Khamis, 31 Disember 2015 | 6:47am

Kaum Cina wajib kuasai bahasa Melayu

SERING kedengaran kenyataan beberapa pemimpin negara bahawa pengambilan lebih ramai kaum bukan Melayu untuk bekerja dalam sektor awam, akan memudahkan kaum bukan Melayu ketika berurusan di pejabat kerajaan, kerana masih ramai kaum bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu.

Malah, terdapat ramai juga yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, sedangkan bahasa Melayu ialah bahasa negara ini.

Pengambilan ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah komunikasi dalam bahasa Melayu yang dihadapi kaum bukan Melayu. Dengan ini, penjawat awam berbangsa Cina misalnya, akan ditugaskan untuk melayan pelanggan Cina dalam bahasa Cina. Sudah tentu cara ini dapat menyelesaikan masalah berkomunikasi dalam bahasa Melayu itu.

Kebelakangan ini, kaum bukan Cina, misalnya Melayu didapati ghairah mempelajari bahasa Cina, yang sesetengahnya dimulakan kaum Cina sendiri. Ini dilakukan atas alasan utama bahawa bahasa Cina akan menjadi bahasa antarabangsa lain yang penting. Ini berikutan kebangkitan China kini yang didakwa akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi utama dunia, dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, bahasa Cina bukan sahaja perlu giat dipelajari, malah ia juga hendaklah diberi tempat yang lebih wajar di negara ini seperti yang dimohon beberapa pihak dari kalangan kaum Cina.

Dalam usaha mempelajari bahasa Cina oleh kaum Melayu misalnya, mereka juga terikut-ikut dengan alasan kaum Cina, iaitu untuk memudahkan komunikasi antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Dengan ini, pengetahuan dan penguasaan bahasa Cina itu akan digunakan untuk menyelesaikan masalah komunikasi kaum Cina dalam bahasa Melayu.

Pertingkat kemahiran

Sepatutnya masalah ketidakcekapan berbahasa Melayu dalam kalangan kaum Cina ini diatasi dengan mempertingkat kemahiran itu dalam pelbagai kursus penataran yang boleh dianjurkan. Malangnya perkara sebalik yang berlaku, iaitu kaum bukan Cina, Melayu misalnya mempelajari bahasa Cina untuk berkomunikasi dengan lebih baik bermakna dengan kaum Cina melalui bahasa Cina.

Kalau inilah keadaannya, kaum Cina yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, tidak akan berusaha untuk mempertingkat kemahiran ini, sama ada dalam kalangan pelajar di sekolah, mahupun orang dewasa di tempat kerja. Ketidakcekapan dalam bahasa Melayu tidak menjadi masalah lagi apabila ada penjawat awam Cina dan kaum Melayu sendiri di hospital misalnya, yang boleh berkomunikasi dengan mereka.

Sudah tentu ini bukan isyarat baik dalam usaha kita membentuk negara bangsa. Masalah ketidakcekapan berbahasa Melayu yang sudah lama berlarutan sejak negara mencapai kemerdekaan, tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia hendaklah ditangani sebagai agenda sosiobudaya nasional yang penting.

Ketidakcekapan dalam bahasa kebangsaan mencakupi banyak perkara kenegaraan. Antaranya termasuk persoalan nasional, nasionaliti dan nasionalisme, selain identiti nasional.

Dalam hal ini, walaupun negara ini ikut dibina kaum bukan Melayu, adalah mustahak bahawa semua warganegara berkongsi gagasan penting mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib diketahui dan dikuasai dengan baik. Lebih penting, ia wajib digunakan dalam urusan rasmi.

Dengan semua warganegara fasih berbahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara, pasti akan mempertingkat suara politik mereka, khususnya dalam kalangan pemimpin kaum. Mereka dapat menyuarakan sebarang hal, seperti yang dibenarkan dalam sistem demokrasi negara, dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Identiti nasional rapuh

Penggunaan bahasa lain dalam ranah formal dan rasmi negara bukan sahaja memperlihat rakyat Malaysia tiada identiti nasional, ia juga mempamerkan kita sebuah negara yang masih tidak bersatu, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

Oleh itu, masalah berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang sepatutnya tidak wujud selepas enam dasawarsa kita merdeka, hendaklah diatasi segera. Keadaan linguistik ini sebenarnya bukan sahaja membayangkan, ia sudah pun mencerminkan keadaan rancu yang sedang berlaku dalam masyarakat dan negara kita.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita belum dapat bersatu dengan baik, sebagai negara bangsa yang dihasratkan. Ramai warganegara kita yang masih tidak nasional, malah nasionaliti pada mereka boleh dipersoal dan nasionalisme warganegara Malaysia mereka jauh daripada kental.

Berita Harian X