Selasa, 21 Mei 2024 | 2:34pm
Kajian menunjukkan wanita mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menghidap tiroid. - Foto hiasan
Kajian menunjukkan wanita mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menghidap tiroid. - Foto hiasan

50 peratus individu hidap tiroid tidak didiagnosis

Kesihatan tiroid aspek asas kesejahteraan keseluruhan tubuh, namun kepentingannya sering dipandang ringan.

Terletak di bahagian leher dan berbentuk seakan-akan sayap rama-rama, kelenjar tiroid berperanan penting mengawal metabolisme badan.

Tiroid menghasilkan hormon penting untuk mengawal tenaga, menjadi tonggak utama yang menyokong kesejahteraan keseluruhan kesihatan.

Menurut Pakar Bedah Payudara dan Endokrin di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Wong Mei Wan, masyarakat perlu memahami fungsi tiroid, perbezaan antara hipertiroidisme, hipotiroidisme, mitos dan salah tanggapan berkaitan gangguan tiroid.

Kenal pasti perbezaan hipertiroidisme dan hipotiroidisme

Hipertiroidisme adalah penyakit endokrin kedua yang paling sering didiagnosis selepas diabetes di Malaysia.

Dr Mei Wan menjelaskan hipertiroidisme terjadi akibat pengeluaran hormon berlebihan. Masalah ini boleh dikenal pasti menerusi gejala seperti kegelisahan, penurunan berat badan, tidak tahan panas, dan berpeluh secara berlebihan.

Hipotiroidisme berpunca daripada kekurangan pengeluaran hormon dan menunjukkan gejala seperti keletihan, penambahan berat badan dan sering mengalami kelesuan.

Terdapat pelbagai punca boleh menyebabkan hipertiroidisme. Ia merangkumi penyakit autoimun seperti penyakit Graves hingga kepada tiroiditis berpunca daripada pengambilan iodin secara berlebihan.

Sebaliknya, hipotiroidisme boleh berlaku akibat pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan kelenjar tiroid.

Faktor genetik boleh menyumbang kepada beberapa masalah tiroid.

Apa yang paling membimbangkan mengenai gejala hipertiroidisme boleh menyerupai masalah kesihatan biasa, sekali gus menjadikan banyak kes hipertiroidisme tidak dikenal pasti dan dirawat.

Berdasarkan kajian baru-baru ini, kira-kira 50 peratus individu menghidap penyakit tiroid tidak didiagnosis.

"Memandangkan gejala hipertiroidisme dan hipotiroidisme sukar dibezakan sama ada kejadian yang biasa atau akibat ketidakseimbangan hormon, penting seseorang itu mendapatkan bantuan sekiranya mereka mengalami gejala ini.

Lebih-lebih lagi hipertiroidisme kerana ia boleh menjurus kepada masalah kesihatan yang serius, malah boleh mengundang maut," jelasnya.

Penyakit graves

Penyakit graves adalah penyakit autoimun yang menyebabkan hipertiroidisme, goiter, serta berpotensi menimbulkan gejala yang menjejaskan organ lain.

Dr Mei Wan menjelaskan, rawatan untuk penyakit Graves biasanya membabitkan pengambilan ubat-ubatan, iodin radioaktif atau pembedahan, bergantung kepada kawalan hormon.

Pemahaman terhadap perbezaan komplikasi seperti penyakit Graves adalah penting bagi individu yang mengalami masalah kesihatan tiroid.

Gejala dan salah tanggapan

Bagi mendiagnosis penyakit tiroid, pengamal penjagaan kesihatan profesional biasanya akan melakukan ujian fungsi tiroid, iaitu ujian darah menilai paras hormon.

Dr Mei Wan menambah, gejala tiroid, sama ada hiper atau hipo, selalunya tidak spesifik sehingga menyebabkan ia boleh disalah tafsir.

Sekiranya anda mempunyai gejala berterusan selama lebih dari sebulan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar penjagaan kesihatan dan melakukan ujian fungsi tiroid iaitu ujian darah.

Anda juga mungkin disarankan menjalani imbasan ultrabunyi jika disyaki terdapat nodul atau kejanggalan pada fungsi tiroid.

"Sama seperti benjolan pada payudara, jika anda mengesyaki ada sebarang kejanggalan pada leher akibat tiroid, anda digalakkan membuat pengesanan awal dengan melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan secara berkala," katanya.

Dr Mei Wan turut menegaskan beberapa salah tanggapan mengenai nodul tiroid ialah jika anda mempunyai nodul, ia pasti memerlukan rawatan ubat atau ia adalah kanser.

Selagi tahap tiroid pesakit masih normal, mereka tidak perlu mengambil ubat walaupun mempunyai nodul.

Kajian menunjukkan wanita mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menghidap tiroid.

Walaupun Dr Mei Wan bersetuju dengan trend itu, namun beliau menekankan tiada bukti kukuh yang dapat menjelaskan punca perbezaan jantina itu.

Merawat tiroid

Rawatan berbeza bergantung kepada jenis dan tahap keparahan gangguan tiroid. Ubat-ubatan biasanya diberikan untuk mengawal paras hormon.

Justeru, pemantauan menerusi ujian darah secara berkala penting terutama mereka sedang menjalani rawatan bagi memastikan kestabilan fungsi tiroid.

Kesedaran mengenai kesihatan tiroid adalah komponen penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan secara keseluruhan.

Dengan kompleksiti gangguan tiroid wajar untuk menjalani pemeriksaan berkala, meningkatkan kesedaran terhadap gejala dan melakukan intervensi awal yang dapat memberikan perubahan signifikan terhadap kesihatan tiroid yang optimum.

Ini bagi memastikan kesejahteraan seimbang dan bertenaga dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berita Harian X