Isnin, 2 Februari 2015 | 7:28am
DATUK Seri Samy Vellu. - Foto Yazit Razali
DATUK Seri Samy Vellu. - Foto Yazit Razali

Cerita Samy Vellu, MIC serta Pandithan

Pada zaman kemuncaknya dalam politik, Datuk Seri Samy Vellu mengemudi MIC untuk sekian lama, menjadikannya presiden parti paling lama, iaitu 31 tahun dan antara menteri paling lama berkhidmat, sezaman Tan Sri Rafidah Aziz yang menghampiri tiga dekad dalam Kabinet. Mereka berdua termasuk Tun Dr Lim Keng Yaik, adalah menteri yang 'mewarnai' Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi mendiang Keng Yaik dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, adalah 'rakan' yang dikatakan kerap 'keluar masuk' mesyuarat Kabinet sehingga Dr Mahathir pernah menegur kedua-duanya secara sinis, yang antara lain berbunyi 'mereka berdua ingat saya tidak tahu apa yang mereka buat lama kat andas... hisap rokok'.

Kini, nama Samy Vellu, kembali menarik perhatian berikutan krisis dalaman MIC yang semakin meruncingkan. Selepas bersara daripada Kabinet pada tahun 2008, Samy Vellu banyak menghabiskan masa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan New Delhi kerana tugasnya sebagai Duta Khas Malaysia Bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan. Sekali sekala, beliau juga ke kawasan lamanya di sungai Siput tetapi ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu sebelum ini (1974 hingga Mac 2008), Samy Vellu gemarkan perjalanan jauh itu dan sepanjang perjalanan, beliau akan menyanyikan lagu Tamil, bukan secara mimik atau nada suara perlahan, sebaliknya seperti seorang penyanyi.

Tidak mengapa, itu hobi dia, seperti juga hobi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suka menyanyikan lagu Hindustan sebelum ini. Apakah benar Samy Vellu menjadi punca masalah dalaman MIC sekarang? Apakah benar Samy Vellu dan penyokong setianya tidak puas hati dengan Datuk Seri G Palanivel, bekas wartawan yang menjadi anak didiknya sehingga menjadi Presiden MIC? Percikan permasalahan dalaman MIC sebenarnya sudah lama berlaku, iaitu ketika Pilihan Raya Umum 2013 kerana Samy Vellu dikatakan tidak puas hati dengan Palanivel mengenai senarai calon MIC yang dikemukakan.

Tetapi kemuncaknya pada 5 Disember tahun lalu, apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan supaya parti itu mengadakan semula pemilihan bagi tiga kerusi naib presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa 90 hari. Keadaan bertambah buruk apabila Palanivel menukar Naib Presiden, Datuk M Saravanan sebagai Pengerusi Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, selain melakukan perubahan kepemimpinan di beberapa negeri lain, termasuk Perak dan Negeri Sembilan.

Apakah Palanivel sudah hilang fokus dalam kepemimpinannya, yang kini nampak memerlukan campur tangan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikannya? Dalam kemelut sekarang ini, Najib dan Muhyiddin juga perlu memanggil Samy Vellu, bukan untuk dijadikan sebagai orang tengah seperti ditawarkannya, tetapi menasihatkan konconya dalam MIC untuk lebih bertenang. MIC perlu mengambil iktibar sejarah hitamnya kira kira 30 tahun lalu apabila Samy Vellu kerana berbeza pendapat, memecat Naib Presidennya, Datuk M G Pandithan dan bermula dari situlah, perpecahan politik dalam masyarakat India.

Pandithan mencetuskan kontroversi apabila mengadakan 'mogok lapar sehingga mati' dengan membawa sebuah keranda ke ibu pejabat MIC serta berkumpul bersama penyokongnya sebagai membantah tindakan Samy Vellu. Apabila gagal mencapai penyelesaian, Pandithan menubuhkan Barisan Kemajuan India seMalaysia (IPF). Pimpinan MIC perlu bersatu kembali untuk membantu BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Berita Harian X