Ahad, 28 April 2024 | 11:00am
Haiwan ternakan sebagai punca penyebaran leptospirosis. - Foto hiasan
Haiwan ternakan sebagai punca penyebaran leptospirosis. - Foto hiasan

Haiwan ternakan pembawa senyap penyakit kencing tikus

PENYAKIT kencing tikus atau 'leptospirosis' mempunyai kesan jangkitan berbahaya kepada manusia dan boleh membawa maut.

Malaysia negara endemik yang merekodkan kes leptospirosis manusia tinggi di rantau Asia setiap tahun.

Hal ini disebabkan iklim tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun menyumbang kepada persekitaran yang kondusif kepada penularan penyakit leptospirosis terutama pada musim tengkujuh.

Terdapat lebih 200 serovar bakteria Leptospira terbahagi kepada tiga kumpulan spesis utama; Kumpulan patogenik (paling berbahaya dan mudah dijangkiti), Kumpulan separa patogenik (boleh menyebabkan jangkitan ringan) dan terakhir kumpulan bukan patogenik (tidak berbahaya).

Kelompok patogenik kebiasaannya tinggal di dalam haiwan perumah terutamanya tikus. Bakteria Leptospira dari kelompok ini akan membiak melalui sistem perkumuhan haiwan dijangkiti, di mana kitaran penularan penyakit akan diteruskan melalui rembesan air kencing mengandungi bakteria dalam kadar kepekatan tinggi.

Bergantung kepada jenis serovar Leptospira, haiwan perumah yang dijangkiti bakteria ini tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal, malah haiwan ini juga kelihatan sihat dan berpotensi menjangkiti haiwan lain serta manusia.

Penyebaran leptospirosis boleh berlaku jika mangsa terdedah kepada air kencing haiwan melalui luka pada badan serta penyerapan pada membran mukosa terutama pada rongga mata, mulut serta dubur.

Haiwan ternakan sebagai punca penyebaran leptospirosis

Ketua Jabatan Praklinikal Sains Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan, Dr Intan Noor Aina Kamaruzaman, berkata umum tidak ramai mengetahui penyakit leptospirosis boleh berjangkit melalui haiwan ternakan.

Dr Intan Noor Aina Kamaruzaman.
Dr Intan Noor Aina Kamaruzaman.

Seperti tikus sebagai perumah utama (principal host), haiwan ternakan seperti lembu, kambing, bebiri, babi dan kuda juga berupaya menjadi perumah kepada pelbagai jenis spesis leptospira dari kelompok patogenik.

Sebagai contoh, lembu adalah perumah utama untuk Leptopsira interrogans Harjo-bovis serta Leptospira borgsetersenii Hardjo-bovis.

Selain itu, lembu juga boleh dijangkiti dari spesies haiwan lain seperti tikus dan anjing yang berada di kawasan ladang.

"Jangkitan leptospirosis terhadap ternakan lembu boleh menyebabkan kegagalan sistem reproduktif seperti keguguran, penurunan kadar kelahiran anak lembu serta kurang penghasilan susu.

"Bagaimanapun, kesan jangkitan ini hanyalah bersifat sementara dan ternakan akan pulih dalam masa singkat tanpa disedari penternak," katanya.

Lembu akan menjadi haiwan perumah dan berupaya menyebarkan bakteria Leptospira melalui air kencing dan seterusnya boleh terdedah kepada kelompok ternakan lain dan juga kepada manusia.

Diagnosis terhadap penyakit leptospirosis pada ternakan juga rumit untuk dilakukan kerana selain kurang menunjukkan tanda klinikal, masalah sistem reproduktif pada haiwan juga mempunyai persamaan dengan penyakit lembu lain seperti Brucellosis serta Trichichomoniasis.

Kekeliruan ini adalah faktor utama status leptospirosis tidak dapat dikesan di peringkat awal serta menjadi penyebab penularan senyap pada manusia.

Kes kencing tikus berpunca jangkitan dari lembu?

Tahukah anda selepas tikus, kebanyakan kes leptospirosis pada manusia berpunca dari jangkitan dari lembu? Beberapa kajian saintifik membawa kepada penemuan bakteria berkenaan pada sampel darah penternak lembu serta pekerja rumah sembelih haiwan yang terjangkiti.

Ternakan babi berpotensi dapat jangkitan leptospirosis

Selain lembu, babi juga ternakan berpotensi mendapat jangkitan leptospirosis. Berbeza dengan lembu, daya tahan babi terhadap penyakit leptospirosis adalah lebih rendah dan ternakan babi yang dijangkiti akan menunjukkan tanda klinikal yang serius berbanding lembu.

Katanya, di Malaysia, ada beberapa kajian leptospirosis dilakukan pada ternakan haiwan membuktikan ternakan dalam negara mempunyai potensi tinggi menjadi penyebar penyakit ini terutama kepada penternak.

Adakah produk haiwan ternakan yang dijangkiti leptospirosis selamat dimakan?

Produk haiwan seperti daging dan susu yang dijangkiti leptospirosis selamat dimakan berdasar kepada dua fakta.

Pertama: Bakteria leptospira tidak tercemar secara langsung kepada daging dan susu

Kedua: Kaedah memasak menggunakan suhu yang tinggi (daging) serta proses pastur (susu)

Namun begitu, organ haiwan seperti ginjal dikhuatiri masih mempunyai sisa pencemaran bakteria Leptospira masih boleh dimakan dan perlu dimasak menggunakan suhu tinggi.

Bagaimanapun, leptospirosis penyakit boleh dicegah dan dirawat jika dilaporkan dengan segera. Bagi petani dan penternak, pengurusan ternakan kunci utama kepada pengekangan penyebaran penyakit leptospirosis.

Langkah pencegahan

Menurut Dr Intan Noor Aina, langkah pencegahan, ladang ternakan harus bebas daripada haiwan perumah lain seperti tikus dan anjing serta mengekalkan kebersihan tahap tinggi.

Penternak disarankan memakai alat pelindung diri seperti sarung tangan, baju overall serta but semasa mengendalikan ternakan, selain laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) jika mengesyaki ternakan sakit mungkin berpunca daripada penyakit itu.

Penyakit leptospirosis boleh berpunca daripada haiwan ternakan yang menjadi ancaman penyebaran senyap kepada manusia terutama penternak, selain amalkan perladangan baik, bersih serta sempurna.

Berita Harian X