Isnin, 7 March 2016 | 6:00am

Antara madu dan racun

"ONE man's food is another man's poison" (madu bagi seseorang, mungkin racun bagi orang lain). Itu antara ayat yang pernah dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang ketika sidang Dewan Rakyat pada 1991.

Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri, mengkritik parti pembangkang terutama Kit Siang kerana sentiasa menuduh kejayaan kerajaan memajukan negara ini sebagai 'logik songsang' (perverse logic). Dr Mahathir dan Kit Siang yang ketika itu ketua pembangkang, tidak pernah sunyi daripada saling mengkritik, ancaman saman dan apa-apa perkara yang menggambarkan betapa dingin hubungan kedua-duanya sepanjang 22 tahun perkhidmatan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

Namun, kini segala-galanya sudah berubah. Dr Mahathir bukan saja boleh duduk bersama Kit Siang, malah bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang suatu ketika dulu pernah mengecam serta menggelarkan Dr Mahathir dengan pelbagai gelaran yang mengaibkan. Kelmarin, kumpulan yang diketuai Dr Mahathir itu tampil dengan Deklarasi 37 perkara dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir mendakwa ia bukan gerakan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Bagi Dr Mahathir, apa saja dilakukan Najib adalah 'racun' baginya seperti juga apa yang dilakukan Kit Siang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Malah, jika diteliti deklarasi 37 perkara seperti diumumkan oleh Dr Mahathir bersama barisan pembangkang kelmarin, hampir separuh berkisar kepada isu 1MDB. Malah, beberapa topik lagi boleh dirangkum, dirumus menjadi topik besar dan jika ini mampu dilakukan, bermakna deklarasi itu tidaklah sampai 37 perkara, mungkin antara 10 hingga 15 perkara perkara sahaja.

Namun, untuk memuaskan hati semua pihak dalam kumpulan yang merangkumi DAP, PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), maka butiran deklarasi itu dipanjangkan dengan huraian tersendiri meskipun bersandarkan tajuk atau isu sama. Pendeknya, deklarasi itu, yang secara keseluruhannya tiada isu baharu, malah diketahui umum, bagaikan dibuat secara tergesa-gesa.

Namun, itu adalah usaha terbaru untuk menjatuhkan Najib setelah beberapa cubaan gagal membuahkan hasil sebelum ini, seperti kegagalan untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen, penggunaan isu 1MDB dan plot menjatuhkan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO Disember 2015.

Belum pasti sejauh mana kesan tindakan itu ke atas rakyat keseluruhannya, kerana dalam amalan demokrasi, ukuran sokongan rakyat adalah melalui peti undi. Yang terdekat ialah pilihan raya negeri Sarawak tetapi bagi rakyat Bumi Kenyalang, Najib adalah madu. Ketua Menteri paling popular, Tan Sri Adenan Satem menyifatkan Najib sebagai Perdana Menteri bukan saja paling kerap ke Sarawak, malah bermurah hati terhadap pelbagai permintaan termasuk merealisasikan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Berita Harian X