Selasa, 23 April 2024 | 10:10am
Kes keracunan makanan disebabkan makanan dicemari oleh beberapa bakteria. - Foto hiasan
Kes keracunan makanan disebabkan makanan dicemari oleh beberapa bakteria. - Foto hiasan

Sengsara makan hidangan tercemar

KERACUNAN makanan bukan kes yang asing bagi masyarakat dan ia berlaku kesan daripada pengambilan atau memakan sesuatu yang tercemar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 10 orang di dunia atau 600 juta mengalami keracunan dengan 420,000 meninggal dunia setiap tahun.

Kes keracunan makanan juga meragut nyawa kanak-kanak dengan WHO catatan kematian sebanyak 125,000 setiap tahun.

Umumnya kes keracunan makanan dikaitkan dengan makanan yang rosak atau tercemar apabila terdedah dalam tempoh terlalu lama pada suhu bilik. Makanan yang tidak dimasak dengan sempurna juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami keracunan.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir, berkata, kebanyakan kes keracunan makanan disebabkan makanan dicemari oleh beberapa bakteria, antaranya salmonella, escherichia coli (e-coli) atau virus lain seperti norovirus dan clostridium perfringens.

Katanya, selain bakteria terbabit, keracunan makanan disebabkan bahan kimia, virus atau parasit.

"Terdapat beberapa punca keracunan makanan antaranya memakan makanan tidak dimasak dengan betul atau mentah terutamanya daging.

"Kaedah penyimpanan makanan yang tidak betul dan membiarkan makanan terdedah dalam jangka masa yang lama juga boleh menjadi punca.

"Disebabkan itu, cara pengendalian makanan amat penting bagi memastikan hidangan disediakan selamat serta bebas daripada sebarang pembiakan bakteria sebelum ia sampai kepada pengguna," katanya.

Keracunan makanan bukan kes yang asing bagi masyarakat dan ia berlaku kesan daripada pengambilan atau memakan sesuatu yang tercemar. - Foto hiasan
Keracunan makanan bukan kes yang asing bagi masyarakat dan ia berlaku kesan daripada pengambilan atau memakan sesuatu yang tercemar. - Foto hiasan

Vaksin, suntikan tifoid

Dr Mohd Fikri berkata, sekiranya berlaku sebarang kejadian atau kesilapan pada mana-mana peringkat penyediaan, ia akan menentukan sama ada makanan akan rosak atau sebaliknya, sekali gus menjadi punca kepada keracunan makanan.

Halam hal bagi seseorang pengendali makanan mereka perlu mengambil vaksin atau suntikan tifoid. Malah ia juga solusi amat baik bagi mencegah sebarang jangkitan yang berpunca daripada pengendalian makanan.

Pada masa sama, pengguna juga perlu peka dengan tempoh masa makanan itu disediakan.

Masa terbaik untuk menikmati sesuatu hidangan yang siap disediakan adalah dalam tempoh kira-kira empat jam.

Pengguna juga perlu melihat bagaimana cara makanan itu disimpan sejurus selepas dimasak.

Bagi mengelakkan makanan itu cepat rosak, tindakan yang perlu dielakkan adalah menutup makanan ketika masih dalam keadaan panas atau sejurus selepas dimasak.

Hal ini, katanya disebabkan pada waktu itu adalah masa yang dianggap waktu ideal untuk fermentasi (penapaian) kepada bakteria.

Kes keracunan makanan ini boleh berlaku pada setiap peringkat umur tanpa mengira usia dengan beberapa simptom jelas.

"Simptom yang selalunya dihadapi oleh mereka yang mengalami keracunan makanan adalah seperti cirit-birit, loya, muntah, hilang selera makan dan sakit perut.

"Namun begitu, ia bergantung kepada punca sebenar atau bakteria yang menyerang.

"Justeru, dalam keadaan begitu individu terbabit perlu memastikan tubuh kekal hidrasi bagi mengelak keadaan semakin serius," katanya.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman, Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir.

Segerakan rawatan

Justeru katanya, amat penting memastikan badan berada dalam keadaan optimum dan mereka yang mengalami keracunan makanan perlu menggantikan semula cairan badan yang hilang menerusi cirit-birit atau muntah.

Jelas Dr Mohd Fikri, sekiranya pesakit sudah cuba minum atau makan namun tidak berhasil dan keadaan semakin teruk selain berlakunya najis berdarah mereka perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.

"Seseorang akan mengalami simptom keracunan makanan dalam tempoh empat jam hingga lima hari selepas menikmati makanan yang tercemar.

"Disebabkan itu, makanan terakhir dimakan bukan penentu atau punca berlakunya keracunan makanan.

"Pemeriksaan fizikal akan dilakukan doktor bagi memastikan berlaku penyahhidratan selain menjalankan ujian darah atau mengesan parasit bagi menentukan penyebab keracunan makanan," katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa, berkata dalam memastikan makanan yang diambil atau dibeli tidak tercemar serta selamat dimakan, pengguna dinasihatkan supaya lebih peka dengan keadaan makanan berkenaan, terutama ketika membeli-belah di pasar malam atau bazar Ramadan.

"Dalam hal ini peranan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan peniaga adalah penting dalam memastikan makanan yang dibeli serta dijual adalah bersih dan selamat untuk dimakan," katanya.

Gejala

1. Loya
2. Cirit-birit
3. Muntah
4. Sakit perut
5. Demam
6. Sakit kepala
7. Rasa letih

Berita Harian X