Rabu, 7 September 2016 | 6:02am

Kerajaan digesa tubuh pusat mental negara

KERAJAAN digesa menubuhkan pusat mental negara berikutan data menunjukkan bukti keperluan mendesak bagi menangani isu mental rakyat yang boleh memberi kesan kepada diri dan orang lain.

Ini berikutan, sesetengah penyakit mental seperti bom jangka yang menunggu masa untuk meledak sebagaimana kes yang telah ditunjukkan.

Ia adalah berisiko kepada semua pihak, syarikat, jabatan, agensi politik apabila berurusan, ditentukan, dikawal, malah diurus tadbir oleh individu yang mengalami masalah mental.

Sebagaimana contoh peristiwa hitam 'Amukan Prebet Adam',  dalam kejadian itu Prebet Adam berlari sambil menembak menggunakan 'mesin gun' membuta tuli dan telah terkena seorang Cina di hadapan Hankyu dan seorang Melayu di hadapan Batu Road Supermarket, Chow Kit.

Dalam tragedi amukan Prebet Adam Jaafar itu seorang lelaki Melayu, Che Soh Che Mahmud terbunuh di Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987.

Kes buli di sekolah, vandalisme, bekas kekasih mengamuk, samseng jalan raya, penculikan dan pembunuhan kanak-kanak malah mencuri seluar dalam pun menunjukkan tanda-tanda sakit mental.

Sehubungan itu, sebagai persediaan menghadapi penyakit kedua terbesar dunia sudah tentu pusat mental negara boleh bertindak sebagai perancang, pelaksana dan pemantau selain memberi rawatan pakar.

Ketika ini hanya terdapat lebih kurang 190 orang pakar bagi menampung 30 juta rakyat Malaysia atau seorang pakar bagi setiap 200,000 pesakit. Standard yang ditetapkan oleh WHO ialah seorang bagi setiap 10,000.

Pendidikan dan kesedaran sivik orang ramai masih lagi menganggap sakit mental bukan satu penyakit serius dan berbahaya, menyebabkan ramai yang menghantar ahli keluarga pesakit mental ke rumah kebajikan yang sudah tentu tidak akan mendapat rawatan sewajarnya.

Kajian terhadap banduan dipenjara  mengesahkan mereka menghadapi masalah mental semasa kecil, seperti gejala vandalisme, buli, samseng, terlalu aktif di sekolah.

Sekolah pun tidak merujuk mereka ini sebagai pesakit mental, hanya masalah disiplin, sedangkan masalah disiplin tersebut adalah ledakan daripada masalah mental mereka.

Keperluan terdesak

Penubuhan pusat mental negara adalah keperluan terdesak sebagai pusat rujukan one stop centre yang menyelaras, mengesan dan memastikan semua agensi berkaitan sumber manusia mendapat rawatan mental yang sewajarnya.

Contoh kes pengutip hutang daripada seorang normal menjadi pesakit mental mengugut penjamin dan penghutang, amah daripada normal menjadi mental memberi makanan bercampur najis kepada keluarga majikannya.

Kesannya, ia mendatangkan bahaya terhadap diri pesakit sendiri dan terhadap orang lain, komuniti dan masyarakat.

Bahaya bukan setakat membunuh diri tetapi membunuh orang lain.

Faedah penyelarasan sistem yang mana orang ramai akan yakin dengan keperluan pemulihan serta menyelamatkan ramai mangsa, ia juga membantu penyelarasan dan pemantauan kualiti perkhidmatan psikiatri yang menyeluruh. 

Berita Harian X