Ahad, 21 April 2024 | 12:20pm

Derita sendi 'haus'

Lazimnya penyakit berkaitan sendi dideritai golongan berusia berpunca daripada faktor umur yang kemudiannya menyebabkan 'kehausan' pada bahagian itu.

Bagaimanapun hari ini beban kesakitan itu boleh dilalui sesiapa saja malah semakin ramai pesakit muda berhadapan dengan masalah sendi.

Sakit sendi lutut atau osteoarthritis (OA) mengakibatkan kualiti hidup seseorang itu terjejas hingga menyebabkan pergerakannya semakin terbatas dan mula memerlukan rawatan serta ubat-ubatan.

Menurut Pakar Perunding Ortopedik MSU Medical Centre, Dr Ruzaimi Md Yusoff, penyakit sendi boleh berlaku tanpa mengira usia dan terdapat dua jenis osteoarthritis iaitu primer dan sekunder.

Dr Ruzaimi Md Yusoff
Dr Ruzaimi Md Yusoff

"Biasanya OA primer ini dihidapi individu berusia yang disebabkan kehausan sendi.

"Manakala OA sekunder berlaku kepada peringkat umur lebih muda dan selalunya akibat kecederaan terhadap sendi berikutan mereka pernah jatuh, patah tulang atau kemalangan.

"Penyakit ini juga biasa dialami mereka yang aktif bersukan kerana mereka cenderung terdedah kepada kecederaan ligamen, meniskus dan jika terdapat kecederaan ia menyebabkan lebih cepat berlakunya kehausan sendi serta OA sekunder," katanya.

Justeru kata Dr Ruzaimi, bagi mereka berusia lebih 50 tahun dan tidak pernah mengalami kecederaan sendi, ia ialah OA primer iaitu masalah yang akan berlaku apabila seseorang melepasi usia menua.

Bagaimanapun katanya, faktor utama masalah sendi adalah disebabkan berat badan berlebihan yang secara tidak langsung menyumbangkan kepada tambahan beban terutama kepada sendi lutut.

"Sendi adalah 'wear and tear' yang mana apabila berat badan bertambah ia akan mempercepatkan kehausan pada bahagian sendi, di samping faktor kecederaan.

"Malah kajian menunjukkan wanita lebih cenderung menghidap OA. Ia disebabkan bentuk badan, 'alignment' sendi, pinggul wanita lebih lebar untuk menampung kehamilan menyebabkan lebih bebanan kepada lutut," katanya.

Faktor genetik

Bagaimanapun kongsinya, faktor genetik lebih memainkan peranan dengan ada kajian menunjukkan jika dalam sesebuah keluarga misalnya ibu bapa mendapat OA pada peringkat awal atau usia tertentu, anak-anak berpotensi mendapat penyakit sama, namun ia bukanlah faktor utama.

Katanya, ada individu seawal 40-an sudah mengalami masalah sendi namun kebanyakan penderita OA primer berlaku kepada warga emas yang berusia 55 dan 60 tahun.

"Masalah OA primer ini paling banyak membabitkan sendi yang menampung banyak bebanan iaitu lutut, pinggul, pergelangan kaki.

" OA sekunder pula mengakibatkan masalah pada mana-mana sendi yang tidak bergantung beban berat badan dan lazimnya akibat kecederaan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ruzaimi berkata rawatan masalah sendi boleh dimulakan dengan kaedah 'non-invasive' iaitu tidak membabitkan apa-apa suntikan atau pembedahan tetapi dengan mengubahsuai aktiviti seharian. Misalnya jika seseorang itu banyak naik turun tangga atau melakukan tugas lasak mereka dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan itu.

Langkah kedua katanya, pesakit akan disaran melakukan senaman menguatkan otot lutut, paha dan betis. Namun jika masalahnya tidak berkurangan, seseorang itu perlu merujuk kepada pakar fisioterapi. Jika keadaan masih tidak berubah, mereka akan diberi ubat penahan sakit untuk tempoh tertentu iaitu dua minggu hingga sebulan.

Bagaimanapun katanya, jika usaha awal tidak membuahkan hasil, pesakit akan disyorkan mengambil suntikan dan jalan terakhir penyelesaiannya dengan pembedahan.

"Terdapat banyak jenis suntikan yang antaranya bertujuan mengurangkan keradangan termasuk menggunakan steroid, ubat bius dimasukkan dalam sendi, atau suntikan asid hyaluronic, seterusnya kaedah plasma platlet PRP namun kajian keberkesanannya belum meluas membuatkan jenis rawatan bergantung kepada keterukan masalah dihadapi" katanya.

Tambahnya, tanda paling biasa seseorang mempunyai masalah OA ialah dia merasa sakit apabila bangun atau duduk serta membengkokkan kaki, selain bunyi tulang bergesel disebabkan penyempitan sendi.

Kurangkan beban lutut

Keadaan ini katanya, jika dibiarkan tanpa usaha menguatkan otot akan menjadi semakin teruk. Justeru mereka dengan masalah sebegini tidak digalakkan melakukan senaman yang membebankan lutut seperti berlari, melompat serta bermain bola sepak.

Sebaliknya aktiviti senaman yang digalakkan ialah berjalan, 'briskwalk', berbasikal, berenang, berjalan di dalam kolam renang iaitu pergerakan tanpa bebanan lutut boleh memanjangkan hayat sendi selain berusaha mendapatkan berat badan ideal.

Dr Ruzaimi berkata, pekerja stor, juruteknik, pekerja pendawaian adalah antara jenis pekerjaan yang memerlukan mereka berulang kali menaiki dan menuruni tangga. Justeru mereka adalah antara yang berisiko berhadapan dengan masalah sendi kerana kerap meletakkan beban berlebihan berulang kali pada lutut.

FAKTA:

1. Punca sakit sendi lutut atau OA dikaitkan dengan usia, obesiti selain kecederaan lampau

2. OA sejenis masalah sendi paling kerap ditemui

3. Ia berpunca daripada kerosakan sendi tulang rawan (kartilaj) akibat usia semakin meningkat yang menyebabkan rawan menjadi haus dan botak.

Berita Harian X