Rabu, 23 September 2015 | 7:00am

Usah biar polemik asas kenegaraan berterusan

Selepas 58 tahun merdeka, kita masih dibelenggu polemik mengenai perkara asas pembentukan negara. Perkara asas pembentukan negara ini adalah identiti dan lebih daripada itu, ia adalah maruah negara. Namun, perkara asas kenegaraan seperti bahasa dan nilai warisan lain semakin diperbahas dan diperdebatkan dalam kalangan khalayak. Atau, sekiranya tidak dibahas atau didebatkan, ia semakin dihakis.

Walaupun saya tidak mempertikaikan hak khalayak untuk bersuara mengenai apa juga isu, selagi dalam ruang yang dibenarkan, saya amat berharap supaya segala pelaksanaan hak itu mengambil perhatian sewajarnya asas kenegaraan. Seharusnya perkara berkaitan asas kenegaraan ini hendaklah diterima tanpa soal, baik oleh khalayak atau juga pemerintah. Itulah tanda setia kepada negara.

Ketika ini saya terfikir, adakah kita perlukan pindaan Perlembagaan untuk kita wujudkan secara khusus peruntukan yang menjelaskan perincian berkaitan tanggungjawab rakyat terhadap negaranya. Ini akan menjadikan tanggungjawab ke atas semua pihak untuk melaksanakan 'kesetiaan' mereka kepada negara. Sekiranya kita mahu peruntukan seperti itu bukan sesuatu yang pelik kerana ada negara lain di dunia yang mempunyai peruntukan khusus sebegitu.

Sebenarnya, jika kita lihat kepada kerangka perundangan, Pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 juga menunjukkan pengiktirafan kepada elemen penting yang telah tertanam dalam bumi Tanah Melayu. Pengiktirafan ini dibuat oleh Perlembagaan kerana bahasa Melayu adalah bahasa perhubungan yang boleh difahami oleh semua kaum di Malaysia.

Bahasa kebangsaan identiti negara

Justeru, bahasa kebangsaan ini adalah identiti negara, bukan semata-mata identiti bangsa Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, sebenarnya sudah cukup untuk ditulis dalam Perlembagaan yang diusulkan ketika itu bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa bagi Persekutuan, dengan cara yang sama seperti agama Islam dinyatakan akan menjadi agama bagi Persekutuan tanpa istilah 'rasmi' atau istilah 'kebangsaan'.

Akan tetapi peruntukan itu nyata sekali tidak memuaskan hati pemimpin Melayu ketika itu. Dengan demikian Perkara 152 (1) diluluskan untuk menguatkuasakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Persekutuan. Penggunaan bahasa Melayu tidak disebut untuk secara rasmi semata-mata dalam Perlembagaan, kerana secara automatik ia menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua urusan rasmi.

Walaupun begitu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Maksud rasmi ditakrifkan oleh fasal (6) dalam Perkara 152 Perlembagaan dengan makna "apa-apa jua maksud kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam".

Penuhi tuntutan perpaduan

Di sebalik mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan daripada hanya menjadikannya bahasa rasmi terdapat tujuan untuk memenuhi tuntutan perpaduan - menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang sudah sekian lama mendapat tempat.

Sebagai bahasa perpaduan dan sekiranya kita cintakan perpaduan itu, penggunaan bahasa Melayu bukan sesuatu yang perlu dipaksa. Rakyat sepatutnya secara rela dan suci hati melaksanakan tanggungjawab mentaati faktor perpaduan itu dan pada masa sama menjaga asas kenegaraan, identiti dan maruah negara.

Kita mungkin mempunyai masalah dalam penggunaan bahasa Melayu sehingga menjadi polemik. Andaian saya, mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sama ada dalam hal berkaitan sistem pendidikan yang menggunakan bahasa perantara berbeza. Mungkin juga ia berkaitan dengan pengaruh perkembangan dunia tanpa sempadan atau mungkin juga sistem sosial yang tidak menyokong penggunaan bahasa Melayu atas alasan kepentingan bahasa sebagai sumber perhubungan.

Walau apa pun sebabnya, sudah tentu kita tidak boleh membiarkan polemik berkaitan hal asas kenegaraan ini berterusan. Ia akan menghilangkan identiti dan menafikan jati diri serta menjatuhkan maruah.

Penggunaan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab. Sekiranya kita masih perlukan paksaan dengan penguatkuasaan undang-undang, kita sudah tahu puncanya; kita sudah amat bermasalah dalam soal jati diri, maruah dan hala tuju. Kasihan Malaysia.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X