Ahad, 24 Ogos 2014 | 11:44am

MH17 - Jangan guris hati keluarga...

Di sebalik deraian air mata ahli keluarga meratapi keranda dibalut Jalur Gemilang dan negara berkabung, bersatu hati dan berdoa dalam kesedihan, ada yang mempersoalkan penghormatan negara diberi kepada mangsa MH17.

Semalam, Ahli Parlimen Lumut daripada PKR, Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid, mempertikaikan majlis istiadat menerima 20 jenazah mangsa insiden MH17 kelmarin yang disifatkan sebagai sambutan secara berlebihan.

Ketika membahaskan usul politik pada Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam, beliau membandingkan kejadian pencerobohan Lahad Datu apabila mendakwa anggota keselamatan yang terkorban diberi layanan secara ala kadar.

Kenyataan itu dibuat ketika negara, terutama ahli keluarga MH17 masih dalam kesedihan, tanah di kubur masih lagi merah dan sewaktu usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang baki mangsa yang belum dikenal pasti dan yang belum dijumpai di lokasi nahas di Ukraine. Upacara berkabung yang sama dilakukan di Belanda sebelum ini.

Masihkah kita ingat mengenai kenyataan pemimpin pembangkang ketika berlaku pencerobohan 150 pengganas bersenjata dari Sulu di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lalu? Ada pihak menuduh kejadian di Lahad Datu itu sebagai sandiwara UMNO dan kerajaan, sedangkan lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban, manakala 10 yang lain cedera. Maka terguris hati ahli keluarga wira Lahad Datu.

Memang tahun 2014 boleh dianggap tahun tragis buat Malaysia dengan dua musibah membabitkan pesawat MH370 dan MH17. Peristiwa ini dan Lahad Datu sememangnya detik sejarah hitam bagi kita semua dan disebabkan itu juga, nama Malaysia melonjak di peta dunia kerana semua mata bertumpu kepada peristiwa yang tidak diingini itu tetapi menjadi tajuk utama media seluruh dunia.

Namun, agak sedih apabila terselit kenyataan yang boleh mengguris hati dan memburukkan lagi perpaduan yang sememangnya kerap diuji sejak kebelakangan ini, gara-gara perbezaan fahaman politik. Hakikatnya, pencerobohan Lahad Datu dan insiden MH17/MH370 adalah dua tragedi berbeza, yang tidak seharusnya dibandingkan atau dijadikan isu.

Apakah tidak perlu atau adakah salah jika mangsa MH17 dikenang selepas mereka dibedil pada ketinggian 30,000 kaki di udara, yang sehingga kini tidak diketahui siapa sebenarnya dalang menembak jatuh pesawat malang itu?

Bayangkan wajah ahli keluarga mereka yang sedang menunggu ketibaan mereka ketika itu dan ada yang dalam perjalanan ke KLIA, tiba-tiba diberitahu bahawa pesawat dinaiki orang tersayang dibedil? Bayangkan, masyarakat dunia dan rakyat Malaysia terpaku seketika dengan berita yang menyayat hati itu.

Kelmarin, terbukti solidariti rakyat Malaysia yang berkabung, bertafakur seminit bagi menghormati kepulangan 20 mangsa MH17 - semua sedih tetapi bersatu dalam kedukaan. Seperti lagu Hurt My Feelings nyanyian Laura Imbruglia, tak perlulah menyakiti hati orang lain.

Berita Harian X