X
Selasa, 19 April 2016 | 6:01am

Dual Language Program musnah matlamat DBP

AKTA dalam kehidupan moden, seperti juga dengan adat dalam masyarakat tradisional adalah ketetapan pelbagai peraturan untuk dipatuhi. Akta atau adat bukanlah dicipta sesuka hati.

Tidaklah memberi apa-apa makna jika akta atau adat hanya cantik di atas kertas atau manis di bibir, tetapi diabaikan begitu sahaja dalam kehidupan.

Dalam masyarakat tradisional yang tiada undang-undang bertulis, adat menjadi pegangan setiap anggota masyarakat. Peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun adalah hukum atau peraturan yang mesti dipatuhi.

Ada hukum adat atau peraturan budaya bagi menghukum mereka yang melanggar adat. Mereka yang mematuhi adat dipuji serta dilihat mempunyai martabat dalam masyarakatnya.

Penggunaan budi bicara hakim

Daripada adat tradisional itulah beberapa undang-undang moden dicipta. Sesuatu keputusan penghakiman kadang-kadang membenarkan penggunaan budi bicara hakim. Budi bicara hakim ada yang mengambil kira faktor adat dan budaya yang tidak bertulis.

Common Law di England umpamanya membenarkan seorang hakim mentafsir sesuatu undang-undang berdasarkan keputusan lampau dan budi bicaranya. Sistem ini agak berbeza dengan sistem undang-undang sivil yang berlandaskan statute serta teks undang-undang tertentu.

Di Malaysia sahaja ada sejumlah akta yang sudah diluluskan di Parlimen. Ini termasuk Akta Buruh, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Syarikat, Akta Polis, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pengangkutan Jalan, dan Akta Makanan. Semua akta ini digubal untuk menjaga kemaslahatan rakyat.

Perlindungan dalam Perlembagaan

Akta di atas mengawal serta melindungi hak kerajaan, institusi, perniagaan dan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan. Sesuatu dijalankan berlandaskan peruntukan di dalam akta.

Begitu juga sesuatu tindakan diambil berdasarkan peruntukan di dalam akta. Sebarang ganjaran atau hukuman juga tertakluk kepada apa-apa yang sudah diperuntukkan di dalam sesuatu akta.

Bahasa Melayu juga mempunyai perlindungan di dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152). Melaluinya Perlembagaan memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Kewujudan Perkara 152 ini tidak boleh dipadam atau dihilangkan kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan jika ia hendak dipinda atau dimansuhkan. Bahasa kebangsaan juga mempunyai akta tersendiri iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 atau Akta 32.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkembangkan. Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956. Peranan utama DBP ialah untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Ia tertakluk di bawah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (semakan 1978, pindaan dan peluasan 1995).

Enam matlamat DBP

Ada enam matlamat utama DBP dalam program membina serta mengembangkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu. Matlamat paling utama ialah untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang termasuk Sains dan Teknologi.

Matlamat utama DBP itu mutakhir ini tampaknya sedang dicabar dengan hebat, sekali gus mempersoalkan kewibawaan institusi ini. Dengan pelaksanaan Dual Language Program (DLP) yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains, Matematik dan Teknologi, jelas bertentangan dengan matlamat utama DBP untuk mengembangkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru Akta DBP, atau peruntukan Perkara 152 atau Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 atau Akta Pendidikan 1996 serta Wasiat Raja-Raja Melayu agar bahasa Melayu dipertahankan dan dikembangkan, seperti tidak memberi apa-apa makna bagi melindungi martabat serta matlamat pengembangan bahasa Melayu yang lebih hebat.

Pimpinan institusi DBP seharusnya tidak boleh berasa selesa dan tidak cakna dalam kontradiksi yang bakal meruntuhkan benteng terakhir bangsa ini.

Sudah lama tokoh bahasa Melayu, aktivis pencinta bahasa Melayu serta mahasiswa yang cakna terhadap masa depan bahasa Melayu memperjuangkan isu ini. Malangnya suara mereka tidak didengar oleh pihak atasan. Mungkinkah bahasa Melayu akan menjadi seperti anak kandung yang dibuang oleh ibu bapanya sendiri?

Qua vadis bahasa Melayu?

Berita Harian X