Rabu, 29 Mei 2024 | 9:06am
anita yang bersarapan lebih cenderung untuk memiliki indeks jisim tubuh (BMI) di bawah 25. - Foto hiasan
anita yang bersarapan lebih cenderung untuk memiliki indeks jisim tubuh (BMI) di bawah 25. - Foto hiasan

Keajaiban bersarapan

PERUBAHAN kecil dalam pemakanan seharian banyak memberikan perbezaan kepada tahap kesihatan seseorang.

Usah lupa bersarapan. Pelbagai kajian mendapati mereka yang mengelak pengambilan sarapan banyak dikaitkan dengan masalah lebihan berat badan dan kegemukan.

Malah bersarapan memberi keajaiban kepada kesihatan yang baik, jika mengikut kaedah betul.

Wanita khususnya, lebih menerima manfaat apabila bersarapan. Kajian membabitkan 4,218 orang dewasa menunjukkan wanita yang bersarapan lebih cenderung untuk memiliki indeks jisim tubuh (BMI) di bawah 25, sekali gus menempatkan mereka dalam kategori berat badan menyihatkan.

Untuk bersarapan, jangan lupa hidangan bijirin. Sewaktu membeli-belah, pilih bijirin yang menyediakan lima gram serat untuk setiap sajian.

Kemudian, tambahkan buah-buahan dan susu tanpa lemak dalam senarai barangan yang hendak dibeli itu.

Sarapan mengandungi bahan makanan dan minuman yang dinyatakan itu bukan saja boleh disajikan dalam masa singkat malah ia menyediakan khasiat seperti protein, karbohidrat kompleks, serat, kalsium dan antioksidan.

Bijirin penuh yang dinikmati sewaktu sarapan mempunyai manfaatnya sendiri. Kajian mendapati wanita yang mengambil sekurang-kurangnya satu sajian bijirin penuh sehari misalnya bijirin penuh sejuk atau sekeping roti bijirin penuh, mengalami pengurangan berat badan dan mempunyai pinggang lebih ramping berbanding mereka yang langsung tidak menjamah bijirin.

Jus epal. - Foto hiasan
Jus epal. - Foto hiasan

Makan epal sebelum tengah hari atau malam

Makan epal sebelum makan tengah hari atau malam. Kajian daripada Universiti Pennsylvania melaporkan mereka yang makan epal sebelum makan tengah hari akan mengambil kalori jauh lebih rendah (kira-kira 190 kalori) ketika menikmati hidangan tengah hari.

Epal mengandungi serat dan khasiat yang membuatkan seseorang itu berasa kenyang. Sukarelawan dalam kajian terbabit menikmati epal mereka kira-kira 15 minit sebelum makan tengah hari.

Penyelidik berpendapat, kesannya akan lebih dramatik jika mereka makan epal terbabit dengan kulitnya sekali kerana kandungan serat yang berlebihan dalam epal.

Kandungan seratnya yang tinggi membantu pembebasan gula secara perlahan ke dalam tubuh sekali gus membantu mengekalkan keseimbangan tahap gula darah.

Buah-buahan yang mudah dimakan ini juga banyak membantu dari segi penghadaman.

Epal dan jus epal juga adalah sumber mineral yang membantu untuk menggalakkan pertumbuhan tulang.

Berita Harian X