Sabtu, 30 April 2016 | 6:46am

Pendidikan patut seiring perubahan dunia

SEORANG insan yang hidup masa kini, bukan manusia yang sama, yang hidup pada kurun ke-20 lalu. Demikian juga generasi baharu yang meningkat remaja dan dewasa sekitar umur 30 sekarang, bukan lagi sama dengan orang yang hidup pada abad lalu.

Generasi sekarang ialah generasi siber, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang mengalami perubahan radikal dari segi mental, emosi dan akal fikiran.

Maka ketika berbicara, mendidik dan mengajar mereka, segala pendekatan, kaedah dan hujahan tidak lagi sama seperti dilakukan nenek moyang, guru dan orang kampung dahulu.

Sebagai ibu bapa, guru dan pendidik, termasuk pimpinan negara dan politik hari ini, harus memahami realiti ini, kerana ada ibu bapa kini, malah guru dan pendidik sendiri yang nampaknya tersalah arah dalam mengajar dan mendidik anak-anak sekarang.

Perubahan dalam jangka masa 60 tahun, meliputi setengah abad kedua kurun ke-20 dan satu dekad kurun ke-21, menghasilkan transformasi yang amat ajaib sekali bagi dunia.

Penghuni dunia kira-kira dua bilion pada tahun 1950 kini mencecah bilangan yang berganda. Penghuni dunia kini lahir dalam zaman teknologi, termasuk ICT yang tiba-tiba muncul di depan matadalam masa amat singkat.

Daya pemikiran manusia

Sejarah perkembangan dan pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan ICT membuktikan, semakin meningkat daya pemikiran serta penciptaan manusia, maka masa yang diambil dalam proses pembangunan menjadi semakin cepat.

Proses pembangunan sektor pertanian dalam kehidupan manusia kuno mengambil masa ribuan tahun untuk mencapai tahap kesempurnaan. Kemudian pembangunan sektor perindustrian menyusul juga sudah memakan masa hingga ratusan tahun untuk sampai ke destinasinya yang mantap, walaupun tidak sepanjang masa diambil oleh pembangunan sektor pertanian.

Namun, amat menakjubkan proses pembangunan ICT yang hanya baru berlaku pada pertengahan kurun ke-20 sudah sampai ke kemuncak kemajuannya dalam jangka masa kira-kira satu dekad sahaja pada kurun ke-21 ini.

Nampaknya ledakan pembangunan ilmu manusia dalam komputer dan teknologi serta peralatan berhubung dengannya hanya mengambil masa singkat untuk menguasai dunia dan manusia seluruhnya, dengan sendirinya sudah melakar sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perubahan dunia.

Oleh kerana pendidikan adalah persoalan manusia untuk manusia, maka pertambahan penghuni dunia begitu besar yang menguasai alam siber, ICT yang amat canggih, hal ini meletakkan dunia dalam tekanan termasuk bidang 'pendidikan'.

Kemajuan bidang perubatan dalam masa sama berjaya memanjangkan usia manusia, yang juga meletakkan tekanan lebih terhadap kesejahteraan sosial dan khidmat kesihatan. Bekalan makanan yang dulunya mencukupi untuk manusia seluruh dunia selama 10 hari, sekarang kehabisan dalam masa tiga hari sahaja.

Dalam perlumbaan manusia untuk mempercepat pengeluaran makanan, berlaku pelbagai pencemaran mengakibatkan perubahan cuaca, kemarau dan banjir, malah membawa kepada pertelagahan di antara dunia maju dan membangun, hingga ada kalanya mengakibatkan peperangan serta keganasan, tindas menindas, mengakibatkan pula penghijrahan, pelarian perang dan sebagainya, yang mengkucarkacirkan manusia.

Bank Dunia melaporkan, sekurang-kurangnya satu bilion manusia hidup dalam kemiskinan tegar, berpendapatan kurang AS$2 sehari atau RM7.79 (Bank Dunia 2011).

Tekanan mental, emosi

Tekanan yang dihadapi oleh manusia sebenarnya memberi kesan yang kritikal terhadap pembangunan pendidikan formal dan tidak formal bagi manusia abad baru ini. Ia sering mengakibatkan tekanan mental dan emosi manusia yang secara langsung mencabar keberkesanan pendidikan terhadap generasi baharu daripada keluarga dan masyarakat, juga pendidikan rasmi di sekolah dan pusat pengajian formal terhadap pembangunan insan dari jasmani, rohani dan akal mereka.

Hal ini ada kaitan rapat dengan pendidikan Islam kerana Islam adalah satu sistem hidup bertujuan mendidik manusia. Pendidikan itu tidak hanya disalurkan melalui kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT, malah misi itu diperkuatkan dengan perutusan Nabi dan Rasul untuk mendidik manusia dengan perkataan, perbuatan dan teladan sewajarnya bagi mencipta dunia dan penghuninya yang bertamadun.

* Penulis

ialah Pengerusi Institut Profesional Baitulmal,

Berita Harian X