Rabu, 24 April 2024 | 8:06am
Minum kopi pada kadar minimum dan bersederhana mengelak pelbagai masalah kesihatan. - Foto hiasan
Minum kopi pada kadar minimum dan bersederhana mengelak pelbagai masalah kesihatan. - Foto hiasan

Kafein punca dehidrasi, kerap kencing

Secawan kopi sehari atau mungkin lebih sudah menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat Malaysia hari ini.

Hal ini tentu saja dapat diukur dengan pertambahan pelbagai jenama kedai kopi di hampir seluruh negara.

Bagi sesetengah orang, hidup mereka tidak sempurna tanpa secawan kopi. Hanya setelah menikmati secawan kopi, barulah tubuh dirasakan berfungsi.

Bagaimanapun, pengambilan kafein harus dikawal kerana ia akan hanya menyebabkan dehidrasi.

Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik IMU University, Nur Adila Samingan, berkata kafein adalah sejenis diuretik semula jadi yang ada di dalam kopi dan teh.

Namun, kafein hadir di dalam minuman komersil seperti minuman berkarbonat dan minuman tenaga seperti 'redbull'.

"Kandungannya berbeza mengikut kepada produk dan kaedah pemprosesannya. Bagi sesetengah orang pengambilan kafein akan menyebabkan diuretik iaitu keadaan di mana organ buah pinggang menyingkirkan air dan garam berlebihan daripada badan anda.

"Ini akan menyebabkan individu itu membuang air kencing dengan lebih kerap dan lebih banyak daripada keadaan biasa.

Biasanya seseorang mengambil minuman berkafein untuk kekal cergas dan segar sepanjang hari.

Sindrom sarak

Tambahnya, tanda-tanda ketara apabila individu itu mengalami sindrom sarak terhadap kafein adalah seperti mengantuk yang keterlaluan serta mengakibatkan produktiviti kerja menurun.

"Penggantian minuman berkafein kepada tidak berkafein seperti kopi tanpa kafein atau teh herba seperti teh halia lemon boleh diambil semasa tempoh ini.

Katanya, jika mahu menikmati minuman berkafein, lakukan tanpa gula dengan bancuhan yang lebih cair, ia adalah lebih baik berbanding dengan minuman manis yang berperisa seperti minuman kordial dan minuman berkarbonat.

"Ini kerana apabila kita mengambil makanan atau minuman yang tinggi dengan kandungan gula semasa berbuka, paras gula di dalam darah meningkat secara mendadak.

Pengambilan minimum

Minuman berkafein seperti teh dan kopi menyumbang kepada dehidrasi; makanan yang tinggi kandungan sodium akan menyebabkan rasa dahaga dan makanan bergula tinggi menyebabkan peningkatan mendadak gula dalam darah dan diikuti dengan merosotnya tenaga rendah.

Justeru, amat penting katanya untuk mengambil jenis makanan dan minuman itu pada kadar yang minimum.

Kata Nur Adila, badan kita menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudiannya disimpan.

Proses ini dikawal insulin yang dihasilkan badan semasa kita makan. Lebih banyak makanan dinikmati, bertambah jumlah insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga disimpan.

"Sepanjang hari badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga. Bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot," katanya.

Berita Harian X