Isnin, 15 April 2024 | 12:09pm
Kesan masalah kesihatan mental kepada wanita dan lelaki adalah berbeza. Hal ini menjelaskan mengapa wanita secara globalnya berhadapan isu kesihatan mental dua kali ganda berbanding lelaki. - Foto hiasan
Kesan masalah kesihatan mental kepada wanita dan lelaki adalah berbeza. Hal ini menjelaskan mengapa wanita secara globalnya berhadapan isu kesihatan mental dua kali ganda berbanding lelaki. - Foto hiasan

Wanita cenderung alami masalah mental berbanding lelaki

KESAN masalah kesihatan mental kepada wanita dan lelaki adalah berbeza. Hal ini menjelaskan mengapa wanita secara globalnya berhadapan isu kesihatan mental dua kali ganda berbanding lelaki. Malah wanita turut berhadapan masalah kesihatan mental sepanjang tempoh kehamilan.

Secara umum antara masalah kesihatan mental yang dialami ketika hamil adalah depresi selain kebimbangan (anxiety). Di peringkat global, sebanyak 10 sehingga 20 peratus ibu mengandung mengalami kecelaruan mental sepanjang tempoh hamil.

Di Malaysia pula, keadaannya tidak jauh berbeza. Wanita dikesan berhadapan isu kemurungan, kebimbangan atau kecelaruan dua kali ganda berbanding lelaki. Berdasarkan statistik kemurungan pasca bersalin atau juga dikenali sebagai meroyan ketika pandemik sebanyak 48.6 peratus wanita berhadapan masalah itu dengan ibu tunggal menunjukkan peratusan lebih tinggi.

Ahli Psikologi Klinikal, Pusat Pakar Psikologi, Hospital Islam Az-Zahrah, Sarah Aleesa Aguinaldo, berkata terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan masalah kecelaruan mental dalam kalangan wanita.

Bagaimanapun katanya, faktor paling utama adalah kerana genetik atau keturunan.

"Secara umum, apabila seseorang itu mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental, mereka berisiko tinggi untuk mendapat penyakit sama berbanding mereka yang tiada sejarah penyakit berkenaan.

"Bagaimanapun, masalah ini masih boleh berlaku disebabkan faktor lain antaranya gangguan bahan kimia dalam otak," katanya dalam Webinar Hari Wanita: Ingin Memahami atau Difahami yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Sarah Aleesa berkata, gangguan bahan kimia dalam otak merujuk kepada penghasilan dopamin atau hormon gembira yang berlebihan boleh menyebabkan skizofrenia iaitu penyakit mental, manakala jika paras serotonin terlalu rendah boleh menyebabkan kemurungan.

"Jika paras serotonin berlebihan pula boleh menyebabkan mania, manakala jika terdapat gangguan pada pengeluaran dan fungsi noradrenalin pula boleh menyebabkan kebimbangan.

"Individu yang mempunyai rekod kesihatan dari segi fisiologikal juga menjadi antara penyebab mereka berhadapan dengan penyakit kecelaruan mental ini.

"Selain itu sebenarnya, faktor persekitaran juga memainkan peranan seperti persekitaran seseorang itu dibesarkan, hubungan sosialnya dengan keluarga dan orang lain selain tahap pendidikan serta cara hidup," katanya.

Mengulas lanjut, Sarah Aleesa berkata, faktor lain juga boleh menyebabkan kecelaruan mental adalah disebabkan trauma.

Trauma atau rasa terkejut atau gangguan fikiran boleh meninggalkan kesan mendalam kepada individu misalnya, kehilangan orang tersayang, deraan secara fizikal atau mental, dirogol, gangguan seksual, bencana, ditipu atau dikhianati malah proses kelahiran yang sukar berpotensi menjejaskan kesihatan mental.

"Selain itu faktor tekanan juga boleh menjadi antara penyebab masalah kecelaruan mental

dan ia boleh berpunca sama ada daripada diri sendiri, keluarga atau pasangan malah majikan, rakan serta media sosial," katanya.

Tegas Sarah Aleesa, masalah kesihatan mental itu boleh ditangani sebaiknya terutama jika ia dicegah lebih awal.

"Wanita berisiko tinggi untuk menghidap kecelaruan mental sekiranya tidak dicegah pada peringkat awal.

"Hal ini terkait dengan fitrah untuk seorang wanita ingin dilindungi, dihormati, memberi, didengari, disayangi dan difahami.

"Malah, untuk memahami dan difahami, jadi penting untuk mengenal pasti faktor pencetus sesuatu tingkah laku itu.

"Dalam keadaan itu, perlu tahu apa situasi yang berlaku, apa yang difikir mengenai situasi berkenaan, apa yang dirasai berkenaan situasi dialami dan apa pula tindakan yang perlu dibuat jika berada dalam sesuatu situasi.

"Selain itu penting juga untuk seseorang wanita meluangkan masa untuk diri sendiri seperti yang selalu disebut sebagai 'me time' atau menghadiahkan diri sendiri (self- reward) juga muhasabah diri," katanya.

Hal ini tegas Sarah Aleesa disebabkan seseorang itu perlu menyayangi dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum memberi kasih sayang kepada orang sekeliling.

Di peringkat global, sebanyak 10 sehingga 20 peratus ibu mengandung mengalami kecelaruan mental sepanjang tempoh hamil. - Foto hiasan
Di peringkat global, sebanyak 10 sehingga 20 peratus ibu mengandung mengalami kecelaruan mental sepanjang tempoh hamil. - Foto hiasan

Dalam masa sama, seseorang wanita perlu juga memperbaiki komunikasi dalam diri misalnya mengambil pendekatan menggunakan perkataan 'saya' berbanding 'awak'.

Katanya, menggunakan lebih banyak perkataan 'saya' ketika berkomunikasi akan dilihat tenang berbanding berterusan menggunakan 'awak' yang dilihat seperti banyak 'menyerang'.

Selain terdapat satu kaedah untuk meringankan beban kognitif atau mengenal pasti corak pemikiran misalnya dengan menulis jurnal. Kaedah itu juga boleh menjadi mekanisme yang baik untuk seseorang itu meluahkan perasaan.

Tambahnya, perlu juga meletakkan sempadan supaya dapat membantu berkomunikasi mengenai keperluan sahaja, mengelak konflik diri dan orang lain serta melindungi kesihatan mental.

Justeru beliau berkata, mereka yang merasakan diri berada dalam situasi boleh menyebabkan masalah mental, perlu mendapatkan bantuan atau rawatan supaya dapat mengelak daripada keadaan menjadi lebih teruk.

Berita Harian X