X
Selasa, 22 September 2015 | 8:04am
PETUGAS keamanan Ketapang memeriksa dan memadam sisa kebakaran hutan di daerah Sukadana, Kayong Utara, Ketapang yang menyebabkan jerebu di kawasan sekitar Kalimantan Barat termasuk Sarawak.
PETUGAS keamanan Ketapang memeriksa dan memadam sisa kebakaran hutan di daerah Sukadana, Kayong Utara, Ketapang yang menyebabkan jerebu di kawasan sekitar Kalimantan Barat termasuk Sarawak.

ASEAN perlu pelan tindakan tangani kerugian akibat jerebu

JEREBU yang mencemarkan udara dan mengurangkan jarak penglihatan sejak beberapa minggu lalu di beberapa lokasi di negara kita adalah masalah berpanjangan dihadapi Malaysia serta negara jiran.

Ramai yang mengalami kesan kerengsaan zarah debu halus pada hidung, tekak, kulit dan mata.

Pesakit asma mempunyai risiko lebih tinggi, manakala kanak-kanak, bayi dan warga tua adalah kumpulan paling terdedah kepada kesan jerebu.

Sekolah di Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak, telah diarahkan ditutup sejak Khamis kerana bacaan indeks pencemaran udara (IPU) telah mencecah 200. Ini membabitkan 184,808 pelajar di 463 sekolah rendah dan menengah.

Kebakaran besar hutan di Sumatera, Kalimantan

Jerebu yang berlaku setiap tahun, biasanya antara Julai dan Oktober disebabkan kebakaran besar hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan kerana aktiviti penebangan dan pembakaran untuk penanaman.

Menurut hasil penyelidikan, jerebu akibat kebakaran hutan meningkatkan kepekatan toksik zarah bawaan udara seperti karbon monoksida, sulfur dioksida,

nitrogen dioksida dan ozon. Zarah bawaan udara boleh menyebabkan gangguan pernafasan yang serius.

Kajian mendapati, pada tahun 1997, jerebu di Asia Tenggara meningkatkan serangan asma sebanyak 10.7 peratus di Malaysia. Jerebu bukan sahaja memberi implikasi kesihatan kepada penduduk, tetapi juga pelbagai kesan ekonomi.

Selain daripada kehilangan waktu pembelajaran akibat sekolah terpaksa ditutup, udara tidak sihat juga telah meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan keluarga, syarikat serta hospital dan klinik awam disebabkan peningkatan kes penyakit berkaitan jerebu.

Apabila pekerja tidak sihat, ia akan memberi kesan kepada produktiviti dan pengeluaran seterusnya menyebabkan kerugian kewangan kepada perniagaan, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Apabila sektor penerbangan terjejas akibat jerebu, kesan negatif akan mempengaruhi industri lain seperti sektor hospitaliti dan pelancongan. Perniagaan lain yang berkaitan seperti peruncitan, makanan dan minuman serta taman tema juga akan terjejas akibat daripada penurunan aktiviti pelancongan.

Kerugian akibat jerebu

Laporan sebelum ini menyatakan krisis jerebu meluas pada tahun 1997 menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak AS$9 bilion (RM38.04 bilion) kepada rantau Asia Tenggara, akibat gangguan kepada perjalanan udara, peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan serta lain-lain kerugian berkaitan jerebu.

Baru-baru ini, Indonesia menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang mengikat negara ASEAN untuk bekerjasama membangunkan dan melaksanakan langkah mencegah, memantau serta mengurangkan pencemaran jerebu termasuk pertukaran maklumat dan membangunkan sistem amaran awal.

Perjanjian itu kali pertama ditandatangani pada tahun 2002 sebagai tindak balas kepada krisis alam sekitar serantau yang disebabkan oleh pembersihan kawasan hutan dan kebakaran hutan akibat kemarau di Indonesia.

Kini semua negara anggota bersetuju dengan perjanjian itu dan ASEAN perlu melaksanakan pelan tindakan sekarang juga kerana masa tidak memihak kepada kita. Rantau ini telah mengalami kerugian berkaitan jerebu selama hampir dua dekad.

ASEAN juga perlu mengkaji cadangan mewujudkan Tabung Jerebu ASEAN untuk membiayai aktiviti seperti kempen kesedaran, langkah pencegahan dan memadamkan kebakaran. Negara anggota boleh memohon dana itu untuk menampung kos penjagaan kesihatan merawat penyakit berkaitan jerebu.

Penguatkuasaan lebih ketat

Cukuplah setakat ini. Tekad politik yang kuat perlu bagi penguatkuasaan lebih ketat terhadap syarikat perladangan dan pemilik tanah bertanggungjawab melakukan pembakaran haram. Pelbagai tindakan boleh diambil seperti amaran, denda, pembatalan permit syarikat dan menyiarkan nama pesalah.

Sementara itu, program pertanian mesra alam, penggunaan teknik pembajaan dan pengairan yang canggih harus diperkenalkan kepada pemilik ladang berskala kecil serta sederhana. Pada peringkat organisasi, syarikat mesti melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memelihara alam sekitar, tidak melakukan aktiviti penebangan dan pembakaran. Sebaliknya, mereka boleh melaksanakan kaedah alternatif untuk pembersihan kawasan hutan.

Kita berharap masalah jerebu yang melanda negara dapat diatasi segera apabila Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertolak ke Jakarta, Indonesia pada 25 September ini untuk bertemu rakan sejawatnya di sana bagi mempercepatkan proses memuktamadkan perjanjian persefahaman dua hala serta membincangkan kerjasama yang boleh dihulurkan setiap negara jika berlaku kebakaran yang boleh mengakibatkan jerebu.

 

Tan Sri Lee Lam Thye,

Pengerusi NIOSH

Berita Harian X