Jumaat, 26 April 2024 | 10:10am
penggemar makanan atau minuman manis ini, perlu berhati-hati dengan pengambilan gula harian. - Foto hiasan
penggemar makanan atau minuman manis ini, perlu berhati-hati dengan pengambilan gula harian. - Foto hiasan
Hidangan pada majlis rumah terbuka lazimnya banyak yang manis, jadi perlu waspada. - Foto hiasan
Hidangan pada majlis rumah terbuka lazimnya banyak yang manis, jadi perlu waspada. - Foto hiasan

Kurangkan hidangan pencuci mulut manis, elak dapat penyakit tiga serangkai

HIDANGAN pencuci mulut seperti kek, kuih manis dan aiskrim enak dimakan terutama ketika musim panas atau minum petang.

Bagi menghasilkan pencuci mulut enak ini, pastinya penggunaan gula dalam kuantiti yang banyak akan dimasukkan ke dalam adunan.

Pada musim perayaan ini, boleh dikatakan setiap rumah menyajikan hidangan manis. Biskut raya, kek, halwa, beraneka dan kuih-muih tradisional semuanya mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Itu tidak termasuk minuman manis. Jika anda penggemar makanan atau minuman manis ini, perlu berhati-hati dengan pengambilan gula harian.

Gula adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap oleh tubuh.

Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi-ubian.

Gula juga terdapat dalam buah-buahan berbentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.

Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga secara berlebihan sekali gus boleh meningkatkan berat badan serta menyebabkan obesiti.

Obesiti meningkatkan risiko penyakit serangkai dan kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari serta beberapa jenis kanser.

Bukan itu saja, malah gula juga boleh dikaitkan dengan masalah karies gigi.

Kurangkan pengambilan gula

Justeru, amalkan langkah bijak untuk mengurangkan pengambilan gula terutama pada musim perayaan ini.

* Minum air kosong bagi menggantikan minuman manis. Air kosong tidak mengandungi gula dan kalori berbanding minuman manis.

* Hadkan gula, susu pekat manis, susu isian pekat manis dan krimer manis kepada satu sudu teh saja untuk setiap cawan minuman. Sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengambil minuman manis.

* Mulakan pengurangan pengambilan gula dan susu pekat manis kepada satu sudu teh saja bagi setiap cawan minuman.

* Elakkan menambah gula dalam masakan, sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula. Gula adalah salah satu ramuan utama dalam masakan seperti kuih-muih dan kek.

* Kurangkan penggunaan gula daripada biasa. Elakkan juga menambah hiasan yang manis di atas kek cawan sebaliknya gantikan dengan buah-buahan yang sememangnya mempunyai khasiat.

* Elakkan makanan dan minuman bergula di antara hidangan utama serta sebelum waktu tidur. Pengambilan snek, iaitu makan di antara waktu makan utama akan meningkatkan pengambilan tenaga harian.

Kajian menunjukkan gula yang terkandung di dalam snek adalah penyumbang utama dalam peningkatan pengambilan tenaga ini.

* Makan buah sebagai pencuci mulut bagi menggantikan makanan bergula seperti kuih, kek dan bubur. Kuih, kek dan bubur mengandungi gula serta kalori yang tinggi berbanding snek sihat seperti buah-buahan.

* Gantikan snek yang tinggi gula dengan snek sihat dapat mengurangkan pengambilan kalori harian.

* Baca label dan elakkan produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal senarai ramuan. Semak kandungan gula dalam senarai ramuan pada label sesuatu produk makanan.

Sekiranya gula tersenarai di bahagian awal senarai ramuan, ini menunjukkan gula adalah komponen utama makanan berkenaan.

* Pilih produk berlabel 'rendah gula' dan 'bebas gula'. Makanan yang dilabel sebagai 'rendah gula' bermaksud kandungan gula tidak melebihi lima gram per 100 gram atau 2.5 gram per 100 mililiter.

'Bebas gula' pula bermaksud kandungan gula tidak melebihi 0.5 gram per 100 gram atau 100 mililiter.

* Industri makanan mengambil inisiatif untuk mengurangkan kandungan gula dalam produk makanan dan minuman yang dikeluarkan.

Kini terdapat semakin banyak produk yang kurang kandungan gula di pasaran. Justeru, pilihlah produk makanan yang rendah atau bebas gula.

Aktiviti senaman kurangkan karbohidrat, gula

Sekiranya seseorang mengambil makanan atau minuman sejumlah 420 kalori, maka untuk membakar 420 kalori, seseorang itu perlu:

* Berlari atau menaiki tangga selama satu jam;

* Berjoging atau berjalan menaiki bukit selama satu jam

* Menari aerobik selama 75 minit

* Berbasikal selama 105 minit

* Melakukan kerja rumah selama tiga jam.

Berita Harian X