Isnin, 15 April 2024 | 12:25pm
Transplan antara kaedah perawatan buah pinggang namun capaiannya di Malaysia sangat rendah. - Foto ihsan Dr Wan Zul Haikal Hafiz
Transplan antara kaedah perawatan buah pinggang namun capaiannya di Malaysia sangat rendah. - Foto ihsan Dr Wan Zul Haikal Hafiz

Satu daripada tujuh rakyat Malaysia hadapi masalah ginjal

PENYAKIT buah pinggang sudah menjadi antara cabaran kesihatan yang paling merumitkan di Malaysia. Malah ketika ini seorang daripada tujuh rakyat Malaysia berhadapan masalah itu dengan 9,000 lagi dikesan sebagai pesakit dialisis yang baharu.

Pakar Perunding Nefrologi Intervensi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Zul Haikal Hafiz Wan Zukiman, berkata apabila buah pinggang gagal berfungsi ia boleh membawa kepada kurang selera makan, masalah air berlebihan, sukar bernafas, anemia dan mengakibatkan komplikasi lebih serius termasuk sawan dan kematian.

Katanya, impak penyakit buah pinggang terhadap individu tidak boleh diremehkan, selain keperluan rawatan susulan berkala, rawatan terakhir dan berpanjangan seperti dialisis juga pemindahan buah pinggang amat diperlukan untuk memberi kualiti hidup yang baik kepada pesakit.

'Kajian yang dilakukan UPM mendapati, hampir 10 hingga 25 peratus pesakit mengalami masalah tekanan perasan termasuk masalah kegelisahan dan kebimbangan (anxiety).

"Ia boleh menjejaskan bukan sahaja dari segi sudut sosial malah memberi kesan kepada produktiviti pesakit sebagai seorang pekerja atau pelajar," katanya.

Pakar Perunding Nefrologi Intervensi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Zul Haikal Hafiz Wan Zukiman.
Pakar Perunding Nefrologi Intervensi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Zul Haikal Hafiz Wan Zukiman.

Dr Wan Zul Haikal Hafiz berkata, meskipun dialisis adalah antara kaedah rawatan yang tetapi kosnya sangat mahal dan boleh mencecah hingga RM3000 atau RM5000 sebulan.

Malah hal ini selari dengan pendedahan PERKESO yang menyebut mereka menanggung 24.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tanggungan dialisis di Malaysia atau bersamaan RM334.67 juta.

Tambah Dr Wan Zul Haikal Hafiz, masalah buah pinggang menyerang tanpa mengenal usia, bagi bayi, umumnya ia disebabkan faktor keturunan atau kongenital, sementara dalam kalangan kanak-kanak atau remaja ia disebabkan penyakit autoimun. Bagi orang dewasa ia disebabkan oleh masalah kencing manis.

Malah katanya, masalah kencing manis adalah penyebab utama masalah buah pinggang di Malaysia.

"Kalau lihat data International Diabetes Federation, Malaysia antara negara dengan prevelen kencing manis tertinggi iaitu hampir 19 peratus atau satu daripada lima rakyat Malaysia adalah pesakit kencing manis.

"Komplikasi utama kencing manis adalah penyakit buah pinggang.

"Gula yang terlalu tinggi dalam darah akan menyebabkan kerosakan buah pinggang dengan penghasilan protein dalam air kencing, iaitu tanda awal yang menunjukkan buah pinggang mulai rosak," katanya.

Tambahnya, kegagalan buah pinggang yang serius boleh membawa maut dan rawatan yang ditawarkan ketika ini adalah dialisis dan pemindahan organ.

Dialisis di Malaysia katanya adalah kaedah rawatan yang meluas dan terbahagi kepada dua cara iaitu hemodialiasis (HD) dan peritoneal dialisis (PD) dengan hampir 70 peratus pesakit di Malaysia memilih HD.

Beliau berkata, satu lagi kaedah rawatan yang ditawarkan adalah pemindahan buah pinggang atau transplan. Bagaimanapun, di Malaysia capaian kepada transplan adalah sangat rendah kerana beberapa faktor antaranya kekurangan doktor pakar bedah transplan.

Ketika ini tambahnya, Malaysia hanya memiliki kurang dari 10 pakar bedah transplan selain isu fasiliti yang tidak mencukupi.

"Setakat ini hanya enam hospital sahaja yang mempunyai fasiliti lengkap untuk transplan, dan yang paling utama kesedaran masyarakat mengenai tranplan yang sangat rendah.

"Walaupun fatwa sudah dikeluarkan sejak tahun 2000 mengenai hukum pendermaan organ, bilangan penderma organ di Malaysia sangat rendah terutamanya dalam kalangan orang Islam.

"Sebab utama orang Islam menolak pendermaan organ adalah disebabkan mereka melihatnya sebagai 'menyeksa mayat'

"Walaupun setiap prosedur pengambilan organ sudah diterangkan oleh pakar perubatan dan setiap prosedur dibuat mengikut prosedur operasi standard ditetapkan tetapi keluarga penderma tetap tidak membenarkan proses itu berlaku," katanya.

Selain daripada tranplan dan dialisis, beliau berkata langkah pencegahan awal sangatlah penting. Malah jika doktor sudah mengesyorkan pengambilan ubat-ubatan, pesakit perlu mengambilnya seperti disyorkan.

Dalam masa sama katanya, pesakit perlu mengawal pengambilan gula dan tekanan darah selain mengambil makanan seimbang dan elakkan pengambilan makanan tambahan yang sangsi.

"Elakkan juga pengambilan ubat tahan sakit yang kerap dan penting untuk senantiasa melakukan ujian saringan.

" Pencegahan tidak boleh dinafikan mempengaruhi keberkesanan terhadap penyakit ini akan tetapi ubat seperti ACE inhibitor dan ARB perlu diambil pesakit.

"Terdapat rawatan terbaharu seperti ubat SGLT-2 inhibitor ia didapati sangat berkesan untuk memanjangkan tempoh pesakit mendapatkan dialisis sehingga lima ke 10 tahun," katanya.

Gejala awal masalah buah pinggang

  • Rasa letih dan tidak bertenaga
  • Mudah hilang fokus
  • Hilang selera makan
  • Mengalami masalah tidur
  • Kekejangan otot pada waktu malam
  • Alami bengkak pada kaki dan sendi
  • Bengkak di sekeliling mata terutama pada waktu pagi
  • Kulit kering dan gatal
  • Kerap membuang air kecil terutama pada waktu malam

Sumber: myhealth.gov.my

Berita Harian X