Ahad, 5 Mei 2024 | 11:33am

Ubat tahan haid lancarkan ibadah jemaah haji

SAMBUTAN Aidilfitri hampir tiba di penghujungnya, kini seluruh umat Islam beralih perhatian pula kepada ibadah haji bagi menunaikan Rukun Islam kelima.

Setiap orang yang dijemput ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji atau umrah sudah pasti mahu melakukan ibadah dengan sempurna.

Namun, bagi wanita yang masih berada dalam fasa 'reproduktif' ataupun fasa subur dan belum mengalami menopaus, kekhuatiran akan kedatangan haid ketika berada di Tanah Suci kemungkinan boleh menjadi penghalang untuk mereka meneruskan amalan baik itu.

Mengulas mengenainya, Pakar Klinikal Perubatan Keluarga Management and Science University (MSU), Dr Haslina Mukhtar Aajamer berkata, haid adalah fitrah Tuhan yang tidak boleh dihindari dan setiap wanita perlu menerima hakikat itu.

"Dari segi perubatan, haid ialah sesuatu yang kita (wanita) tidak boleh hindari kerana Tuhan menjadikan wanita seperti itu.

"Saya pasti wanita di luar sana ingin menunaikan ibadah haji dengan sempurna kerana ia sekali seumur hidup, selain ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi dan persediaan rapi berbanding umrah di mana individu boleh menunaikannya lebih daripada sekali.

"Kebanyakan wanita sudah pasti ingin mendapatkan peluang beribadah yang maksimum khususnya untuk haji," katanya.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMS), Management and Science University (MSU) itu berkata, jika haid menjadi kerungsingan atau kebimbangan dalam menjalankan ibadah, golongan wanita boleh menggunakan ubat-ubatan untuk membantu mengawal haid terbabit.

Dr Haslina Mukhtar Aajamer.
Dr Haslina Mukhtar Aajamer.

Namun katanya, tidak semua mempunyai sependapat yang sama.

"Ada pendapat orang kata biarkan sahaja jika berlakunya haid sebab ia daripada Allah. Tetapi kalau dari segi perubatan, memang tiada masalah untuk mengambil ubat-ubatan kerana ia sememangnya membantu mengawal haid.

"Untuk menunda haid ini sebenarnya bukan sesuatu yang unik kepada wanita yang ingin menunaikan ibadah haji sahaja. Ada juga keadaan lain kita jumpa pesakit wanita yang tidak mahu mengalami haid kerana ingin melancong, berbulan madu, bercuti, menunaikan ibadah umrah dan banyak lagi.

"Mungkin wanita seperti ini mengalami masalah haid yang banyak dan panjang, jadi mereka tidak mahu keadaan itu menyebabkan ketidakselesaan.

Ambil suntikan hormon tiga bulan sebelum haji

"Dalam hal ini, doktor biasanya akan beri beberapa pilihan sama ada memberi ubat-ubatan untuk pesakit ataupun ubatan berbentuk suntikan (disuntik sekali dan tahan untuk tiga bulan)," katanya.

Katanya, bagi jemaah haji yang ingin mendapatkan ubatan berbentuk pil hormon atau suntikan, mereka (wanita) perlu mendapatkan rundingan atau penilaian doktor terlebih dahulu.

"Waktu atau masa yang paling ideal ialah tiga bulan atau tiga kitaran haid sebelum berangkat.

"Alasannya ialah, untuk kitaran haid pertama, kita ingin mengenal pasti kaedah mana atau ubatan jenis apa yang sesuai dengan individu. Kita nak bagi masa untuk mereka membiasakan diri dengan ubatan yang diberikan.

"Bagi bulan kedua pula, kita hendak pastikan supaya (melalui pil hormon) individu tidak mengalami ovulasi dan tidak mengganggu ibadah," katanya.

Dr Haslina berkata, dua jenis pil hormon yang lazim diberikan kepada wanita ialah pil combined oral contraceptive (COC) dan pil progestrone.

"Untuk ibadah haji, wanita digalakkan untuk mengambil pil COC. Bagaimanapun , ia tidak sesuai untuk semua wanita.

"Justeru, ini alasannya kenapa kita meminta wanita yang ingin mengambil pil hormon untuk cegah haid untuk mendapatkan rundingan atau penilaian doktor sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum menunaikan haji.

"COC dimakan sekali setiap hari dalam tempoh tiga bulan sebelum haji sehingga individu selesai mengerjakan ibadah itu," katanya.

Kaedah paling berkesan

Ketika ditanya mengenai keberkesanan memakan pil hormon ini, Dr Haslina berkata, COC ialah kaedah paling berkesan untuk kawal haid semasa ibadah haji kerana ia sudah dibuktikan dengan ujian klinikal selain ia juga adalah pilihan pertama bagi ramai wanita sebelum ini.

"Kesan daripada pemakanan pil ini termasuk, kadang-kadang gejala yang dirasai itu seperti ketika alami haid termasuk payudara rasa penuh, sakit kepala, rasa mual dan beberapa gejala lain yang biasa dialami ketika kedatangan haid.

"Bagi wanita yang mempunyai masalah kesihatan lain termasuk migrain, bengkak kaki, darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi, mereka tidak sesuai untuk mengambil pil hormon dan perlu berjumpa dengan doktor untuk mengawal penyakit yang dialami itu terlebih dahulu," katanya.

Haid kembali normal mengikut kitaran baharu

Ketika ditanya mengenai kesan terhadap kitaran haid setelah berhenti mengambil pil ini, Dr Haslina berkata, haid akan kembali normal mengikut kitaran baharu.

"Selepas berhenti makan, mungkin dalam lima atau 10 hari, haid akan datang," katanya.

Bagi individu yang masih sangsi atau takut untuk mengambil pil ini, Dr Haslina menasihatkan agar mereka mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan awal iaitu dua bulan sebelum menunaikan haji supaya ada tempoh penyesuaian diri.

Ulasnya lagi, bagi sesetengah wanita ia boleh terjadi pendarahan ringan (istihadah) yang menyukarkan individu untuk beribadah sekiranya mengambil pil horman terbabit.

"Pilihan ini memang kami 'reserve untuk (individu) yang betul-betyl tidak sesuai dengan kaedah lain sahaja tetapi memerlukan pemeriksaan khusus terlebih dahulu," katanya.

Berita Harian X