Khamis, 1 Disember 2016 | 6:48am

UMNO harus selesai isu Melayu, rakyat

MULAI semalam hingga 3 Disember depan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan berlangsung di dalam suasana UMNO yang menjangkau umur ke-70 tahun. Pada masa sama, PAU kali ini juga dilihat sangat penting kerana berkemungkinan PAU inilah yang terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Oleh itu, PAU kali ini akan menjadi saat penting bagi kepemimpinan dan ahli UMNO merapatkan barisan dan memantapkan persepakatan dalam parti untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus utuh di persada pemerintahan.

Namun begitu, UMNO sebagai parti tunjang bagi bangsa Melayu harus meneruskan agenda dan perjuangannya untuk memartabatkan agenda Melayu. Yang pasti, bagi agenda Melayu terus berjalan dan mekar, UMNO sebagai sebuah parti ulung negara harus dipertahankan bagi menjamin kelangsungan hak dan kuasa orang Melayu diteruskan.

Namun, UMNO hari ini menghadapi cabaran sengit yang menggugatnya untuk berada di tampuk pemerintahan. Sokongan orang Melayu kepada BN-UMNO masih tinggi yakni berada pada tahap 60 hingga 65 peratus. Untuk menang besar pada PRU-14, UMNO perlu memenangi hati lebih 70 peratus undi orang Melayu.

Namun, kini UMNO menghadapi cabaran kepemimpinan selepas pengguguran Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet, termasuk kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Cubaan gugat UMNO, BN

Tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kini bekerjasama dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Nasional dilihat cuba menggugat dan menjatuhkan UMNO dan BN daripada tampuk pemerintahan. Maka, satu formula untuk menyelesaikan permasalahan ini perlu disegerakan supaya ia tidak menjejaskan sokongan UMNO dan BN pada PRU-14 nanti.

Ada juga kegusaran penyokong dan pemimpin akar umbi UMNO berkenaan hala tuju UMNO pada masa hadapan. UMNO perlu mengeluarkan satu agenda baharu yang khusus supaya UMNO kekal relevan kepada orang Melayu.

UMNO harus pragmatik dan mendapat sokongan semua pihak di dalam UMNO sama ada yang konservatif, mahupun moderat dan yang senior dan yang muda. Agenda Perdana Menteri berkenaan 'wasatiyah' amat baik untuk memandu perjuangan UMNO supaya ia kekal relevan. Konsep meremajakan UMNO yang diperkenalkan ketika PAU 2014 dilihat seolah-olah gagal. Isu ini sudah dilihat lapuk dan perlu dijenamakan semula dengan memberi peluang dan ruang sebenar kepada peremajaan dalam segala aspek kepemimpinan parti.

Latih pemimpin muda

UMNO perlu beri peluang kepada orang muda di dalam tampuk kepemimpinan parti dan kerajaan. Sistem pengkaderan perlu diwujudkan semula bagi melatih pemimpin muda. Kini sudah ada usaha dilakukan dengan mewujudkan sekolah politik di dalam UMNO, namun pendekatan ini belum sepenuhnya menyeluruh. Pemuda dan Puteri UMNO masih rasa mereka kurang mendapat tempat di dalam kepemimpinan UMNO dan diketengahkan misalnya sebagai calon pilihan raya.

Cabaran terbesar kepada UMNO ini adalah melalui perang persepsi dan ianya perlu ditangani secara bijaksana. Pada masa ini, masyarakat banyak melihat UMNO hanya memperjuangkan nasib untuk orang UMNO sahaja, bersikap elitis dan tidak untuk orang Melayu, keseluruhannya.

Oleh itu, UMNO juga perlu mengambil langkah untuk melaksanakan penjenamaan semula dengan membawa imej baharu lebih inklusif dan bukan eksklusif.

Pemahaman mengenai istilah perkauman atau rasis terhadap UMNO perlu diperbetulkan dengan melihat bahawa rasis lebih merujuk kepada sayang kepada bangsa Melayu dan bukan membenci bangsa lain.

Tiada masalah untuk membincangkan isu Melayu dan bukan Melayu secara konstruktif tetapi perlu dielak sama sekali kata-kata penghinaan kepada bangsa dan agama orang Melayu dan juga bukan Melayu. Ini boleh menjejaskan sokongan rakyat Malaysia kepada BN.

Sebagai persiapan untuk PRU-14 nanti, pengukuhan imej, personaliti dan kredibiliti calon bertanding pada pilihan raya perlu ditekankan. Calon pilihan raya juga boleh diperkenalkan lebih awal supaya pengundi kenal calon UMNO. Ini strategi berkesan untuk memenangi hati dan minda pengundi.

UMNO harus ada tentera siber yang tetap (bukan secara ad hoc atau sementara) di alam maya (internet) yang berperanan membantu menerangkan agenda dan perjuangan UMNO, selain menjawab kritikan yang dilemparkan kepada UMNO secara berfakta dan berhujah secara bijaksana.

Kemungkinan satu unit khas perlu dibentuk untuk berperanan ke arah ini. Golongan bijak pandai juga harus dibawa bersama membantu UMNO bagi terus memperjuangkan agenda Melayu masa kini.

Tumpuan juga harus diberi kepada golongan kelas menengah Melayu yang juga adalah pengundi pada PRU-14 nanti. Lebih daripada 55 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada golongan kelas menengah.

Bagi kelompok ini, mereka melihat faktor ekonomi sebagai penentu kepada sokongan mereka kepada parti yang bertanding. Jadi, PAU kali ini harus memberi perhatian khusus bagi menyelesaikan isu ekonomi seperti kenaikan harga barang, kos hidup, peluang pekerjaan dan sebagainya.

Berita Harian X