Khamis, 2 Mei 2024 | 8:23am
Makan perlu berpada-pada dengan jumlah yang munasabah elak ‘terjerat’ kenaikan berat badan. - Foto hiasan
Makan perlu berpada-pada dengan jumlah yang munasabah elak ‘terjerat’ kenaikan berat badan. - Foto hiasan

Jaga corak pemakanan elak risiko obesiti

ISU berat badan memang menjengkelkan dan perlu sentiasa diambil perhatian bagi mengelak obesiti serta mendapat penyakit kronik lain.

Antara langkah boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kenaikan berat badan khususnya kepada mereka yang sedang berusaha mengurangkan berat badan:

1. Bersenam setiap pagi

Bersenam kerap membuatkan individu lebih sihat dan cergas. Senaman seperti berjalan setempat, menari atau berjalan pantas selama 20 minit setiap pagi memadai untuk membekalkan anda tenaga sepanjang hari.

2. Makan dengan jumlah munasabah

Ketahui keperluan kalori badan kita. Cara mudahnya ialah dengan membahagikan pinggan kepada empat bahagian - satu perempat untuk nasi (karbohidrat), dua perempat untuk sayur (serat dan vitamin) dan bahagian terakhir diisi dengan sumber protein.

Kaedah ini dapat mengelakkan kita mengambil makanan berlebihan daripada yang diperlukan.

3. Elakkan makanan segera dan minuman ringan terutama berkarbonat

4. Banyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan

Kalau boleh, dapatkan tiga warna sayur dan buah (sama ada hijau, kuning, merah, jingga, putih, ungu) setiap hari untuk menikmati kebaikan fitonutrien yang berbeza.

5. Mengisi keperluan vitamin D

Ia berfungsi mengaktifkan sel imun untuk mencegah virus dan bakteria. Vitamin D boleh didapati pada matahari, telur, hati dan ikan.

6. Patuhi jadual makan

Untuk makan malam, sebaik-baiknya diambil sebelum jam lapan malam. Jika terpaksa makan lewat, ambillah dalam kuantiti sedikit untuk mengalas perut. Badan kita perlukan masa untuk mencerna makanan itu sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.

7. Minum banyak air

Ramai orang keliru antara keperluan untuk air atau makanan. Oleh itu, dengan minum banyak air, badan akan terhidrat dan mengelakkan kita terlebih makan kerana kekeliruan berkenaan.

8. Makan dengan tenang dan kunyah hingga makanan benar-benar lumat sebelum ditelan

Isyarat kenyang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke otak. Jadi, makan perlahan-lahan dalam keadaan tenang dapat mengelak kita terlebih makan.

Berita Harian X