Ahad, 13 Disember 2015 | 7:18am

Memulihkan sokongan ahli, rakyat

Sejak dari dahulu, sudah dijelaskan mengapa UMNO mesti terus mengekalkan perpaduan yang menjadi satu daripada tunjang kejayaan parti utama negara. Ketika UMNO dilanda pelbagai krisis dan isu yang membelenggu parti ini, ketika inilah juga UMNO perlu lebih bersatu dan menunjukkan kredibiliti sebagai parti yang akan terus memperjuangkan nasib anak bangsanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak beberapa kali mengingatkan ahli UMNO supaya mementingkan parti dan bukannya mengejar agenda peribadi mereka yang boleh menggugat kestabilan dalam parti. Nampaknya gesaan ini mendapat perhatian tiga sayap utama apabila Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO terus berikrar mempertahankan Najib bagi menerajui parti dan kerajaan. Inilah semangat solidariti dimaksudkan.

Dengan berdiri di belakang presiden, pasti UMNO mampu menggerakkan perancangan dan program yang diatur supaya terus memainkan peranan penting sebagai parti paling utama di negara. Dalam hal ini, elemen kesetiaan memainkan peranan penting.

Dalam ucapan dasar pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2015, Najib menjelaskan beliau tidak pernah berniat mengkhianati parti keramat itu. "Saya seorang yang tidak confrontational, saya juga tidak pernah menjatuhkan sesiapa... apatah lagi mengkhianati parti UMNO tercinta ini," katanya.

Platform sesuai perbaharui ikrar

Itulah sebabnya Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir hari ini, sepatutnya menjadi tempat paling sesuai memperbaharui ikrar bagi menunjukkan kesetiaan mereka pada parti dan memastikan UMNO terus relevan dalam persada politik di negara kita.

Biarpun ada beberapa isu seperti 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion yang menyebabkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan ahli UMNO, sikap keterbukaan Najib memperjelaskan polemik ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dan tindakan bijak serta tepat untuk memperjelaskan apa juga kebimbangan dan keraguan ahli UMNO.

Setiap pemimpin diuji dengan pelbagai cabaran. Begitu jelas Najib sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan. Mungkin ada pihak mempertikaikan cara beliau mengendalikan isu yang disebutkan tadi. Namun, kita perlu melihat cara Najib mengendalikan isu dengan penuh kewibawaan. Ketenangan yang ada pada dirinya juga menggambarkan beliau seorang pemimpin yang mampu menahan dan menongkah arus penentangan.

Itu sebabnya juga ramai penganalisis politik menyatakan semua isu dan polemik ini akan menjadikan UMNO semakin matang. Lihat sahaja apa yang berlaku ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditentang Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam. Timbul pula Team A dan Team B dan kemudian pengharaman UMNO pada 1988.

Begitu juga ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan dikatakan isu itu boleh meruntuhkan UMNO. Namun, sehingga hari ini, UMNO terus mantap biarpun terpaksa melalui pelbagai cabaran. Apa yang penting ialah sokongan padu dan kepercayaan penuh anggota parti terhadap pucuk pimpinan.

Dalam perhimpunan agung kali ini, isu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan perwakilan. Tiada salahnya untuk bincangkan isu ini dalam kalangan perwakilan, namun yang lebih penting ialah membicarakannya dengan hemah dan tidak mengikut perasaan. Perlu diingatkan sekali lagi bahawa solidariti dalam UMNO perlu dijaga dan dipelihara dengan baik.

Itu sebabnya saya tertarik dengan kata-kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO boleh diibaratkan seperti rakit yang terbina daripada himpunan batang kayu terikat. Ada ketikanya, ada antara tali yang mengikat kayu itu terputus, namun rakit itu mesti dipertahankan.

"Tali ikatan jangan terputus agar kayu yang menjadi rakit itu tidak dihanyutkan air. Maka eloklah tali itu diikat semula. Biarpun ada tali putus, biarlah tali yang putus itu dihanyut air deras tapi rakit tidak tenggelam." Begitulah kata-kata Zahid yang penuh bermakna dan perlu difahami ahli UMNO.

Usah cepat berpuas hati

Sememangnya jika isu berkaitan dengan Timbalan Presiden UMNO dikupas dalam artikel ini, pasti akan lebih sensasi dan menarik. Namun, yang lebih penting untuk dibincangkan ialah masa depan dan survival UMNO sendiri. Perhimpunan yang berakhir petang ini, perlu mengambil kira apakah usaha dan perancangan diatur untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Segala usaha dan program perlu diperjelas dengan terang dan teliti. Bukan itu sahaja, apa yang lebih penting ialah pelaksanaannya dan bukan sekadar berpuas hati dengan bergambar sambil memegang cek atau merasmikan sesuatu program.

Pucuk pimpinan dan semua ahli UMNO perlu bergabung tenaga untuk memastikan UMNO mampu melaksanakan segala tanggungjawab dengan berkesan. Ingatlah cabaran lebih hebat ialah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Benar, dalam kita berasa yakin UMNO masih menjadi parti tunjang utama untuk rakyat Malaysia, pada masa sama, UMNO perlu melihat sentimen rakyat yang masih memiliki persepsi negatif terhadap parti itu.

Walaupun persepsi negatif ini disebabkan maklumat yang diputarbelitkan pihak pembangkang, UMNO sendiri perlu bertindak lebih proaktif, membina semula keyakinan rakyat terhadap parti itu. Mungkin ahli UMNO perlu diingatkan mengenai slogan parti iaitu 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'. Slogan ini bukan dicipta begitu sahaja tetapi perlu dihayati supaya UMNO terus kukuh dan utuh.

Berita Harian X