Khamis, 28 March 2024 | 9:00am
Pesakit perlu berbincang dengan doktor gigi mengenai pilihan rawatan yang bersesuaian dengan masalah dihadapi. - Foto hiasan
Pesakit perlu berbincang dengan doktor gigi mengenai pilihan rawatan yang bersesuaian dengan masalah dihadapi. - Foto hiasan

Masalah gigi rongak, ketahui pilihan anda

KEHILANGAN gigi kekal atau rongak, masalah yang boleh memberi kesan kepada fungsi mulut, penampilan dan kualiti hidup individu dewasa.

Gigi berlubang teruk (karies gigi), masalah keradangan gusi yang kronik dan kemalangan, antara sebab utama kehilangan gigi dalam kalangan orang dewasa.

Prostodontik satu cabang dalam bidang pergigian yang fokus pada pemulihan fungsi dan estetika gigi termasuk penggantian gigi yang hilang dengan menggunakan bahan pergigian.

Mengulas lanjut, Pensyarah Pergigian Universiti Malaya, Dr Mohd Azmi Abdul Razak, berkata apabila seseorang mengunjungi klinik pergigian untuk merawat gigi yang hilang, perlu memahami pilihan itu dapat membantu mereka membuat keputusan tepat dan sesuai dengan keperluan itu.

Katanya, ada beberapa pilihan untuk pesakit menggantikan gigi yang hilang dan pemilihan betul bergantung kepada keperluan dan kehendak pesakit serta bajet mereka.

"Faktor lain mengenai kesihatan keseluruhan mulut pesakit, tahap kebersihan dan kawalan plak gigi, jumlah gigi yang hilang, keadaan gigi masih ada, keadaan tulang rahang serta kesanggupan komitmen pesakit terhadap rawatan termasuk tempoh rawatan serta penyelenggaraan selepas rawatan," katanya.

Justeru, pentingnya pendedahan mengenai beberapa pilihan umum yang ada, bergantung kepada faktor berkenaan supaya mereka lebih bersedia untuk berbincang dengan doktor gigi dan membuat keputusan lebih tepat.

Harus diingat doktor gigi hanya mencadangkan pilihan rawatan bersesuaian berdasarkan keadaan mulut pesakit, kelebihan, risiko dan kos rawatan, namun keputusan di tangan mereka.

Gigi palsu boleh tanggal

Gigi palsu boleh tanggal antara pilihan yang popular untuk menggantikan gigi yang hilang.

Katanya, di klinik gigi, ia sering dikenali sebagai 'denture', walaupun istilah ini kurang tepat tetapi ia mudah difahami oleh kebanyakan orang.

"Ia sering menjadi pilihan yang popular dalam kalangan pesakit mungkin kerana ia pilihan yang kos-efektif (biasanya paling jimat di antara semua pilihan).

"Gigi palsu jenis ini boleh berbentuk sebahagian (menggantikan satu atau beberapa gigi) mahupun penuh (menggantikan semua gigi pada rahang atas dan bawah). Ia boleh ditanggal dan dipasang dengan mudah mengikut keperluan pesakit," katanya.

Ada dua jenis gigi palsu, iaitu diperbuat daripada akrilik (plastik berwarna merah jambu) atau berasaskan logam (kobalt-kromium) sebagai tapaknya.

Gigi palsu dengan tapak logam lebih tahan lama, tidak mudah patah dan lebih selesa berbanding yang berasaskan akrilik.

Namun, pilihan tapak logam lebih mahal kerana bahannya dan pembuatan yang lebih rumit.

Dr Mohd Azmi berkata, kebanyakan pesakit warga emas yang kehilangan semua gigi sering memilih memakai gigi palsu penuh atas dan bawah diperbuat daripada bahan akrilik.

Bagaimanapun, jika tulang rahang mengecut dengan ketara (akibat sudah terlalu lama kehilangan gigi), gigi palsu bawah selalunya mungkin akan menjadi longgar dan tidak stabil, dan dalam kes sebegini, ubah suai melalui pemasangan implan (overdenture) mungkin diperlukan untuk membuat gigi palsu menjadi lebih stabil dan kukuh.

"Jika anda memilih gigi palsu boleh tanggal, harus membukanya setiap malam dan rendamkan di dalam air atau larutan pembersih sesuai ada di pasaran untuk menjaga kesihatan gusi dan gigi lain yang masih ada.

"Gigi lain mudah menjadi rosak (karies gigi) dan gusi serta lelangit boleh mengalami keradangan ('denture stomatitis') jika dipakai berterusan 24 jam sehari tanpa membukanya serta membersihkan mulut dan gigi dengan teliti," katanya.

Jambatan gigi

Jambatan gigi, lebih dikenali sebagai 'bridge' di klinik gigi, pilihan sering digunakan menggantikan satu atau dua batang gigi yang hilang. Jambatan meliputi gigi palsu dipasang menggunakan gigi asli yang masih sihat, dan bersifat tetap (tidak dapat ditanggalkan oleh pesakit).

Oleh itu, ia lebih digemari oleh pesakit, walaupun kosnya lebih tinggi daripada gigi palsu boleh tanggal.

Kekurangan jambatan sering membabitkan pemotongan struktur gigi asli bersebelahan dengan gigi yang hilang untuk 'memegang' gigi palsu yang diganti. Ini disebut sebagai jambatan konvensional ('conventional bridge').

Terdapat jambatan lebih konservatif, dikenali jambatan lekat (adhesive bridge), biasanya tidak membabitkan pemotongan gigi asli, tetapi menggunakan teknologi bahan pergigian bagi melekatkan gigi palsu kepada gigi asli bersebelahan.

"Bayangkan ia seperti 'gam' gigi. Namun, pemilihan kes yang sesuai sangat penting untuk jambatan lekat kerana jika keadaan gigi tidak sesuai, ia boleh tercabut dengan mudah dan memerlukan pemasangan semula di klinik serta mungkin perlu dilakukan berulang kali.

Dua pilihan bahan biasanya digunakan membuat jambatan adalah logam-seramik atau seramik-penuh. Logam-seramik lebih tahan lama dan murah.

Dari segi estetika, seramik-penuh kelihatan lebih semula jadi seperti gigi asli. Bagi seramik-penuh, dua jenis bahan sering digunakan kini ialah 'lithium disilicate' dan 'zirconia'.

Pesakit dinasihatkan menggunakan flos gigi bersesuaian dipanggil 'super-floss' dan digunakan dengan betul.

Jika tidak, dalam jangka masa panjang, gigi memegang jambatan boleh rosak serta berisiko menyebabkan jambatan tercabut, gusi mudah berdarah (radang gusi) dan mulut berbau.

Implan gigi

Implan gigi penyelesaian semakin popular bagi menggantikan kehilangan gigi kekal, iaitu . struktur logam (biasanya logam titanium) ditanamkan ke dalam tulang rahang, kemudian digunakan sebagai asas untuk memegang gigi palsu.

Ia kekal di dalam tulang rahang jika jaga dengan baik dan tidak mendapat jangkitan atau radang akibat tidak dibersihkan dengan baik.

Ia sering digunakan untuk menggantikan sebatang gigi yang hilang, namun beberapa implan (bergantung kepada keperluan) juga boleh ditanam untuk memegang gigi palsu bagi menggantikan beberapa batang gigi atau keseluruhan gigi pada rahang atas dan bawah.

Namun kerana kosnya yang tinggi dan memerlukan pembedahan untuk memasukkan implan ke dalam rahang, sesetengah pesakit menolak pilihan ini, selain komitmen tinggi dari segi rawatannya.

Pemasangan implan tidak sesuai untuk pesakit dalam lingkungan umur 20-an kerana proses pertumbuhan rahang masih aktif.

Kelebihan implan gigi tidak perlu ditanggalkan dan lebih mudah dijaga kebersihannya, tidak memerlukan pengorbanan gigi asli yang sihat serta hasilnya lebih semula jadi dan estetik.

Overdenture

Overdenture adalah gigi palsu boleh tanggal diletakkan di atas tunggul gigi diubah suai atau implan gigi. Ia sama seperti gigi palsu boleh tanggal, tetapi menggunakan tunggul gigi, akar gigi atau implan sebagai pemegang di bawahnya supaya lebih kukuh dan stabil.

Tidak mudah tertanggal ketika makan atau bercakap. Individu yang ada beberapa batang gigi pada rahangnya atau ada gigi palsu penuh sering berasa longgar boleh bertanyakan pilihan overdenture kepada doktor gigi.

Rawatan prostodontik adalah pelaburan jangka panjang untuk membantu meningkatkan kualiti hidup seseorang.

Berita Harian X