Selasa, 28 Mei 2024 | 5:55pm

Bawang bantu lawan pelbagai jenis bakteria

PELIK jika tiada bawang di dapur. Bawang sudah digunakan sebagai sebahagian penting sajian ribuan tahun lamanya dalam pelbagai budaya di seluruh dunia.

Terdapat pelbagai jenis bawang seperti merah, kuning, putih dan hijau dengan keunikan rasa masing-masing.

Bawang atau nama saintifiknya, Allium cepa adalah kepunyaan keluarga lili. Ada lebih daripada 600 spesies Allium di seluruh Asia, Eropah, Amerika Utara dan Afrika Utara.

Pelbagai khasiat bawang dikenal pasti termasuk membantu menentang pelbagai jenis bakteria termasuk Bacillus subtilis, Salmonella dan E coli.

Sejak dulu lagi, khasiat bawang dari sudut perubatan diperakui. Penduduk awal Amerika menggunakan bawang liar untuk merawat demam, batuk dan asma.

Dalam perubatan Cina pula, bawang banyak digunakan untuk menangani masalah batuk, jangkitan bakteria dan masalah pernafasan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong penggunaan bawang untuk mereka yang mengalami masalah kurang selera makan dan mencegah atherosclerosis.

Sebagai tambahan, ekstrak bawang turut diperakui WHO untuk membantu meredakan masalah batuk, asma dan bronkitis.

Bawang adalah sumber fructo-oligosaccharides yang sangat kaya. Ia membantu merangsang pertumbuhan bakteria bifido yang sihat dan menyekat pertumbuhan bakteria berbahaya dalam usus.

Bawang juga mengandungi beberapa jenis sulfida serupa dengan bahan didapati dalam bawang putih yang boleh membantu merendahkan tekanan darah.

Tumbuhan ini juga kaya dengan flavonoid iaitu bahan yang dikenal pasti dapat menyediakan perlindungan daripada penyakit kardiovaskular.

Bawang juga adalah ejen anti pembekuan darah semula jadi.

Kajian di Greece mendapati pengambilan bawang, bawang putih dan pelbagai herba Allium banyak membantu untuk melindungi diri daripada masalah barah perut.

Lelaki dan wanita tua Belanda yang banyak mengamalkan pengambilan bawang (sekurang-kurangnya satu setengah biji bawang sehari) mencatatkan kes penyakit barah perut yang kurang berbanding mereka yang langsung tidak makan bawang.

Bagaimanapun, jenis bawang berbeza mempunyai kandungan khasiat yang berbeza.

Daripada 10 jenis bawang yang dilakukan ujian, bawang jenis Western Yellow, New York Bold dan Northern Red mempunyai kandungan flavonoid dan phenolic yang tinggi, sekali gus memiliki bahan antioksida paling banyak.

Bawang rata-rata selamat dimakan kebanyakan orang, namun jika memperkatakan khasiatnya, bawang yang memiliki rasa lebih pedas atau tajam didapati memiliki khasiat yang lebih untuk manfaat kesihatan.

Berita Harian X