Rabu, 1 Mei 2024 | 8:58am
Pemberian antibiotik dikawal melalui premis kesihatan dan preskripsi doktor. - Foto hiasan
Pemberian antibiotik dikawal melalui premis kesihatan dan preskripsi doktor. - Foto hiasan

Kepentingan antibiotik rawat penyakit

BAKTERIA adalah entiti penting dalam segenap proses kehidupan dan kelestarian alam. Menurut Institut Genome Nasional (NIH), kandungan bakteria semula jadi dalam badan dianggarkan 10 kali ganda jumlah sel dalam badan.

Manusia memerlukan bakteria antaranya untuk membantu penghadaman makanan, menyahaktifkan toksin dan berperanan untuk kematangan imun badan.

Keseimbangan bakteria yang 'baik' di dalam badan menghasilkan tubuh yang sihat. Apabila keseimbangan ini terganggu, tubuh tidak dapat berfungsi dengan baik dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.

Penemuan antibiotik serta kesannya

Penemuan bersejarah antibiotik oleh Sir Alexander Fleming, St Mary's Hospital, London sekitar 1920-an mengubah landskap bidang perubatan dan dianggap titik tolak terpenting dalam usaha pembasmian jangkitan disebabkan bakteria.

Tidak dapat dinafikan, penggunaan antibiotik menyelamatkan jutaan nyawa dan rawatan yang mudah, murah dan dapat diakses oleh segenap lapisan manusia.

Kini, terdapat ratusan jenis antibiotik yang mempunyai kaedah tindakan penghapusan bakteria yang berbeza.

Namun, Sir Fleming memberikan amaran penyalahgunaan antibiotik boleh menjejaskan fungsi dan keberkesanan antibiotik itu sendiri.

Tekanan daripada penggunaan antibiotik menyebabkan bakteria turut mengubah struktur genetik bagi mengelak serta meneutralkan kemampuan membunuh antibiotik sedia ada.

Kini, kita dapat melihat percambahan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini bakteria varian baharu atau istilahnya 'superbugs' yang semakin kebal terhadap antibiotik.

Kurang antibiotik boleh ragut nyawa

Fenomena kekebalan atau ketahanan antibiotik ini antara masalah terbesar dihadapi pesakit di mana-mana hospital sehingga boleh meragut nyawa kerana kurangnya antibiotik berkesan untuk mematikannya.

Laporan dikeluarkan pada 2019 merumuskan kematian berpunca daripada ketahanan antibiotik mencecah sehingga 1.27 juta kematian secara global.

Dijangkakan pada 2050, sekiranya fenomena ketahanan antibiotik ini tidak dikawal, jumlah kematian sedunia akan mencapai paras 10 juta seterusnya mengatasi jumlah kematian yang berpunca daripada penyakit kanser.

Penghasilan antibiotik baru semakin mencapai jalan yang buntu kerana proses evolusi bakteria lebih cepat daripada kajian dan penemuan antibiotik baru.

Masalah ketahanan antibiotik menjadi isu yang mendapat perhatian ramai.

Antara faktor utama yang menyumbang disebabkan tekanan penggunaan antibiotik berlebihan dan tidak bersesuaian mengakibatkan kematian bakteria yang baik dan diganti oleh bakteria kebal yang tidak baik.

Terdedah kepada bakteria kebal

Bakteria kebal ini kemudiannya berupaya membebaskan diri daripada tindak balas antibiotik dan berlegar dalam kalangan pesakit hospital di mana ketahanan badan sudah lemah disebabkan penyakit lain.

Contohnya, pesakit sedang pulih selepas menjalani pembedahan akan terdedah kepada bakteria kebal yang menyebabkan luka lambat baik dan lebih merisaukan merebak kepada organ dalaman.

Turut membimbangkan, fenomena yang dahulunya berlaku hanya di premis kesihatan kini melimpah kepada komuniti, di mana individu berisiko seperti warga tua dan bayi akan terdedah kepada jangkitan bakteria kebal.

Kurangnya pendedahan dan penekanan terhadap ketahanan antibiotik satu masalah serius yang perlu diatasi.

Kebanyakan orang awam salah faham apabila mengaitkan setiap jenis jangkitan dengan keperluan rawatan antibiotik.

Persepsi ini menyebabkan berlakunya penyalahgunaan antibiotik di mana doktor atau pegawai perubatan 'mengalah' terhadap tekanan anggapan masyarakat yang proantibiotik.

Doktor yang tidak memberikan antibiotik dianggap cuai sehingga menyebabkan individu mencari premis kesihatan lain untuk mendapatkan rawatan pilihan.

Jenis antibiotik

Faktor pemilihan jenis antibiotik memainkan peranan dalam penghasilan bakteria kebal.

Penggunaan antibiotik spektrum luas bukan sahaja membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan tetapi turut membunuh bakteria yang baik.

Ini memberikan peluang kepada bakteria spesies kebal untuk membiak dan mengambil alih tempat bakteria baik tadi.

Kehilangan keseimbangan bakteria normal tubuh ini turut menjejaskan sistem imun seterusnya terdedah kepada jangkitan bakteria kebal yang menyusup masuk sistem badan.

Bagaimana ketahanan antibiotik dapat dikawal?

Bukan semua jangkitan memerlukan rawatan antibiotik. Malah kebanyakan jangkitan bergejala ringan seperti demam biasa, selesema, sakit tekak dan batuk ringan disebabkan virus, bukannya bakteria.

Antibiotik tidak mempunyai sebarang kesan terhadap virus. Bahkan sesetengah jangkitan bakteria yang lazim boleh dimatikan oleh sistem imun badan tanpa antibiotik.

Di sini pentingnya ilmu terhadap jangkitan yang ingin dirawat. Pengawalan pemberian antibiotik hanya melalui premis kesihatan dan preskripsi doktor perlu diteruskan.

Tidak dapat dinafikan ada jangkitan perlu dirawat dengan antibiotik dan rawatan segera akan mempercepatkan proses pembunuhan bakteria dalam badan seterusnya mengelak komplikasi jangkitan lain seperti perebakan bakteria atau kegagalan organ.

Namun, di sini perlunya penggunaan antibiotik dengan lebih bertanggungjawab seperti menggunakan antibiotik bersasar sesuai dengan jangkitan yang ingin dirawat.

Rawatan dengan antibiotik spektrum luas sepatutnya hanya diguna pakai untuk kes pesakit serius di hospital khususnya di kecemasan dan unit rawatan rapi.

Seelok-eloknya punca setiap jangkitan dikenal pasti dan jenis bakteria dikenal pasti supaya antibiotik bersasar bersesuaian dipilih.

Setiap hospital dan premis kesihatan perlu menjalankan kegiatan 'antimicrobial stewardship' bagi memastikan rawatan antibiotik bersasar dilakukan dan preskripsi antibiotik spektrum luas dipantau.

Penyebaran bakteria kebal boleh dihadkan dengan memastikan tangan sentiasa bersih, bersihkan sebarang luka dan kanak-kanak serta golongan berusia mengambil vaksin.

Sekiranya memerlukan rawatan antibiotik bagi tujuan tertentu, individu perlu memastikan antibiotik diambil dengan sempurna dan mengikut tempoh ditetapkan doktor. Sebarang kekurangan tempoh akan menyebabkan bakteria kekal dalam tubuh badan dan berpeluang menjadi kebal.

Strategi pengawalan penggunaan antibiotik ini ada tiga faedah utama. Dari sudut individu, pengurangan penggunaan antibiotik berleluasa tanpa keperluan yang kukuh akan memastikan tubuh mempunyai jumlah bakteria baik yang seimbang dan berfungsi.

Kedua, kewujudan bakteria 'superbugs' dapat dipatahkan kerana tiada tekanan pemilihan semula jadi seterusnya melindungi masyarakat daripada sebarang pendedahan.

Ketiga, penggunaan antibiotik secara terkawal akan menjimatkan kos, memastikan antibiotik sedia ada masih boleh diguna pakai dan mengurangkan kadar kematian secara langsung atau tidak langsung.

Penulis adalah Pakar Penyakit Berjangkit Paediatrik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X