Ahad, 26 Mei 2024 | 8:49am
Foto hiasan
Foto hiasan

Usus sihat pengaruhi rasa gembira

Mungkin anda pernah mendengar tentang kepentingan kesihatan usus untuk badan daripada melindungi badan daripada penyakit hingga membantu tubuh menyerap nutrien.

Tahukah anda, ia berperanan untuk kesihatan minda? Jutaan bakteria dalam usus kita berperanan dalam menentukan mood atau perasaan seseorang.

Usus mengandungi satu ekosistem yang kompleks dikenali sebagai mikrobiota usus, yang menghasilkan sebahagian besar serotonin, hormon yang membuatkan kita gembira.

Ini bermakna apabila usus sihat dengan nutrien baik, perasaan kita turut gembira. Jadi, tidak menghairankan jika perasaan lapar sering kali membawa perasaan marah, yang kita sebut "hangry"!

Hubungan antara usus dan otak

Kesihatan usus dan kesihatan minda berkait rapat melalui apa yang dipanggil paksi usus-otak. Satu saluran komunikasi antara sistem pencernaan dan otak.

Usus juga dikenali sebagai 'otak kedua' kerana ia mempunyai jutaan bakteria yang bekerja sama dengan otak.

Usus menggunakan sistem saraf sama dengan otak untuk membantu mencerna makanan dan memberi isyarat ke otak apabila ada yang tidak kena," kata pakar pemakanan, Cynthia Jetan.

Sistem antara usus dan otak membolehkan komunikasi berterusan termasuk sistem saraf, pertahanan badan dan endokrin.

Sistem terakhir penting untuk kesihatan minda, iaitu mikrobiota usus membantu dalam penghasilan neurotransmitter.

Misalnya, mereka membantu penghasilan serotonin, neurotransmitter yang membantu mengawal mood, selera makan dan tidur.

Begitu juga dengan asid gamma-aminobutyric (GABA), sejenis neurotransmitter yang membantu menenangkan sistem saraf dan mengurangkan kecemasan.

Kemudian, ada dopamin, neurotransmitter yang kebiasaannya dikaitkan dengan keseronokan – sebahagian daripadanya juga dihasilkan di dalam usus.

Memastikan keseimbangan!

Kehidupan bergantung pada keseimbangan dan kesihatan usus anda tidak terkecuali.

Ketidakseimbangan dalam komposisi bakteria usus boleh mengganggu penghasilan neurotransmitter penting yang berpotensi menyumbang kepada gangguan mood seperti kegelisahan dan kemurungan.

Pernahkah anda merasakan perasaan berdebar-debar di perut ketika berasa gugup?

Itu adalah usus anda memberi isyarat kepada otak anda menunjukkan hubungan mendalam antara kesihatan usus dan kesejahteraan mental.

Jika mengabaikan kesihatan usus menyebabkan ketidakseimbangan, sekali gus mengakibatkan usus gagal menghasilkan neurotransmitter penting.

"Ketidakseimbangan mikrob usus mengakibatkan tahap serotonin dan dopamine rendah. Dengan lebih banyak bakteria buruk daripada baik dalam usus, ia juga boleh menyebabkan keradangan, mengganggu komunikasi antara usus dan otak anda.

Keradangan melepaskan bahan kimia yang mempengaruhi fungsi otak termasuk pengawalan mood.

"Paksi usus-otak menghasilkan simptom ini. Apabila kita berasa gelisah, takut, teruja atau gugup, kita rasakan dahulu di dalam perut.

Itulah sebabnya ada pepatah menggambarkan kita boleh rasakan sesuatu akan berlaku mengikut rasa di perut.

Paksi usus-otak berfungsi dua hala. Apabila kita stres dan gelisah, otak menghantar isyarat ke usus. Kemudian, seseorang itu akan mengalami tekanan pencernaan seperti masalah perut, mual, dan sembelit.

Apabila mengalami tekanan pencernaan, usus menghantar isyarat kepada otak. Ini akan mempengaruhi mood di mana seseorang itu akan berasa gelisah dan tertekan," jelasnya.

Resipi untuk usus yang 'gembira'

Beberapa minggu penjagaan usus dengan makanan kaya probiotik dan makanan tambahan serta perubahan gaya hidup, mikrobiota usus akan memberi reaksi positif.

Berikut beberapa cara jadikan usus tempat lebih gembira:

Makan makanan kaya antioksidan

Buah beri, sayur kale dan telur - semua ini tidak hanya menyokong usus, juga menyumbang hati gembira.

Makanan makan ini juga berfungsi dengan mengurangkan tekanan oksidatif dalam usus.

Ia juga mengandungi sifat melawan penyakit yang membantu mengurangkan keradangan usus.

Foto hiasan
Foto hiasan

Buah beri kaya dengan prebiotik– mampu menjaga dinding usus, meningkatkan penyerapan nutrien, dan memberikan perlindungan dari toksin tertentu.

Makan makanan kaya serat

Makanan kaya serat memberi makan bakteria baik jadi buat sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijirin penuh menjadi sebahagian daripada pengambilan harian.

Sebagai balasan atas penyediaan makanan yang baik, mikrobiota usus akan memberi kembali dengan menghasilkan pesanan membantu menguruskan keradangan, menyokong kesihatan penghalang usus, mensintesis vitamin dan membekalkan tubuh dengan banyak serotonin gembira!

Mempertimbangkan makanan difermentasikan untuk menggalakkan pertumbuhan mikrob yang sihat.

Yogurt, kimchi, tempe, kombucha - ini mengandungi mikrob sihat untuk usus. Kurangkan makanan proses dan segera. Kurangkan gula dan alkohol.

Makan dengan penuh perhatian

Jangan tergesa-gesa waktu makan! Dengan melambatkan waktu makan, usus berfungsi dengan betul dan mencipta ruang pemulihan tubuh bertukar ke mod rehat dan mencerna.

Dapat mengurangkan gejala seperti kembung dan gas refluks, iaitu perkara tidak diingini untuk berlaku pada usus.

Kurangkan tahap stres

Stres tidak dapat dielakkan. Tapi stres ada kala membantu meningkatkan perhatian dan ketelitian, stres kronik boleh mengganggu keseimbangan bakteria usus, menyebabkan peningkatan bakteria buruk dan penurunan bakteria baik.

Untuk menguruskan stres dengan lebih baik, cuba pernafasan dalam perut. Ini boleh membantu mengurangkan stres iaitu pemicu besar bagi individu dengan masalah usus.

Menarik nafas dalam satu hingga lima saat dalam kiraan satu hingga lima dan tahan selama lima saat sebelum bernafas keluar lima saat.

Jika mengalami hari sukar

Senaman secara berkala dan tidur berkualiti akan menjaga usus dan otak sempurna.

Ambil suplemen prebiotik dan probiotik

Fikirkan ini sebagai pelaburan dalam kebahagiaan usus anda! Prebiotik seperti serat makanan memberi makan kepada bakteria baik dalam usus , manakala probiotik pula adalah mikroorganisme hidup, membantu mengekalkan mikrobiota usus sihat.

"Probiotik membantu mengembalikan keseimbangan bakteria baik dan buruk, memecahkan makanan, meningkatkan penyerapan nutrien dan mengatur pergerakan usus untuk pencernaan lebih baik.

Ia terbukti mengurangkan gejala gangguan pencernaan seperti sindrom usus yang sensitif (IBS), penyakit usus inflamasi (IBD), cirit-birit, dan sembelit. Pada masa yang sama, probiotik membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria bermanfaat akan menghalang pertumbuhan patogen berbahaya dalam usus.

Ini pula membina kekebalan lebih kuat.

"Probiotik berfaedah meningkatkan kesihatan usus dan kesejahteraan terutama baik untuk mereka mempunyai keadaan tertentu seperti masalah pencernaan, pengambilan antibiotik, gangguan imun serta alergi, faktor gaya hidup lain yang mungkin menyebabkan ketidakseimbangan seperti diet buruk, stres kronik, merokok atau pengambilan alkohol," katanya.

Untuk memilih probiotik yang betul, Cynthia mencadangkan kenal pasti keperluan sama ada untuk penyelenggaraan atau menangani isu tertentu.

Banyak suplemen probiotik mengandungi strain biasa seperti lactobacillus dan bifidobacterium, dan garis panduan umumnya untuk mengambil antara satu bilion hingga 30 bilion unit pembentukan koloni (CFUs) setiap hari.

"Dengan peningkatan usia, komposisi bakteria usus berubah menyebabkan pengurangan dalam bilangan bakteria usus yang bermanfaat. Itu sebabnya disyorkan untuk mempertimbangkan suplemen probiotik mengandungi pelbagai strain disesuaikan dengan keperluan individu menerima jumlah bakteria mesra bagi usus," katanya.

Dengan merawat usus, anda boleh menyokong mikrobiota usus sihat dan menggalakkan kesejahteraan mental optimum.

Berita Harian X