Jumaat, 12 Februari 2016 | 6:28am

Media massa konvensional kena berani berubah

Perbincangan sempena HPN 2016 membabitkan tokoh korporat dan perniagaan republik Indonesia berpendapat bahawa perubahan sikap masyarakat berikutan kemajuan teknologi mempengaruhi suasana dunia dan secara langsung memberi kesan kepada fungsi media massa.
Perbincangan sempena HPN 2016 membabitkan tokoh korporat dan perniagaan republik Indonesia berpendapat bahawa perubahan sikap masyarakat berikutan kemajuan teknologi mempengaruhi suasana dunia dan secara langsung memberi kesan kepada fungsi media massa.

Satu sesi perbincangan sempena Hari Pers Nasional (HPN) 2016 Indonesia di Kota Mataram, Lombok, Indonesia Isnin lalu merumuskan bahawa media negara itu perlu menghadapi perubahan sikap masyarakat melalui pendekatan yang kreatif dan inovatif.

Ini penting bagi memastikan media, yang dikenali sebagai pers (press) di Indonesia, menghadapi pelbagai tekanan termasuk kurangnya minat membaca akhbar dalam kalangan masyarakat terhadap berita dan maklumat di media tradisional dan konvensional. Pers merangkumi media cetak dan elektronik.

Setakat ini, pengusaha media masih tercari-cari cara terbaik memastikan perniagaan mereka tidak terjejas dengan kehadiran media baharu. Media Indonesia terpaksa berbuat demikian untuk terus bertahan dan berkembang.

Perbincangan membabitkan tokoh korporat dan perniagaan republik itu berpendapat bahawa perubahan sikap masyarakat berikutan kemajuan teknologi mempengaruhi suasana dunia dan secara langsung memberi kesan kepada fungsi media massa.

Disebabkan perbincangan itu diadakan di Indonesia sempena HPN 2016 dan membabitkan tokoh dari negara itu, kita menganggap ia berfokus kepada kegusaran yang menghantui masyarakat di republik itu. Seperti dilaporkan media Indonesia, ahli panel yang mewakili pimpinan PERTAMINA, Bank Mandiri, Garuda dan Semen Indonesia, perbincangan merumuskan bahawa masyarakat Indonesia mulai kurang membaca media tradisional.

Maklumat melalui media baharu

Sebaliknya masyarakat Indonesia mendapatkan maklumat melalui media baharu dan media sosial. Bagaimanapun, alasan kurang minat masyarakat Indonesia membaca akhbar agak berbeza dengan alasan di beberapa negara lain. Di sesetengah negara, alasan perpindahan masyarakat kepada media baharu dan media sosial adalah disebabkan pendirian akhbar yang terlalu banyak menyiarkan berita dan maklumat yang memihak kepada kerajaan.

Mereka menganggap media tradisional menjadi ejen propaganda kerajaan. Oleh itu, masyarakat terpaksa mencari media alternatif untuk mendapatkan maklumat alternatif. Di Indonesia yang mempunyai lebih 250 juta rakyat, andaian yang mengatakan kejatuhan pembaca akhbar disebabkan pendirian media terlalu menyokong kerajaan, adalah tidak tepat. Akhbar di Indonesia adalah kritikal terhadap kerajaan dan sering mengkritik pemerintah, tetapi edaran akhbar tetap jatuh.

Di republik itu, alasan yang mengatakan masyarakat tidak membaca akhbar atas alasan media menyokong kerajaan, tidak boleh dipertahankan. Walaupun akhbar di Indonesia kritikal terhadap pemerintah, bilangan pembaca akhbar, turut jatuh. Pada masa ini, media Indonesia bebas menyiarkan apa juga berita atas nama kebebasan bersuara. Presiden Joko Widodo atau Jokowi ketika merasmikan HPN kelmarin menegur sikap media negara itu yang tidak bersikap positif terhadap pemerintah. Berita sensasi dan tajuk berita yang negatif memberi kesan tidak baik dari segi keyakinan pelabur terhadap Indonesia.

Jika alasan yang mengatakan rakyat tidak membaca akhbar tertentu disebabkan sikap dan pendirian media menyokong kerajaan, ia adalah andaian yang meleset. Media Indonesia menikmati kebebasan yang lebih meluas berbanding akhbar lain di rantau ini, malah di dunia. Media di Indonesia lebih berani dan sering menyiarkan berita yang bertentangan dengan kehendak kerajaan.

Pengusaha media sewajarnya melihat semula model perniagaan masing-masing untuk memastikan sama ada ia masih sesuai dalam konteks hari ini atau sudah ketinggalan zaman. Bagi mereka, model bisnes media massa tidak lagi sesuai dan tidak mengikut perkembangan masyarakat. Bagi perusahaan media cetak, keadaannya lebih menekan disebabkan kos kertas yang tinggi, manakala masyarakat juga tidak gemar membaca akhbar.

Media massa masih efektif

Namun, ahli panel tetap positif dan yakin bahawa keadaan ini tidak bermakna media massa konvensional menghadapi masa depan yang gelita. Bagi mereka, media massa masih efektif untuk berhubung dengan masyarakat. Cuma, syarikat industri media massa perlu menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Hikmah daripada hasil perbincangan berhubung masa depan media di republik itu, apa yang jelas ialah media di negara itu mulai gusar dengan perkembangan dan masa depan media di negara berkenaan. Jika dengan hampir penduduk yang besar sekali pun Indonesia masih bimbang dengan industri media di republik itu, tentu ia lebih membimbangkan di negara yang jumlah penduduknya lebih kecil akibat persaingan media sosial.

Presiden Jokowi ketika merasmikan HPN 2016 itu memberi perspektif yang agak berbeza dalam konteks persaingan media. Katanya, keadaan ini berpunca daripada persaingan sesama media sendiri. Akibat persaingan media sesama sendiri, media mengabaikan fakta dan ciri kewartawanan media. Persaingan yang sepatutnya boleh memberi hasil yang baik menjadi negatif sekiranya mengabaikan tanggungjawab media. Apabila media tidak lagi mengambil sikap tanggungjawab sosial, ia akan menyebabkan reputasi akhbar itu terjejas. Apabila rakyat tidak lagi membaca akhbar sudah tentu edaran akhbar akan jatuh.

Penulis ialah Felo Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X