Sabtu, 20 April 2024 | 8:42am
Foto hiasan
Foto hiasan

Senaman kuatkan fungsi organ dalaman

Senaman adalah aktiviti fizikal atau riadah yang selalunya dilakukan dalam jangka masa tertentu bertujuan meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan.

Gaya hidup dan kecanggihan teknologi pada masa ini menjadikan orang ramai semakin kurang bersenam.

Hakikatnya, senaman adalah antara cara terbaik mencegah penyakit.

Apabila seseorang itu kurang bersenam, ia boleh menyebabkan terjadinya pelbagai risiko penyakit.

Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, angin ahmar (strok), darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis.

Malah, senaman juga menjadikan bahagian tulang , ligamen, tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) selain mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot serta sendi. Senaman juga mempunyai kesan dari segi psikologi yang amat baik.

Bersenam jadikan individu tenang

Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah tertekan.

Bersenam, jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat oleh kerana itu masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.

Untuk memulakan rutin senaman, ia hendaklah dilakukan secara tertib dan tidak memaksa badan melakukan aktiviti yang terlalu sukar.

 

Berikut beberapa perkara boleh dipertimbangkan sebelum melakukan senaman:

Senaman yang selamat

• Pakai pakaian dan kasut yang sesuai dan selesa.

• Guna peralatan keselamatan seperti topi keledar, kaca mata yang menghalang kemasukan air (goggle), pelindung mulut, pelapik dan sebagainya.

• Elakkan bersenam dalam tempoh dua jam selepas makan.

• Pastikan minum air secukupnya sebelum dan selepas senaman bagi mengantikan cecair yang hilang melalui peluh.

• Elakkan minum air berkarbonat.

• Elakkan bersenam di persekitaran yang tidak sesuai seperti tempat gelap, cuaca panas dan udara yang tercemar.

• Jangan terus mandi selepas senaman. Tunggu sehingga badan menjadi sejuk dan tidak berpeluh.

• Gunakan alat pemantul cahaya (reflector) pada baju anda ketika berbasikal atau berjoging pada waktu subuh atau malam.

• Jika berjoging di jalan raya, lakukannya dengan berlari berlawanan arah lalu lintas supaya anda dapat melihat kenderaan yang menuju ke arah anda.

• Elak bersenam di jalan yang penuh sesak dengan kenderaan.

• Panaskan badan sebelum senaman. Memanaskan otot-otot yang akan digunakan seperti berjoging selama dua hingga tiga minit, mulakan dengan berenang atau berbasikal secara perlahan-lahan.

• Regangan (15 minit) - lakukan setiap regangan 10 hingga 20 saat. Lakukan regangan tetapi tidak sehingga mencederakan otot.

• Senaman khusus - berlatih kemahiran seperti menendang, melontar atau aktiviti yang bertenaga tinggi.

Berita Harian X