Ahad, 24 March 2024 | 11:09am
Perubahan mendadak berlapar berisiko alami sakit perut dan refluks tinggi. - Foto Freepik
Perubahan mendadak berlapar berisiko alami sakit perut dan refluks tinggi. - Foto Freepik

Gerd, gastrik dan puasa

Sudah seminggu lebih umat Islam berpuasa dan sepanjang tempoh itu ada antara mereka berdepan penyakit tertentu yang menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Sering kali penyakit berkaitan Gerd (gastroesophageal reflux disease) dan gastrik dikaitkan ketika berpuasa.

Jadi bagaimana mengawal Gerd dan gastrik ketika berpuasa?

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dan

UKM Specialist Centre, Dr Khairul Najmi Muhammad Nawawi, ramai yang bimbang ketika Ramadan, penyakit Gerd atau gastrik berlaku ketika sedang berpuasa.

"Yang sudah biasa berpuasa sunat. Jadi, perut perlu mengadaptasi dengan perubahan gaya pemakanan kita. Jika perubahan mendadak berlaku, maka kebarangkalian untuk mengalami sakit perut, refluks dan sebagainya adalah tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, refluks didefinasikan sebagai kandungan makanan atau asid di dalam perut, naik semula ke esofagus atau sehingga ke bahagian kerongkong.

Refluks perkara normal yang boleh berlaku sekali-sekala disebabkan kelonggaran sfinkter (pencerut) di bahagian esofagus bawah.

Namun, jika ia kerap berlaku (melebihi dua kali seminggu) dan mengganggu aktiviti harian, keadaan itu dipanggil penyakit refluks (Gerd).

Gastrik pula, sebenarnya adalah misnomer (salah istilah) dalam kalangan masyarakat kita kerana di dalam perubatan, ia merujuk kepada organ perut itu sendiri.

Namun, kerana sudah terbiasa, gastrik ini dapatlah kita sinonimkan dengan penyakit gastritis iaitu keradangan di dinding perut.

Gejala yang tipikal bagi Gerd adalah pedih ulu hati, rasa panas atau terbakar di bahagian atas perut (heartburn) dan keberadaan makanan atau asid di bahagian esofagus atau naik sehingga ke mulut.

Gejala lain yang boleh turut berlaku adalah rasa mual atau muntah, mulut terasa masam, sering bersendawa, sakit kerongkong dan batuk.

Gejala utama bagi gastrik pula adalah sakit di bahagian atas atau kiri perut. Gejala lain termasuk rasa mual atau muntah, sebu, kembung perut, sendawa dan rasa terbakar.

Kebiasaannya, walaupun Gerd dan gastrik adalah dua masalah kesihatan yang berlainan, namun kedua-duanya boleh berlaku pada masa yang sama.

Jika gejala berlarutan, komplikasi boleh terjadi seperti ulser perut, pendarahan dalam perut dan esofagus, saluran esofagus menyempit, penyakit asma dan mungkin juga kanser perut dan esofagus.

Punca Gerd dan gastrik

Faktor risiko Gerd adalah gaya hidup yang tidak sihat seperti diet yang terlalu manis, terlalu pedas, berminyak dan berlemak.

Begitu juga dengan minuman berkarbonat dan beralkohol. Tahap aktiviti fizikal yang rendah dan kurang bersenam juga boleh menjadi punca Gerd.

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan lebih senang menghidap Gerd. Faktor lain termasuk keberadaan hiatus hernia (sebahagian daripada perut berada di rongga dada disebabkan otot diafragma yang lemah) dan ketika mengandung.

Dua punca utama gastrik adalah jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut dan penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan.

Kajian di Malaysia menunjukkan kelaziman kes Helicobacter pylori adalah sekitar 15 peratus.

Faktor risiko lain termasuk diet yang tidak sihat, tabiat merokok dan meminum alkohol secara berlebihan dan stres yang kronik (terutama jika kesihatan badan tidak optimum).

Bukan semua sakit perut berpunca daripada gastrik

Masyarakat sering kali menyamakan perut dengan abdomen. Abdomen adalah bahagian antara dada dan pinggul.

Di sebalik abdomen terdapat banyak organ dalaman, antaranya seperti perut, hati, usus kecil dan besar, buah pinggang, pundi hempedu dan pankreas.

Oleh itu, jika kita acap kali mengalami 'sakit perut' sehingga mengganggu aktiviti harian, elok berjumpa dengan doktor supaya pemeriksaan teliti dapat dilakukan kerana ia mungkin disebabkan penyakit selain gastrik.

Jika gejala yang membimbangkan seperti berikut berlaku segeralah pergi mendapatkan perhatian doktor:

  • Sakit perut berlarutan dan semakin parah
  • Loya atau muntah berpanjangan
  • Kembung perut berlarutan
  • Aturan pembuangan najis yang berubah atau tidak teratur
  • Kurang selera makan dan susut berat badan
  • Tanda-tanda pendarahan seperti muntah darah, berak berdarah atau najis hitam
  • Tanda jangkitan kuman seperti demam
  • Tanda serangan jantung seperti sakit tengkuk, berpeluh, sesak nafas

Rawatan Gerd dan gastrik

Rawatan utama untuk Gerd dan gastrik adalah mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan banyakkan bersenam dan kekalkan berat badan yang ideal.

Amalkan waktu makan yang teratur dan elakkan makan di lewat malam (perlu sekurang-kurangnya tiga jam jurang antara makanan terakhir dan waktu tidur).

Kurangkan pengambilan makanan pedas, berminyak, makanan segera dan minuman berkarbonat.

Terdapat juga ubat yang berkesan untuk membantu mengawal gejala seperti antasid dan Proton Pump Inhibitor seperti esomeprazole, pantoprazole dan omeprazole.

Namun, jika anda terpaksa bergantung dengan ubat-ubatan melebihi sebulan, mereka disarankan untuk menjalani ujian lanjut seperti prosedur endoskopi.

Prosedur endoskopi penting untuk mengesan sebarang komplikasi dan juga kehadiran jangkitan Helicobacter pylori, di mana rawatan antibiotik perlu diberikan.

Berita Harian X