Selasa, 15 Disember 2015 | 6:49am

Kembali bertaut lupakan persengketaan

SUKAR dinafikan walaupun selepas dua hari Perhimpunan Agung UMNO 2015 menutup tirainya kelmarin, masih ada bibit-bibit rasa terkilan dan kecewa meresapi jiwa sanubari orang UMNO. Harapan mereka untuk melihat 'babak' Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbaik semula dengan Presiden, Datuk Seri Najib Razak di atas pentas tidak menjadi kenyataan.

Ramai orang UMNO terutama perwakilan yang berada di Dewan Merdeka terkedu apabila salam siraturahim dihulurkan presiden bagi mengukuhkan kembali ikatan parti, disambut hambar oleh timbalannya dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Malah, ada yang menitis air mata kerana harapan untuk melihat tiga pemimpin mereka berbaik semula di atas pentas tidak terjadi.

Tambah memedihkan orang UMNO, kedua-dua pemimpin terbabit bertegas tidak akan memohon maaf kepada presiden yang juga Perdana Menteri atas alasan tidak mempunyai masalah peribadi atau bergaduh dengan Najib, selain bertegas apa yang mereka bangkitkan adalah untuk kepentingan rakyat.

Pasti ada pihak yang terasa dan marah jika ada tanggapan mengatakan yang kedua-dua pemimpin seperti ego, tetapi pengakhiran yang berlaku di atas pentas selepas ucapan penggulungan presiden sepatutnya menjelaskan kepada ahli UMNO, siapa yang lebih memiliki jiwa besar sebenarnya.

Presiden beri isyarat jelas

Apa yang pasti, ucapan penggulungan itu memberi isyarat jelas bahawa presiden parti konsisten dengan pendiriannya yang tidak akan berundur atau menyerah kalah daripada perjuangannya kerana jika masih wujud penentangan selepas ini, bermakna mereka yang menentang itu menolak keputusan kepemimpinan parti.

Dalam hal ini, ramai pemimpin UMNO berpendapat pendirian dan tindak tanduk yang ditunjukkan Muhyiddin dan Mohd Shafie sebenarnya akan meletakkan UMNO pada kedudukan lebih sukar untuk mengukuh kembali parti lebih-lebih lagi untuk mengharungi cabaran politik selepas ini termasuk berdepan pilihan raya umum.

Ketika pembangkang sedang berdepan kemelut sesama mereka, sekarang dan selepas ini sepatutnya menjadi peluang kepada UMNO untuk mengukuhkan kedudukannya, memastikan perpaduan ahli dan pemimpin kembali bertaut serta melupakan segala persengketaan.

"Saya fikir, dalam permasalahan yang berlaku hari ini, pemimpin perlu meletakkan parti di hadapan melebihi kepentingan lain," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam situasi hari ini, tidak banyak sebenarnya yang diminta oleh ahli UMNO. Mereka hanya mahu orang nombor dua parti kembali berbaik semula dan bermaafan dengan orang nombor satu walaupun menyedari isu sebenar yang menyebabkan berlakunya perseteruan ini adalah berkaitan urusan pentadbiran kerajaan.

"Bila orang nombor dua tidak boleh bekerjasama dengan nombor satu, maka banyak perkara lain akan timbul. Ini akan membawa kemelut dalaman parti berpanjangan. Kita tidak mahu jika kemelut ini berpanjangan, ia akan menimbulkan kesan lain pula. Jika ada yang hilang sabar, akan berlaku tindakan lain pula," kata seorang lagi ahli MT, Datuk Sohaimi Shahadan sambil menambah MT belum memikirkan tindakan lanjut perlu dilakukan bagi menangani kemelut ini.

Tugas perwakilan bertambah

Jangkaan perwakilan yang sebelum ini mereka tidak perlu lagi memberi penjelasan kepada akar umbi mengenai konflik pada peringkat pucuk kepemimpinan selepas berakhir perhimpunan ternyata meleset. Natijahnya, tugas perwakilan semakin bertambah kerana perlu bercerita kepada akar umbi pula apakah yang harus dilakukan apabila pulang ke kawasan masing-masing nanti.

Akan tetapi, hakikat yang tidak dapat disangkal ialah tindak-tanduk ditunjukkan Muhyiddin dan Mohd Shafie ini bakal menentukan masa depan dan perjalanan politik mereka selepas ini sama ada terus diterima parti atau tersingkir. Sejarah UMNO menunjukkan jarang pemimpin yang tidak sehaluan dengan Presiden mampu terus berada dalam saf kepemimpinan tertinggi parti.

"Jika mereka angkuh, kita nak buat macam mana. Kita hanya boleh tunggu dan lihat," kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengulas kemelut ini.

Hanya yang diharapkan selepas berakhirnya perhimpunan kali ini, perpaduan dan solidariti ahli UMNO di semua peringkat sama ada cawangan, bahagian, negeri serta pusat akan terus kukuh dan bertaut. Selebihnya, serahkan kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan parti untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku ini demi kelangsungan perjuangan parti. 

Berita Harian X