Isnin, 29 April 2024 | 8:47am
Beringat nikmati pelbagai juadah dihidang ketika musim perayaan elak berat badan naik mendadak. -Foto hiasan
Beringat nikmati pelbagai juadah dihidang ketika musim perayaan elak berat badan naik mendadak. -Foto hiasan

7 langkah sekat berat badan naik mendadak ketika musim perayaan

RAMAI bimbang dengan masalah kenaikan berat badan yang juga antara masalah utama membelenggu fikiran sejurus ketibaan musim perayaan ini.

Perut mula membuncit, muka semakin bulat dan badan terasa berat tatkala melangkah kaki menjadi antara tanda utama berat badan semakin bertambah.

Jemputan rumah terbuka pada setiap hujung minggu selain berkunjung ke rumah saudara dan sahabat terdekat yang rata-ratanya menghidangkan pelbagai juadah lazat juga antara faktor kenaikan berat badan.

Ditambah dengan gaya hidup seharian yang tidak sihat terutama tanpa melakukan senaman memburukkan lagi situasi yang akhirnya menimbulkan pelbagai risiko kesihatan.

Bukan tidak boleh menikmati hidangan mudah atau lazat, namun setiap individu perlu beringat kesan yang akan ditanggung berbulan atau bertahun lamanya jika faktor pemakanan tidak dipandang serius.

Langkah beringat dan mengambil makanan sihat dalam kuantiti bersesuaian perlu dilakukan bagi memastikan berat badan tidak naik mendadak selain mengamalkan senaman.

Berikut tujuh langkah mudah mengekalkan berat badan ideal:

● Tetapkan waktu makan. Ingat petua ini-berhenti makan sebelum kenyang. Kunyah makanan sekitar 40 kali .

Banyak kajian dilakukan termasuk di Universiti Perubatan Harbin menunjukkan ereka yang mengunyah makanan lebih lama memiliki tubuh lebih ramping.

Mengunyah makanan lebih lama menurunkan paras ghrelin iaitu hormon lapar di dalam sistem pencernaan.

Makan terlalu cepat membuatkan anda tidak sedar yang anda sudah kenyang.

● Usah mengambil semua hidangan disediakan ketika berkunjung ke rumah terbuka atau berhari raya.

Kurangkan pengambilan kuih, biskut atau kek kerana manisan mempunyai kadar gula yang tinggi. Jika ingin juga rasailah secara sederhana.

● Makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta pastikan makanan seimbang.

● Kurangkan pengambilan makanan berlemak. Paling penting, jangan makan terlalu banyak.

Makan yang kerap meningkatkan kadar metabolisme.

● Rajinkan diri untuk mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan jangan terlalu banyak berehat atau tidur terutama selepas makan.

Banyakkan berjalan agar kalori dalam makanan itu dibakar dan tidak disimpan. Walaupun anda berhari raya selama sebulan sebaiknya bersenam harus dilakukan setiap hari.

● Minum air putih dalam kuantiti mencukupi.

● Jangan simpan makanan ringan di dalam peti sejuk.

Berita Harian X