Jumaat, 25 Disember 2015 | 6:16am

Pengaruh akhbar, media baharu perlu seimbang

PENGARUH akhbar dan media baharu. - Foto ihsan www.flickr.com/streetmatt
PENGARUH akhbar dan media baharu. - Foto ihsan www.flickr.com/streetmatt

Di kebanyakan institusi pengajian tinggi hari ini, khasnya di universiti awam, pelajar didapati kurang berminat membaca akhbar. Kebanyakan mereka lebih selesa mendapat maklumat atau mengikuti perkembangan semasa melalui media baharu. Mereka mengiktiraf media baharu sebagai gaya hidup moden.

Mereka akui lebih mudah dapat maklumat melalui internet sama ada menerusi komputer atau telefon pintar. Mereka tidak perlu keluar membeli akhbar yang dianggap ketinggalan zaman. Bagi golongan ini akhbar tidak memenuhi cita rasa mereka.

Pelajar menjadikan media baharu cara membantu mereka dalam pelajaran. Di luar waktu kuliah, mereka menghadap komputer sama ada membaca jurnal, tesis, buku elektronik dan sebagainya. Ia memudahkan proses pembelajaran mereka yang bukan sahaja kurang membaca akhbar, malah jika tidak dikawal boleh melarat kepada buku. Mereka lebih berpandukan kepada maklumat dalam 'pustaka' di alam maya. Walaupun itu bukan suatu kesalahan, meninggalkan amalan membaca buku dan akhbar, bukanlah ciri pelajar yang progresif.

Pelajar sewajarnya menjadikan buku sebagai gedung ilmu manakala maklumat dan berita di akhbar sebagai wadah mengikuti perkembangan semasa, walaupun zaman mereka adalah era media baharu. Malangnya, akhbar bukanlah sumber maklumat penting bagi pelajar hari ini. Pelajar hanya baca akhbar secara kebetulan jika berada di sesuatu tempat yang surat khabar ada atas meja. Mereka jarang membeli akhbar, melainkan ada sesuatu maklumat mereka perlukan yang tidak ada di media sosial. Mereka juga menjadikan akhbar atau media arus perdana termasuk radio dan televisyen untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita atau maklumat.

Pengaruh media baharu

Bila ditanya adakah mereka membaca akhbar cetak, tanpa rasa bersalah mereka kata 'tidak' atau 'kadang-kadang'. Ia adalah realiti hari ini dan mereka tidak segan silu mengakuinya. Ditanya bagaimana mereka dapat berita atau maklumat, dengan tangkas menjawab mereka mengikuti setiap perkembangan semasa melalui media baharu sama ada portal berita, blog, Facebook dan sebagainya. Mereka juga membaca berita atas talian dari syarikat media arus perdana.

Oleh itu, tidak ada sebab mereka perlu baca akhbar. Apa juga alasannya, setiap pelajar tanpa mengira jurusan sama ada sains atau sastera, sains sosial, ekonomi, sains politik, pengajian antarabangsa, sejarah dan sebagainya, sepatutnya diwajib menjadikan akhbar sebagai sumber maklumat utama sama ada untuk tujuan pelajaran atau menambah ilmu. Mereka perlu diberitahu maklumat atas talian sepatutnya maklumat tambahan, bukan mutlak. Maklumat dan berita dalam portal tidak boleh disamakan dengan berita akhbar. Pengendali berita atas talian memilih menyiarkan berita sensasi untuk menarik pembaca. Paling penting, maklumat daripada akhbar mempunyai ciri-ciri kewibawaan berbanding berita yang disiarkan sewenang-wenangnya di portal berita atau laman berita dikendalikan oleh mereka yang tidak dikenali.

Di pusat pengajian media atau komunikasi pun, semakin kurang pelajar membuat kajian mengenai akhbar. Dari segi peratusan, ramai memilih untuk mengkaji berita atau maklumat di alam maya, memberi gambaran pelajar mengasingkan diri daripada akhbar dan bahan bercetak. Keadaan seperti ini perlu dilihat dengan serius walaupun kerajaan mengiktiraf kebebasan mendapatkan maklumat, kebebasan akhbar dan sebagainya. Pelajar perlu faham, membaca akhbar membolehkan mereka mendapatkan suatu perspektif berhubung sesuatu isu. Perspektif di media baharu berbeza dengan perspektif yang dipaparkan di akhbar.

Keadaan seperti ini boleh membentuk persepsi yang salah. Persembahan dan penyampaian berita antara akhbar dan media atas talian juga berbeza. Berita yang dianggap penting bagi akhbar tidak semestinya menjadi berita pilihan di media atas talian dan begitu juga sebaliknya. Fenomena ini adalah satu perkembangan tidak sihat bagi sebuah negara muda seperti Malaysia. Sikap pelajar yang lebih gemar membaca berita di atas talian berpunca daripada pelbagai sebab. Mereka mungkin didedahkan kepada media baharu berasaskan kepada kemajuan sekeliling. Masing-masing ada komputer riba atau telefon pintar yang membolehkan mereka mengakses setiap maklumat dalam internet. Untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat, universiti pula menyediakan kemudahan WiFi atau unify.

Pengamal media tidak boleh biarkan perkembangan seperti ini berterusan tanpa melakukan sesuatu tindakan untuk menggalakkan pelajar membaca akhbar. Pelajar seharusnya diberitahu mereka perlu baca akhbar atas alasan konkrit. Pengamal media seharusnya masuk ke setiap universiti dan 'berkempen' supaya pelajar membaca akhbar. Jika tidak, akhbar akan kehilangan sengat dan pembacanya kian berkurangan.

Penulis ialah Felo Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X