersedia memberi lebih banyak manfaat dan sumbangan kepada negara.

Berita Harian X