Rabu, 6 Mei 2015 | 7:30am

Karyawan sastera perlu pintar

Apabila Fahd Razy menjuarai kategori cerpen dalam Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH yang diumumkan bulan lalu, kemenangannya menyingkap realiti serta kemungkinan baharu dalam sastera kita. Ia membenarkan kenyataan bahawa penciptaan karya sastera bukan milik mutlak mereka daripada jurusan kesusasteraan semata-mata.

Fahd Razy yang kumpulan cerpennya Pascasejarah memenangi Hadiah Pertama dalam sayembara berkenaan adalah seorang doktor perubatan. Beliau adalah lulusan dari Royal College of Surgeon di Dublin, Ireland. Selain menghasilkan cerpen, penulis muda ini juga mengarang artikel sastera dan puisi.

Kemenangannya dalam sayembara penulisan kreatif wajar membuka pertanyaan: Bolehkah seorang lulusan jurusan sastera dari sekolah kita masa kini muncul sebagai penulis kreatif sebaik Fahd Razy? Jika tidak boleh, apakah situasi yang berlaku dalam kelas sastera di negara kita sekarang hingga mewujudkan kendala itu?

Zaman merosot

Pendidikan sastera di negara ini sedang mengalami zaman merosot. Sungguhpun masih terdapat segelintir guru sastera yang berkualiti dan berdedikasi, serta sejumlah pelajar yang betul-betul meminati subjek ini, pada umumnya kelas sastera memberi persepsi yang kurang baik, termasuk dari aspek outputnya.

Karyawan sastera harus terdiri daripada mereka yang pintar. Itu kesimpulan yang cuba ditarik oleh Syed Munawar, selaku moderator, daripada pandangan Fahd Razy dalam sesi Sofa Putih ITBM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur minggu lalu. Kesimpulan itu sesungguhnya tidaklah sesuatu yang provokatif, kerana karya sastera yang baik terhasil daripada pengarang yang mahir dalam seninya, luas perenungannya, serta kaya pemikirannya. Kualiti ini tidak mungkin datang daripada individu yang mediocre.

Dalam konteks sumbangan pengarang bukan daripada jurusan sastera di negara kita, ada beberapa tokoh yang boleh kita kemukakan. Kamarul Ariffin umpamanya adalah seorang peguam yang menerbitkan kumpulan puisinya. Begitu juga dengan Ir Wan Abu Bakar, yang menulis puisi, cerpen dan penggerak e-Sastera secara maya.

Daripada latar belakang bidang perubatan, sebelum Fahd Razy sudah muncul Dr Rahmat Harun. Beliau menghasilkan beberapa novel yang berlatar belakang dunia perubatan, termasuk Di.Ar.Ti. dan Panggil Aku Melaju.

Sebenarnya Fahd Razy mewakili satu angkatan penulis muda baharu yang bukan dari jurusan sastera. Di bawah Grup Karyawan Luar Negara di mana beliau adalah pengasas dan penasihatnya, ada sederet nama penulis muda yang pernah terdidik di luar negara. Mereka lulusan pelbagai bidang profesional, yang akan terus mewarnai sastera moden kita.

Penulis daripada latar sesuatu profesion boleh bercerita dengan lebih baik mengenai pelbagai isu ilmu dan kemanusiaan dalam profesion berkenaan. Namun, mereka juga bebas menulis pelbagai tema yang menyentuh kehidupan manusia.

Dua belahan otak

Tradisi kesusasteraan Islam juga sebenarnya turut diwarnai dengan sumbangan daripada tokoh Sainsnya. Ini membenarkan ketentuan Ilahi yang mencipta manusia memiliki dua belahan otak dengan fungsi masing-masing. Belahan otak kiri yang berfungsi untuk aspek yang saintifik, matematik dan rasional. Belahan otak kanan pula mendukung keperluan kreativiti manusia.

Sains dan sastera menjawab keperluan yang berbeza dalam kehidupan, tetapi saling melengkapi. Sains menjawab keperluan hidup dan pengetahuan secara yang empirikal dan objektif, menggunakan bahasa yang jelas tanpa ambiguiti. Sastera pula menjawab keperluan emosi dan estetik yang mengadun tunjuk ajar, pengetahuan dan hiburan di dalamnya, dengan bahasa yang membenarkan kehadiran majas, metafora dan yang konotatif sifatnya.

Bagi mereka yang bukan datang daripada pendidikan sastera, transformasi untuk menjadi penulis kreatif terlebih dulu harus menempuh dua proses utama. Pertama, membiasakan dengan gaya bahasa sastera. Kedua, memahami dan menguasai semua elemen yang membina naratif atau puisi. Karya sastera memerlukan gaya bahasa sastera serta strategi naratif atau puitika yang betul.

Fahd Razy mula menguasai dua aspek di atas dengan baik. Dua belas cerpennya dalam Pascasejarah kian membuktikan kemampuan serta kehadirannya dalam sastera Melayu moden. Jika seorang doktor perubatan sepertinya boleh mencipta cerpen yang baik, pencapaian itu seharusnya mencabar lulusan sastera tulen untuk menandinginya.

Berita Harian X