Rabu, 1 Mei 2024 | 9:05am
Elakkan membawa bayi ke tempat yang sesak. - Foto hiasan
Elakkan membawa bayi ke tempat yang sesak. - Foto hiasan

Elakkan membawa bayi ke tempat yang sesak

SYAWAL yang indah boleh bertukar menjadi tragedi jika anda tidak memastikan kesihatan seisi keluarga berada dalam keadaan baik sepanjang bulan suci ini.

Kehadiran penyakit seperti cirit-birit, jangkitan kuman, influenza, selesema, batuk, demam campak dan penyebaran bakteria serta virus demam biasanya lebih banyak berlaku pada hari perayaan mahu pun tempat yang sesak dengan orang ramai seperti majlis rumah terbuka.

Keprihatinan soal kesihatan menjamin keluarga bebas daripada beberapa risiko penyakit ketika menghadiri rumah terbuka mahu pun melakukan aktiviti kunjung mengunjung. Biasanya pada musim perayaan, sanak-saudara berkumpul.

Ia satu tradisi yang baik untuk diteruskan. Bagaimanapun bagi mereka yang ada anak kecil perlu berhati-hati.

Elakkan membawa bayi ke tempat yang sesak seperti rumah terbuka. Sistem imunisasi anak masih lemah, justeru elakkan berada terlalu lama di sesuatu lokasi yang sesak.

Ibu bapa perlu menunjukkan keprihatinan apabila bayi atau anak kecil berada terlalu hamper dengan individu tidak sihat. Elakkan bayi dicium atau dipeluk mereka yang tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan virus kepada si kecil. Virus boleh dibawa melalui udara dan tangan yang tidak dicuci selepas batuk jika individu itu menghidap selesema.

Disarankan ibu tidak memberi anak kecil makanan berperisa dan mengandungi pewarna yang tinggi. Makanan seperti ini banyak dijamu ketika musim perayaan. Ia tidak sepatutnya diberikan kepada anak kecil terutama yang alami masalah banyak kahak.

Beri anak kecil makan makanan berkhasiat dan ibu boleh terlebih dulu sediakan makanan berkhasiat seperti bubur, puri, sayur atau buah segar. Dinasihatkan anak kecil supaya tidak mengambil minuman berais dan berkarbonat. Ketika musim raya, air berkarbonat antara minuman yang biasa dihidang.

Berita Harian X