Isnin, 8 April 2024 | 3:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bolehkah nyanyuk diubati dengan bersenam?

Penyakit Alzheimer pastinya menjadi igauan kepada golongan berusia apatah lagi perubatan moden belum menemukan sebarang penawar untuk menyembuhkannya.

Bagaimanapun, proses Alzheimer dapat diperlahankan, iaitu melalui senaman, malah ia juga dapat meningkatkan kualiti hidup.

Senaman aerobik dapat membantu menggalakkan aliran darah sihat ke otak dan mengurangkan penumpukan beberapa protein berkaitan penyakit Alzheimer.

Dengan mengurangkan penumpukan protein ini, senaman berkala dapat membantu memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan fungsi kognitif serta ingatan.

Namun, individu menghidap Alzheimer mungkin menghadapi cabaran untuk bersenam secara berkala. Justeru, teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hubungan antara senaman dengan Alzheimer serta bagaimana pengidapnya boleh meneruskan aktiviti fizikal dengan selamat dan berkesan.

Bolehkah senaman memperlahankan Alzheimer?

Walaupun tidak ada penawar untuk penyakit Alzheimer, kajian menunjukkan senaman berkala dapat membantu memperlahankan perkembangannya.

Bersenam dengan kadar sederhana seperti berjalan cepat atau menari dapat meningkatkan aliran darah ke otak serta mengurangkan penumpukan protein beta-amiloid.

Protein ini terkumpul di dalam otak, menyebabkan gejala khas penyakit Alzheimer. Dengan mengurangkan penumpukan itu, senaman berkala dapat membantu memperlahankan perkembangan penyakit.

Selain itu, senaman untuk penyakit Alzheimer dapat meningkatkan fungsi kognitif dan ingatan, membawa kepada peningkatan kesihatan otak.

Apakah senaman terbaik untuk pengidap Alzheimer?

Senaman paling sesuai untuk pengidap Alzheimer boleh berbeza bergantung pada peringkat penyakit.

- Peringkat awal hingga pertengahan

Dalam peringkat awal hingga pertengahan Alzheimer, aktiviti aerobik seperti berjalan cepat, berenang dan latihan ringan boleh memberi faedah berdasarkan kajian semakan penyelidikan pada 2020.

Senaman ini dapat membantu dalam meningkatkan kesihatan kardiovaskular, keanjalan dan kekuatan otot tanpa menyebabkan tekanan atau ketidakselesaan berlebihan.

- Peringkat akhir

Menurut semakan pada 2023, gabungan program senaman merangkumi aerobik, kekuatan, keseimbangan dan koordinasi boleh memberi manfaat pada peringkat akhir Alzheimer.

Profesional kesihatan mengesyorkan duduk tanpa sokongan selama beberapa minit setiap hari untuk menguatkan postur dan berbaring rata di atas katil untuk membantu mencapai keregangan.

Bagaimanapun, pengidap disarankan untuk berbincang dengan profesional kesihatan sebelum memulakan program senaman baharu untuk memastikan keselamatan dan keselesaan.

Apakah cara lain bagi pengidap Alzheimer kekal aktif fizikal?

Selain senaman tradisional, terdapat cara lain bagi pengidap Alzheimer kekal aktif fizikal.

Antara lain:

- Berjalan: Berjalan secara berkala boleh menjadi cara baik untuk kekal aktif dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Bagaimanapun, seeloknya cari rakan untuk berjalan bersama atau penjaga bagi menjamin keselamatan.

- Menari: Menari adalah aktiviti membabitkan fizikal, merangsang mental dan menyeronokkan secara sosial. Ia dapat membantu untuk meningkatkan keseimbangan, koordinasi serta kesejahteraan keseluruhan.

- Berkebun: Berkebun dapat memberikan senaman ringan melalui penanaman, mencabut rumput dan menyiram. Berkebun terapeutik juga menawarkan rangsangan sensori dan hubungan dengan alam.

- Senaman disesuaikan: Mungkin perlu untuk menyesuaikan senaman berdasarkan kebolehan dan batasan anda. Regangan secara lembut, senaman di kerusi atau yoga diubah suai dapat mengekalkan mobiliti dan keanjalan sambil mengurangkan risiko kecederaan.

- Kumpulan senaman: Menyertai kumpulan senaman untuk pengidap Alzheimer boleh menyediakan persekitaran sokongan dan inklusif untuk mengekalkan aktiviti fizikal.

Bolehkah senaman mencegah Alzheimer?

Walaupun tidak ada cara pasti untuk mencegah penyakit Alzheimer, menjalani gaya hidup aktif fizikal boleh membantu dalam mengurangkan risiko atau menangguhkan permulaannya.

Penyelidikan juga mengaitkan senaman berkala dengan peningkatan kesihatan kardiovaskular, pengurangan keradangan dan peningkatan fungsi otak pada orang dewasa yang lebih tua.

Oleh itu, menyelitkan gabungan senaman aerobik, latihan kekuatan dan aktiviti merangsang otak ke dalam rutin harian boleh menyumbang kepada otak lebih sihat dan mengurangkan risiko perkembangan Alzheimer.

Walaupun senaman tidak boleh menyembuhkan Alzheimer, aktiviti fizikal berkala dapat memperlahankan perkembangannya dan meningkatkan fungsi kognitif.

Anda boleh meningkatkan kualiti hidup dengan memasukkan senaman sesuai, melibatkan diri dalam aktiviti alternatif dan mengikuti gaya hidup sihat.

Adalah disarankan untuk menyesuaikan rutin senaman dengan kebolehan anda. Pertimbangkan untuk berbincang dengan profesional kesihatan sebelum memulakan program senaman baharu. - Healthline

Berita Harian X