Selasa, 23 April 2024 | 1:21pm
Rawat petanda awal radang pelvis bagi mengelakkan ia menjadi lebih serius. - Gambar hiasan
Rawat petanda awal radang pelvis bagi mengelakkan ia menjadi lebih serius. - Gambar hiasan

Ambil serius sakit perut, datang bulan berpanjangan

WANITA yang mengalami kesakitan di bahagian bawah abdomen berpanjangan, haid tidak teratur, demam, iritasi dan mempunyai lendiran berlebihan serta berbau busuk dari faraj dan salur air kencing dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor pakar pada kadar segera.

Pakar Perunding Kebidanan dan Sakit Puan, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Nor Elyana Noordin, berkata simptom atau gejala ini dibimbangi berkait rapat dengan penyakit berjangkit yang berlaku pada tiub fallopio, rahim, serviks atau ovari iaitu penyakit radang pelvis (PID).

Beliau berkata, PID adalah sejenis jangkitan pada organ pembiakan wanita yang biasanya disebabkan oleh bakteria yang merebak dari faraj dan serviks ke rahim, tiub fallopio, atau ovari.

Katanya, kawasan persekitaran alat kelamin juga boleh terkena penyakit ini dan kebiasaannya, jangkitan yang menjadi punca PID adalah melalui kontak seksual.

"Pengesanan awal dan rawatan PID penting bagi mengurangkan risiko komplikasi, memelihara kesuburan, dan meningkatkan kesihatan kandungan individu yang terjejas pada masa akan datang.

"Jika anda mengesyaki anda mungkin mengalami PID atau mengalami simptom yang menunjukkan PID, penting untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk diagnosis dan rawatan yang sesuai," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Dr Nor Elyana berkata, sesetengah pesakit PID akan merasakan kesakitan atau ketidakselesaan ketika membuang air kecil atau bersetubuh.

"Ia disebabkan oleh keradangan atau jangkitan pada saluran kencing.

"Ketidakselesaan ketika melakukan hubungan seksual biasanya terjadi jauh di dalam pelvis atau bawah perut yang mungkin disertakan dengan gejala lain seperti keputihan atau pendarahan," katanya.

Elak komplikasi lebih serius

Dr Nor Elyana Noordin. - FOTO SMCV

Dr Nor Elyana berkongsi, terdapat wanita yang malu untuk berkongsi simptom PID kepada ahli keluarga atau doktor bagi mendapatkan rawatan awal.

Ini kerana stigma sosial yang dikaitkan dengan jangkitan seksual (STI) atau penyakit yang berkaitan dengan kesihatan seksual termasuk PID, menjadikan wanita tidak mengambil langkah awal untuk merawat PID.

"Terdapat wanita yang mungkin takut dinilai atau dilabel secara negatif jika mereka mendedahkan simptom yang menunjukkan PID, terutamanya kepada ahli keluarga.

"Bagaimanapun, pada hari ini wanita dilihat lebih cakna akan PID dan melakukan ujian, pengesanan awal dan berjumpa doktor sekiranya mengalami simptom," katanya.

Dr Elyana berkata, simptom PID yang tidak dirawat boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius seperti sakit pelvis kronik, parut pada organ pembiakan, dan boleh mengakibatkan kemandulan atau kehamilan luar rahim.

"PID yang tidak dirawat juga meningkatkan risiko jangkitan kronik, nanah pada pelvis, peritonitis (kemerahan atau radang di kawasan pelvis), dan jangkitan STI yang lebih teruk serta boleh dipindahkan kepada orang lain.

"Mendapatkan rawatan perubatan segera adalah penting untuk mengelakkan komplikasi ini dan menjaga kesihatan reproduktif," katanya.

Risiko ibu, bayi

Tambah Dr Elyana, sekiranya seseorang wanita itu hamil dan menghidap PID, ia boleh menimbulkan risiko kepada ibu dan bayi.

Katanya, ibu yang menghidap PID mungkin akan berdepan komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang, dan keguguran akibat kesan keadaan tersebut terhadap kesihatan reproduktif.

"PID yang tidak dirawat atau diurus dengan baik semasa mengandung juga boleh meningkatkan risiko jangkitan, termasuk nanah pada pelvis atau peritonitis, lalu boleh membahayakan ibu dan bayi," katanya.

Lebih menakutkan, Dr Elyana berkata bakteria yang menjadi punca PID juga boleh merebak ke alat kelamin pasangan lelaki apabila seorang wanita dengan PID melakukan hubungan seksual bersama pasangan lelaki yang membawa kepada gejala STI.

"Pasangan mungkin akan merasai gejala seperti sakit atau rasa terbakar semasa membuang air kecil dan sakit atau bengkak pada testis, " katanya.

Rawat gejala

Dr Wong Yen Shi. - FOTO SMCV

Sementara itu, Pakar Perunding Kebidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wong Yen Shi, berkata pesakit PID boleh merujuk kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam dan swasta termasuk hospital, klinik dan pusat kesihatan khusus wanita sekiranya mengalami gejala PID.

Katanya, pemeriksaan dan diagnosis akan dijalankan berdasarkan simptom sebelum pesakit akan diberi rawatan dan pengurusan simptom mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Pakar perubatan akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian makmal seperti pemeriksaan pelvis, ultrasound dan ujian untuk jangkitan STI seterusnya memberikan rawatan berdasarkan diagnosis pesakit.

"Rawatan PID biasanya membabitkan gabungan antibiotik yang disasarkan kepada jangkitan bakteria yang menyebabkan keradangan.

"Di Malaysia, penyedia penjagaan kesihatan akan mengikut garis panduan yang ditetapkan untuk diagnosis dan pengurusan PID termasuklah melalui penggunaan terapi antibiotik, pengurusan kesakitan dan penjagaan sokongan," katanya.

Dr Wong berkata, dalam kes PID yang serius atau terdapat komplikasi seperti pelvis bernanah atau peritonitis, kemasukan ke hospital mungkin diperlukan untuk pemantauan rapi dan pemberian antibiotik intravena.

"Pembedahan mungkin diperlukan bagi membuang tisu yang rosak tetapi ia jarang berlaku.

"Merawat pasangan juga penting bagi mencegah jangkitan semula, diikuti rawatan susulan bersama doktor pakar selepas pemberian antibiotik bagi memastikan jangkitan dapat dihentikan dan memantau sebarang pengulangan atau komplikasi.

"Selain itu, biasanya doktor akan menawarkan ujian tambahan seperti ultrasound pelvis atau ujian STI," katanya.

Amal langkah pencegahan

Dr Wong menasihatkan wanita untuk mencegah PID dengan mengurangkan risiko STI.

"Amalkan hubungan seksual selamat dengan penggunaan kondom yang konsisten, mengehadkan pasangan seksual dan jalani ujian STI secara berkala, terutamanya jika anda aktif secara seksual.

"Selain itu, sentiasa berkongsi sejarah STI bersama pasangan supaya kedua-duanya boleh mengamalkan kaedah pencegahan.

"Elakkan 'douching' atau kerap mencuci bahagian sulit kerana ia boleh yang mengganggu keseimbangan semula jadi bakteria dalam faraj yang mampu meningkatkan risiko jangkitan PID serta berhenti merokok.

"Akhir sekali, jalani pemeriksaan ginekologi berkala bagi membolehkan doktor pakar mengesan awal jika terdapat sebarang jangkitan dan keabnormalan pada tubuh anda," katanya.

Dengan mengikuti langkah pencegahan ini, individu boleh mengurangkan risiko PID dan komplikasi lain daripada jangkitan seksual.

Mengutamakan kesihatan seksual dan mengambil langkah proaktif penting untuk perlindungan dan mencegah penularan STI.

Berita Harian X